MID NUFF

Cabaran Dalam Profesion Perguruan

Cabaran Dalam Profesion Perguruan

        Kejayaan dan keberkesanan pendidikan banyak berkait rapat dengan kesedaran, keinsafan dan tanggungjawab guru sebagai pendidik, di samping mempunyai kelengkapan keilmuan yang cukup dan sahsiah luhur.  Segala panduan dan kemahiran disertai keluhuran budi serta peribadi tidak  terpisah daripada seseorang guru.  Begitulah sewajarnya guru sebagai pendidik yang berkesan.  Mereka adalah contoh dan teladan untuk murid, pelajar dan masyarakat.

Kini, zaman semakin mencabar.  Bebanan guru makin besar yang menuntut kesabaran serta  tanggungjawab yang amat hebat.  Kalau dulu guru sering diagung-agungkan dan disanjungi sebagai insan yang terhormat oleh para pelajar, ibu bapa dan masyarakat seluruhnya. Namun hari ini sering kita dengar sebahagian besar pelajar sekolah tidak menghormati guru mereka.  Guru-guru diperlekehkan oleh ibu bapa pelajar yang mempunyai taraf hidup yang agak baik.  Guru-guru disaman atas kesalahan yang tidak setimpal dengan pengorbanan yang diberi. Rasa hormat murid semakin pudar bersama keangkuhan ibu bapa yang tidak menitikberatkan pelajaran dan menunding jari kepada guru di atas  kesalahan, kealpaan  dan ketidakprihatinan mereka  sendiri dalam mendidik anak-anak. 

Sewajarnya ibu bapa  akur tugas guru bukan hanya mengajar mata pelajaran untuk lulus peperiksaan, tetapi turut mendidik pelajar menerusi penerapan nilai-nilai murni, selain jati diri, disiplin serta sahsiah terpuji.  Namun begitu, kebanyakan ibu bapa mengutamakan kecemerlangan akademik semata-mata dan bukan sahsiah yang baik menyebabkan anak mereka tidak boleh ditegur walaupun melakukan kesalahan. 

Terdapat juga ibu bapa yang tidak dapat menerima hakikat bahawa anak mereka  bersalah dan tidak mengaku kesilapan dilakukan.  Mereka perlu berbincang terlebih dahulu dan jangan terburu-buru menyerang pihak sekolah atau membuat pendedahan pada media.  Mendidik anak perlu mengikut peredaran masa dan guru perlu menghukum pelajar yang melakukan kesalahan dengan bijaksana.

Hukuman yang dikenakan adalah proses mendidik dan bukan memalukan pelajar, sekali gus memberi keinsafan dan kesedaran terhadap salah laku yang dilakukan.
Sesungguhnya profesion keguruan yang merupakan profesion tertua di dunia, kini memasuki satu lagi era baru.  Dulu peranan utama guru ialah sebagai penyampai pengetahuan.  Gurulah yang banyak bercakap dan menyoal.  Bagaimanapun kini, peranan guru lebih penting sebagai pemudah cara dalam proses pembelajaran.  Sebagai pemudah cara, guru perlu lebih sedia dan peka melahir dan menggunakan situasi-situasi pembelajaran secara cekap dan berkesan.  Murid perlu selalu digerak untuk berfikir secara kreatif dan kritikal.  Malahan, murid dijangka dapat menyoal guru serta membantu guru membuka luas pintu pembelajarannya.  Dahulu, punca pengetahuan adalah dalam bentuk bertulis.  Sekarang, lebih banyak bilik darjah ditukar menjadi bilik darjah bestari yang membolehkan pelajar menggunakan komputer untuk mencari lebih banyak pengetahuan dan maklumat.  Bagaimanapun, kehadiran guru penting untuk membimbing pelajar membuat pilihan ilmu dan maklumat yang betul.

Guru harus berperanan untuk mengenal pasti dan membangunkan potensi diri pelajar.  Peranan guru ini amat penting dalam menentukan corak pembangunan sesebuah negara.  Kita perlu sedar,  kejayaan negara sehingga kini, sebahagian besar adalah hasil sumbangan kerjaya keguruan.  Ini kerana persediaan bagi pengeluaran  tenaga kerja  negara di semua sektor bermula dari sekolah yang sudah pastinya memerlukan khidmat dan jasa guru.  Guru juga adalah model manusia   berkelakuan baik.  Guru mesti bebas daripada bersikap negatif dan sempit daripada aspek bangsa, kelas, sosial dan kedaerahan.


