MID NUFF

Perkembangan sistem pendidikan kebangsaan selepas merdeka


Perkembangan  sistem pendidikan kebangsaan  selepas merdeka

     Sistem  pendidikan di Malaysia mengalami  banyak  perubahan selepas  mencapai kemerdekaan  terutamanya di sekitar  tahun 1980-an.  Berdasarkan Laporan  Jawatankuasa Kabinet  yang mengkaji  perlaksanaan Dasar Pelajaran Kebangsaan (1979), Rancangan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR)   mula  dilaksanakan di semua sekolah  rendah di seluruh  Negara mulai  tahun 1983. Rancangan  KBSR  ini menekankan penguasaan terhadap kemahiran  asas  3M  iaitu  membaca, menulis  dan mengira. Di samping itu  juga,  ia  member  penumpuan  terhadap perkembangan individu  secara menyeluruh  yang meliputi aspek  jasmani, emosi, rohani, intelek dan  social (JERIS). Pada tahun 1989, Rancangan Kurikulum  Bersepadu  Sekolah Menengah  (KBSM)  pula diperkenalkan di semua sekolah menengah. KBSM  ini dirancang untuk  memperkembangkan potensi  individu daripada aspek JERIS  secara  menyeluruh dan bersepadu dalam  usaha untuk melahirkan pelajar  yang berilmu, berakhlak mulia  serta  berupaya memberi  sumbangan kepada kemajuan, kesejahteraan  serta  pembangunan  Negara.

    Walaubagaimanapun, faktor  utama  yang menjadi  tunjang  kea rah pembentukan elemen pendidikan  negara  selepas mencapai  kemerdekaan  ialah  ‘Perpaduan’.  Apabila Tanah Melayu mencapai  kemerdekaan daripada penjajah British pada tahun 1957,  tugas utamanya  ialah  untuk  menyatukan kembali  rakyatnya yang berbilang kaum  supaya  dapat  membina kembali sebuah  Negara  yang  aman  dan maju  serta bebas daripada  ancaman konflik antara kaum. Pada  tahun 1959, sebuah Jawatankuasa Penyemak Matapelajaran telah dibentuk  yang dikenali  sebagai Laporan Rahman Talib. Jawatankuasa ini diketuai oleh Menteri Pelajaran ketika itu, iaitu Abdul Rahman Talib. Tujuan perlantikan  jawatankuasa  ini untuk mengkaji semula polisi pendidikan kebangsaan  sebagaimana yang telah  dicadangkan dalam Laporan Razak yang  dibuat pada tahun 1956. Antara cadangan-cadangan yang dikemukakan dalam Laporan Rahman Talib ialah menjadikan Bahasa Melayu sebagai  bahasa pengantar  utama di setiap sekolah  termasuk  Sekolah Kebangsaan  Cina  dan Tamil.

     Antara  tindakan-tindakan  yang diambil  ialah  mewajibkan semua  murid lulus dalam mata pelajaran Bahasa  Melayu dalam peperiksaan awam,  kertas  peperiksaan ditulis  menggunakan  Bahasa Melayu. Ini  bertujuan  bagi  memupuk  semangat  perpaduan dikalangan masyarakat  berbilang kaum. Jawatankuasa ini  juga  mencadangkan  agar  umur persekolahan  murid-murid  dinaikkan daripada  12 tahun ke 15 tahun. Ia bertujuan untuk mengelakkan berlakunya masalah pengangguran  dan masalah sosial sekiranya  murid-murid ini  berhenti sekolah terlalu awal. Di samping itu  juga, Sekolah Menengah  Teknik dan Vokasional telah ditubuhkan bagi  melahirkan  pelajar yang  mempunyai kemahiran dalam  pelbagai  bidang  dan jurusan.  Laporan Rahman Talib ini  kemudiannya telah dibentangkan  di Parlimen  dan diluluskan  yang mana  kemudiannya dikuatkuasakan  dalam  Akta Pelajaran 1961.  Sejak itu, perkembangan pendidikan  kebangsaan  selanjutnya  adalah berdasarkan kepada  polisi pendidikan kebangsaan  yang  tercatat  dalam  Akta Pelajaran 1961.

   Sistem  pendidikan negara terus mengalami  perubahan di sekitar tahun 1963  hingga 1975 selaras dengan perlaksanaan  rancangan lima tahun Malaysia.  Perkembangan sistem pendidikan Negara  pada tahun ini  boleh dibahagijan kepada  tiga tahap iaitu tahap pertama dari tahun 1963 hingga 1965, Tahap  ke dua dari tahun 1966 hingga 1970  dan  tahap  ketiga dari  tahun 1971 hingga  1975. Tahap  pertama merupakan  tahap  perlaksanaan rancangan sistem  pendidikan   yang  telah  dikuatkuasakan  dalam  Akta  Pelajaran 1961.  Tahap  kedua pula merupakan tahap  perlaksanaan rancangan pendidikan  di bawah  Rancangan Malaysia Pertama.  Ia digubal  dengan tujuan untuk menyelesaikan masalah  ekonomi dan  sosial  yang timbul dalam  tempoh  tersebut.  Sistem pendidikan pada  tahap ini  bukan hanya  berorientasikan  kepada  pembasmian  buta huruf  tetapi  juga  untuk  mencapai  matlamat ekonomi  negara. Antara  matlamat  lain yang  ingin dicapai ialah  untuk  memperkukuhkan sistem  pendidikan  kebangsaan  bagi  memupuk  perpaduan  social, kebudayaan dan politik, menyediakan  kemudahan pendidikan  yang lebih  bersistematik dan  selesa kepada para  pelajar, meningkatkan  taraf pendidikan  di seluruh Negara  serta  melaksannakan pendemokrasian pendidikan  tanpa  mengira  kaum mahu pun agama.

Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

CONTOH FORUM BERTAJUK (Pengaruh perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi dalam pendidikan)

BENTUK HALANGAN DALAM MEMBENTUK PERPADUAN DAN CARA MENGATASINYA

Pengertian Akhlak