MID NUFF

KKBI Hubungan Etnik WAJ semester 3 PISMP




                                                                                                               MUKA SURAT
HALAMAN PENGAKUAN
BORANG KOLABORASI
PELAN TINDAKAN
1.0               KONSEP PERLEMBAGAAN
2.0               UNSUR-UNSUR PERLEMBAGAAN
3.0               GARIS MASA SEJARAH PENGGUBALAN
PERLEMBAGAAN
4.0               LAPORAN INDIVIDU
5.0               REFLEKSI
6.0               BIBLIOGRAFI
7.0               LAMPIRAN


Ciri-ciri utama dalam setiap peringkat ke arah penggubalan perlembagaan sehingga penubuhan Malaysia.
Bagi sesebuah Negara moden yang berdaulat, perlembagaan merupakan sumber undang-undang tertinggi dan setiap individu perlu mematuhi keluhurannya. Perlembagaan adalah undang-undang asas pemerintahan Negara. Selain itu, perlembagaan juga berperanan sebagai panduan bagi membentuk undang-undang sama ada oleh pihak kerajaan atau rakyat. Umumnya, perlembagaan dibahagikan kepada dua iaitu perlembagaan bertulis dan tidak bertulis. Perlembagaan bertulis seperti perlembagaan Malaysia ialah bentu perlembagaan yang dikumpul dan disusun dalam satu dokumen. Manakala perlembagaan tidak bertulis seperti di Britain pula merangkumi semua prinsip perlembagaan yang tidak terkumpul dalam satu dokumen seperti undang-undang yang diluluskan oleh parlimen dan keputusan-keputusan mahkamah.
Perlembagaan Malaysia yang ada pada hari ini dipengaruhi oleh beberapa siri peristiwa sejarah Malaysia. Tanah Melayu telah dijajah dan dinaungi oleh kuasa asing selama 446 tahun. Penjajahan ini bukan hanya daripada kuasa Barat seperti Portugis, Belanda dan British tetapi juga daripada kuasa Timur seperti Siam dan Jepun.
Perjuangan ke arah kemerdekaan terus bersemarak apabila Jepun menyerah kalah pada tahun 1945. Dalam tempoh penyerahan Jepun dan kedatangan semula British ke Tanah Melayu, telah berlaku kekacauan dan huru-hara yang ditimbulkan oleh Parti Komunis Malaya selama 13 hari. Pada masa ini, berlaku pergaduhan yang melibatkan orang Melayu dan Parti Komunis Malaya. Apabila British kembali semula ke Tanah Melayu, mereka memperkenalkan Pentadbiran Tentera British (British Military Administration- BMA) dan seterusnya digantikan dengan Malayan Union.


