Kebimbangan Dalam Sukan
Kebimbangan dalam sukan
Menurut
Wann (1997) kebimbangan ialah sesuatu yang negatif dan boleh mempengaruhi
pencapaian atlet dalam sukan. Apabila memperkatakan kebimbangan di kalangan
atlet maka perlu dijelaskan mengenai kebimbangan tret dan kebimbangan seketika.
Berdasarkan kepada Silva dan Stevens (2002) kebimbangan tret adalah merujuk
kepada personaliti seseorang individu di mana ia bersifat stabil dan mereka
sering mentafsirkan situasi persekitaran dengan perasaan risau atau bimbang
yang boleh meningkatkan tahap kebangkitan (arousal). Ini menunjukkan
kebanyakan masyarakat mempunyai tahap kebimbangan tret yang sederhana dan
sedikit sahaja yang tinggi atau rendah tahap kebimbangan tret. Manakala
kebimbangan seketika merujuk kepada tahap kebimbangan semasa yang terhasil dari
persepsi individu terhadap bentuk tekanan yang terdapat di persekitaran pada
waktu itu (Shaharudin 2001).
Terdapat
dua jenis kebimbangan seketika iaitu kebimbangan kognitif seketika dan
kebimbangan somatik seketika. Kebimbangan kognitif seketika merupakan komponen
mental kebimbangan seketika yang merujuk kepada proses mental yang bersifat
kognitif yang berlaku akibat dari tafsiran terhadap situasi semasa seperti
perasan risau, takut, kecewa, gementar dan lain-lain. Manakala kebimbangan
somatik seketika merujuk kepada asapek fisiologikal dan afektif individu yang
terbabit kesan dari kebimbangan kognitif yang wujud dari dalam individu
tersebut yang menyebabkan peningkatan denyutan jantung, kadar nadi, peredaran
darah, perpeluhan, pernafasan, kerap buang air kecil dan lain-lain. Bagi
individu yang dikategorikan sebagai A-trait, sekiranya beliau
mentafsirkan bahawa tekanan yang wujud dipersekitarannya cukup menekan, maka
individu tersebut akan bertindak atau memberikan respons yang akan meningkatkan
lagi tahap kebimbangan serta kebangkitan fisiologikalnya. Kebimbangan itu
dimanifestasikan oleh rasa tertekan , takut, peningkatan kadar nadi serta
tangan atau badan mengeletar. Kesannya individu tersebut rasa semakin tertekan
dan takut serta aksinya pula tidak menentu.
Oleh
itu terdapat hubungan di antara kebimbangan tret dan kebimbangan seketika yang
dijelaskan oleh Marten et al. di dalam Wann (1997) mengenai Teori Kebimbangan
Seketika. Teori ini menjelaskan mengenai respons objektif dan jangkaan situasi
yang akan dihadapi. Di mana ianya merangkumi persepsi jangkaan yang tidak pasti
dan keutamaan hasil. Seperti yang telah dibincangkan di atas, perasaan bimbang
berupaya meningkatkan situasi yang tidak menentu contohnya semakin penting
sesuatu pertandingan maka semakin meningkat perasaan bimbang. Dapatan kajian
menunjukkan atlet yang tinggi kebimbangan tret dan menjangkakan tinggi ancaman
yang yang perlu dihadapi maka ia akan meningkatkan tahap kebimbangan seketika.
Comments
Post a Comment