Cabaran Dalam Profesion Perguruan
Cabaran Dalam Profesion Perguruan
Kejayaan dan keberkesanan pendidikan
banyak berkait rapat dengan kesedaran, keinsafan dan tanggungjawab guru sebagai
pendidik, di samping mempunyai kelengkapan keilmuan yang cukup dan sahsiah
luhur. Segala panduan dan kemahiran
disertai keluhuran budi serta peribadi tidak
terpisah daripada seseorang guru.
Begitulah sewajarnya guru sebagai pendidik yang berkesan. Mereka adalah contoh dan teladan untuk murid,
pelajar dan masyarakat.
Kini,
zaman semakin mencabar. Bebanan guru
makin besar yang menuntut kesabaran serta
tanggungjawab yang amat hebat.
Kalau dulu guru sering diagung-agungkan dan disanjungi sebagai insan
yang terhormat oleh para pelajar, ibu bapa dan masyarakat seluruhnya. Namun hari ini sering kita dengar sebahagian besar
pelajar sekolah tidak menghormati guru mereka.
Guru-guru diperlekehkan oleh ibu bapa pelajar yang mempunyai taraf hidup
yang agak baik. Guru-guru disaman atas
kesalahan yang tidak setimpal dengan pengorbanan yang diberi. Rasa hormat murid
semakin pudar bersama keangkuhan ibu bapa yang tidak menitikberatkan pelajaran
dan menunding jari kepada guru di atas
kesalahan, kealpaan dan
ketidakprihatinan mereka sendiri dalam
mendidik anak-anak.
Sewajarnya ibu bapa
akur tugas guru bukan hanya mengajar mata pelajaran untuk lulus
peperiksaan, tetapi turut mendidik pelajar menerusi penerapan nilai-nilai
murni, selain jati diri, disiplin serta sahsiah terpuji. Namun begitu, kebanyakan ibu bapa
mengutamakan kecemerlangan akademik semata-mata dan bukan sahsiah yang baik
menyebabkan anak mereka tidak boleh ditegur walaupun melakukan kesalahan.
Terdapat juga ibu bapa yang tidak dapat menerima hakikat
bahawa anak mereka bersalah dan tidak
mengaku kesilapan dilakukan. Mereka perlu
berbincang terlebih dahulu dan jangan terburu-buru menyerang pihak sekolah atau
membuat pendedahan pada media. Mendidik
anak perlu mengikut peredaran masa dan guru perlu menghukum pelajar yang
melakukan kesalahan dengan bijaksana.
Hukuman
yang dikenakan adalah proses mendidik dan bukan memalukan pelajar, sekali gus
memberi keinsafan dan kesedaran terhadap salah laku yang dilakukan.
Sesungguhnya
profesion keguruan yang merupakan profesion tertua di dunia, kini memasuki satu
lagi era baru. Dulu peranan utama guru
ialah sebagai penyampai pengetahuan.
Gurulah yang banyak bercakap dan menyoal. Bagaimanapun kini, peranan guru lebih penting
sebagai pemudah cara dalam proses pembelajaran.
Sebagai pemudah cara, guru perlu lebih sedia dan peka melahir dan menggunakan
situasi-situasi pembelajaran secara cekap dan berkesan. Murid
perlu selalu digerak untuk berfikir secara kreatif dan kritikal. Malahan, murid dijangka dapat menyoal guru
serta membantu guru membuka luas pintu pembelajarannya. Dahulu, punca pengetahuan adalah dalam bentuk
bertulis. Sekarang, lebih banyak bilik
darjah ditukar menjadi bilik darjah bestari yang membolehkan pelajar
menggunakan komputer untuk mencari lebih banyak pengetahuan dan maklumat. Bagaimanapun, kehadiran guru penting untuk
membimbing pelajar membuat pilihan ilmu dan maklumat yang betul.
Guru harus berperanan untuk mengenal pasti dan
membangunkan potensi diri pelajar.
Peranan guru ini amat penting dalam menentukan corak pembangunan
sesebuah negara. Kita perlu sedar, kejayaan negara sehingga kini, sebahagian
besar adalah hasil sumbangan kerjaya keguruan.
Ini kerana persediaan bagi pengeluaran
tenaga kerja negara di semua
sektor bermula dari sekolah yang sudah pastinya memerlukan khidmat dan jasa
guru. Guru juga adalah model
manusia berkelakuan baik. Guru mesti bebas daripada bersikap negatif
dan sempit daripada aspek bangsa, kelas, sosial dan kedaerahan.
Selain itu, kelayakan akademik juga adalah satu lagi
perkara yang perlu di timbangkan. Ini
kerana profesionalisme guru itu adalah berpusatkan kepada pengetahuan. Maka, adalah wajar diramalkan, seiringan
dengan kejayaan Malaysia meningkatkan kadar pembangunannya, guru-guru ijazah
akan bertugas sehingga ke sekolah rendah.