Selain itu, kelayakan akademik juga adalah satu lagi perkara yang perlu di timbangkan.  Ini kerana profesionalisme guru itu adalah berpusatkan kepada pengetahuan.  Maka, adalah wajar diramalkan, seiringan dengan kejayaan Malaysia meningkatkan kadar pembangunannya, guru-guru ijazah akan bertugas sehingga ke sekolah rendah.  Memandangkan guru memainkan peranan penting dalam pembangunan negara, sifat kerja guru yang begitu khusus memerlukan guru mempunyai kelayakan akademik minimum dan menghadiri program-program latihan sebelum dan semasa berkhidmat.  Justeru, langkah Kementerian Pelajaran Malaysia menggalakkan guru meningkatkan kelayakan akademik melalui pelbagai program dan galakan termasuklah kursus dalam perkhidmatan, galakan guru bukan siswazah melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah, pensiswazahan Guru Besar, anugerah biasiswa melanjutkan  pelajaran di peringkat sarjana dan ijazah kedoktoran merupakan manifestasi untuk membangunkan kerjaya guru.

Profesion keguruan cukup mencabar jika dilihat dari segi tanggungjawab guru terhadap agama, bangsa dan negara. Hal ini demikian kerana merekalah yang bertanggungjawab memastikan Falsafah Pendidikan Negara dan Falsafah Pendidikan Guru dicapai dengan jayanya.Pendidik memainkan peranan yang dominan dalam merealisasikan aspirasi negara untuk mewujudkan perpaduan kaum. Guru juga membuktikan bahawa mereka mampu mengimbangkan kewujudan integrasi nasional yang menjamin keamanan dan kesejahteraan negara.

Guru ialah ejen keberkesanan pendidikan. Kejayaan dan keberhasilan guru terhadap tanggungjawab, kelengkapan, keilmuan dan keluhuran peribadi disifatkan sebagai cabaran yang harus didepani dengan profesional.Seperti profesion lain, bidang keguruan yang juga terkandung dalam Dasar Pelajaran Kebangsaan tidak terkecuali mendepani cabaran yang cukup besar. Perkembangan bidang sains dan teknologi turut menjadikan bidang pendidikan semakin mencabar.Dunia pendidikan berubah dengan penekanan diberikan terhadap penggunaan teknologi maklumat yang selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara. Keadaan ini seterusnya menyebabkan pengurusan di sekolah menjadi semakin kompleks.

David Ryans dalam bukunya Characteristics Of Teachers—Their Description, Comparison, And Appraisal berpendapat bahawa guru yang berkesan dalam menangani cabaran ialah guru yang mempunyai sifat adil, demokratik, responsif, bertimbang rasa, baik hati, jujur, cergas, menarik, bertanggungjawab, stabil, tenang dan berkeyakinan.Guru dalam konteks pendidikan sebenarnya berperanan sebagai ejen penyalur budaya dan ilmu. Selain itu, guru berperanan sebagai institusi kedua selepas keluarga. Dalam cakupan ini, guru memainkan peranan sebagai ejen pewarisan budaya yang penting bagi membentuk sesebuah masyarakat.

Proses pembelajaran mungkin berlaku secara spontan dan personaliti berubah secara tidak disedari. Guru harus mendepani cabaran secara profesional dan sedar tentang hakikat bahawa guru ialah pembimbing dan pendidik dalam masyarakat yang berbudaya. Banyak persepsi yang melingkari profesion keguruan, antaranya tanggapan yang menyatakan bahawa profesion keguruan sebagai mudah dan tidak memeningkan kepala, namun menjanjikan gaji yang memuaskan.
Sebenarnya profesion keguruan mempunyai cabarannya sendiri dan memerlukan persediaan yang secukupnya dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Profesion keguruan menjurus cabaran yang dihadapi di kawasan sekolah amnya dan cabaran dalam pengajarannya khususnya.

Mantan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Haji Ahamad Sipon, berkata, dalam abad ke-21, bidang pendidikan menghadapi pelbagai cabaran akibat kesan globalisasi dan liberalisasi. Setiap pendidik di institusi pendidikan pasti menghadapi cabaran sebagai seorang pendidik.

Persepsi yang menyatakan bahawa guru ibarat “ibu bapa kedua” secara tidak langsung menggambarkan tanggungjawab yang besar kepada golongan pendidik. Hal ini dikatakan demikian kerana kebanyakan ibu bapa meletakkan sepenuh kepercayaan dan tanggungjawab kepada guru untuk mengajar anak mereka supaya cemerlang dalam bidang akademik.

Oleh sebab itu, kesan globalisasi dan liberalisasi menuntut guru yang berilmu agar celik dan mahir dalam penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK). Dalam suasana alaf baharu yang berorientasi TMK, teknologi memainkan peranan yang besar dalam pendidikan.


Comments

Popular posts from this blog

CONTOH FORUM BERTAJUK (Pengaruh perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi dalam pendidikan)

BENTUK HALANGAN DALAM MEMBENTUK PERPADUAN DAN CARA MENGATASINYA

Pengertian Akhlak