Memandangkan guru memainkan peranan penting dalam pembangunan negara,
sifat kerja guru yang begitu khusus memerlukan guru mempunyai kelayakan
akademik minimum dan menghadiri program-program latihan sebelum dan semasa
berkhidmat. Justeru,
langkah Kementerian Pelajaran Malaysia menggalakkan guru meningkatkan kelayakan
akademik melalui pelbagai program dan galakan termasuklah kursus dalam
perkhidmatan, galakan guru bukan siswazah melanjutkan pelajaran di peringkat
ijazah, pensiswazahan Guru Besar, anugerah biasiswa melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana dan ijazah
kedoktoran merupakan manifestasi untuk membangunkan kerjaya guru.
Profesion keguruan cukup mencabar
jika dilihat dari segi tanggungjawab guru terhadap agama, bangsa dan negara.
Hal ini demikian kerana merekalah yang bertanggungjawab memastikan Falsafah
Pendidikan Negara dan Falsafah Pendidikan Guru dicapai dengan jayanya.Pendidik
memainkan peranan yang dominan dalam merealisasikan aspirasi negara untuk
mewujudkan perpaduan kaum. Guru juga membuktikan bahawa mereka mampu
mengimbangkan kewujudan integrasi nasional yang menjamin keamanan dan
kesejahteraan negara.
Guru ialah ejen keberkesanan
pendidikan. Kejayaan dan keberhasilan guru terhadap tanggungjawab, kelengkapan,
keilmuan dan keluhuran peribadi disifatkan sebagai cabaran yang harus didepani
dengan profesional.Seperti profesion lain, bidang keguruan yang juga terkandung
dalam Dasar Pelajaran Kebangsaan tidak terkecuali mendepani cabaran yang cukup
besar. Perkembangan bidang sains dan teknologi turut menjadikan bidang
pendidikan semakin mencabar.Dunia pendidikan berubah dengan penekanan diberikan
terhadap penggunaan teknologi maklumat yang selaras dengan Falsafah Pendidikan
Negara. Keadaan ini seterusnya menyebabkan pengurusan di sekolah menjadi
semakin kompleks.
David Ryans dalam bukunya
Characteristics Of Teachers—Their Description, Comparison, And Appraisal
berpendapat bahawa guru yang berkesan dalam menangani cabaran ialah guru yang
mempunyai sifat adil, demokratik, responsif, bertimbang rasa, baik hati, jujur,
cergas, menarik, bertanggungjawab, stabil, tenang dan berkeyakinan.Guru dalam
konteks pendidikan sebenarnya berperanan sebagai ejen penyalur budaya dan ilmu.
Selain itu, guru berperanan sebagai institusi kedua selepas keluarga. Dalam
cakupan ini, guru memainkan peranan sebagai ejen pewarisan budaya yang penting
bagi membentuk sesebuah masyarakat.
Proses pembelajaran mungkin berlaku
secara spontan dan personaliti berubah secara tidak disedari. Guru harus
mendepani cabaran secara profesional dan sedar tentang hakikat bahawa guru
ialah pembimbing dan pendidik dalam masyarakat yang berbudaya. Banyak persepsi
yang melingkari profesion keguruan, antaranya tanggapan yang menyatakan bahawa
profesion keguruan sebagai mudah dan tidak memeningkan kepala, namun
menjanjikan gaji yang memuaskan.
Sebenarnya profesion keguruan
mempunyai cabarannya sendiri dan memerlukan persediaan yang secukupnya dari
segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Profesion keguruan menjurus cabaran
yang dihadapi di kawasan sekolah amnya dan cabaran dalam pengajarannya
khususnya.
Mantan Ketua Pengarah Pelajaran,
Datuk Dr. Haji Ahamad Sipon, berkata, dalam abad ke-21, bidang pendidikan
menghadapi pelbagai cabaran akibat kesan globalisasi dan liberalisasi. Setiap pendidik
di institusi pendidikan pasti menghadapi cabaran sebagai seorang pendidik.
Persepsi yang menyatakan bahawa guru
ibarat “ibu bapa kedua” secara tidak langsung menggambarkan tanggungjawab yang
besar kepada golongan pendidik. Hal ini dikatakan demikian kerana kebanyakan
ibu bapa meletakkan sepenuh kepercayaan dan tanggungjawab kepada guru untuk
mengajar anak mereka supaya cemerlang dalam bidang akademik.
Oleh sebab itu, kesan globalisasi dan
liberalisasi menuntut guru yang berilmu agar celik dan mahir dalam penggunaan
teknologi maklumat dan komunikasi (TMK). Dalam suasana alaf baharu yang
berorientasi TMK, teknologi memainkan peranan yang besar dalam pendidikan.
Comments
Post a Comment