Malayan Union diluluskan oleh Parlimen British pada 10 Oktober 1945. Sir Arnold Mac Michael dilantik sebagai wakil British untuk mendapatkan tandatangan daripada Raja-Raja Melayu. Malayan Union diperkenalkan adalah untuk menyatukan negeri-negeri dan meningkatkan kecekapan pengurusan pentadbiran. Negeri-negeri seperti Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, Negeri-Negeri Selat dan Negeri-Negeri Melayu tidak Bersekutu memerlukan perbelanjaan yang besar dan system pentadbirannya terpisah. Selain itu, British menyimpan perasaan anti-Melayu kerana orang Melayu bekerjasama dengan Jepun sebelum ini dan pengenalan Malayan Union dapat melemahkan kuasa orang Melayu terutamanya Raja-Raja Melayu. Akhir sekali, Malayan Union merupakan langkah pertama dalam proses menyediakan penduduk Tanah Melayu ke arah pemerintahan sendiri.
Ciri-ciri Malayan Union yang ingin diperkenalkan oleh British ialah:
      i.        Semua negeri Melayu serta Pulau Pinang dan Melaka disatukan di bawah sebuah kerajaan pusat. Malayan Union ini akan diperintah oleh seorang Gabenor British dengan bantuan Majlis Mesyuarat Persekutuan dan Majlis Perundangan.
    ii.        Singapura dijadikan tanah jajahan berasingan di bawah kuasa seorang Gabenor British.
   iii.        Kedaulatan Raja-Raja Melayu dihapuskan, Sultan hanya berkuasa dan boleh bersuara dalam soal yang berkaitan agama Islam dan adat istiadat Melayu sahaja.
   iv.        Hak kerakyatan yang sama bagi semua orang tanpa mengambil kira bangsa dan keturunan. Bagi yang telah menetap di Tanah Melayu sebelum Malayan Union, boleh menjadi warganegara secara automatic jika berumur 18 tahun ke atas dan telah menetap selama sepuluh daripada lima belas tahun sebelum 15 Februari 1942. Pengenalan Malayan Union memberikan hak warganegara kepada sesiapa sahaja yang lahir di Tanah Melayu.
Penentangan hebat orang Melayu berlaku dibeberapa buah negeri di Tanah Melayu. Pada bulan Januari 1946, lebih 50, 000 orang Melayu mengadakan demonstrasi di Alor Star. Manakala di Kelantan dihadiri lebih kurang 10, 000 orang da Johor pada 10 Februari 1946, lebih 15, 000 orang Melayu mengadakan demonstrasi. Walaupun wujud tentangan daripada orang Melayu, Malayan Union diisytiharkan pada 1 April 1946 dengan Sir Edward Gent sebagai gabenor pertama. Orang Melayu telah memulaukan majlis penisytiharan tersebut dan akhirnya British mengalah apabila Malayan Union digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu.
Ekoran penentangan yang kuat dan berterusan daripada orang Melayu, British membatalkan cadangan menubuhkan Malayan Union. British menyedari bahawa tanpa sokongan orang Melayu, Malayan Union pasti akan gagal. Justeru, British menubuhkan Jawatankuasa Kerja pada bulan Julai 1946 yang terdiri daripada empat orang wakil Raja Melayu, dua orang wakil UMNO dan enam orang pegawai British. Jawatankuasa ini bertanggungjawab merangka sebuah perlembagaan baharu yang boleh diterima oleh orang Melayu. Pada akhir bulan Disember 1946 British menubuhkan Jawatankuasa Perundingan yang terdiri daripada lima orang Eropah, dua orang Cina dan dua orang India untuk mendapatkan pandangan orang bukan Melayu mengenai draf perlembagaan yang disediakan oleh Jawatankuasa Kerja.
Akhirnya, British mengisytiharkan Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948. Berikut adalah ciri-ciri penting dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu:
      i.        Sembilan negeri Melayu terlibat dalam Persekutuan beserta Pulau Pinang dan Melaka. Singapura kekal menjadi tanah jajahan yang berasingan;
    ii.        Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu akan diketuai oleh Pesuruhjaya Tinggi British dan dibantu oleh Majlis Perundangan Persekutuan dan Majlis Mesyuarat Kerja Persekutuan;
   iii.        Majlis Mesyuarat Kerja Persekutuan akan terdiri daripada tiga orang anggota ex-officio, empat orang anggota rasmi (dilantik oleh Pesuruhjaya Tinggi) dan sekurang-kurangnya lima dan selebih-lebihnya tujuh orang anggota tidak rasmi (dilantik oleh Pesuruhjaa Tinggi);
   iv.        Majlis Perundangan Persekutuan terdiri daripada Pesuruhjaya Tinggi, tiga orang anggota ex-officio, Sembilan orang Yang Dipertua Majlis-majlis Mesyuarat Negeri serta dua orang wakil Majlis Tempatan Melaka dan Pulau Pinang dan 10 orang anggota rasmi dan 50 ahli tidak rasmi (kesemuanya dilantik oleh Pesuruhjaya Tinggi;
    v.        Sultan diberi semula hak dan kuasa memerintah tetapi dengan nasihat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Majlis Perundangan Negeri;
   vi.        Syarat-syarat kewarganegaraan secara permohonan mestilah telah lahir di Tanah Melayu dan bermastautin di sana selama lapan daripada dua belas tahun sebelum permohonannya atau telah bermastautin di Tanah Melayu tidak Kurang lima belas tahun daripada dua puluh tahun sebelum permohonannya. Umur minimum bagi kedua-dua situasi tersebut ialah 18 tahun dan mempunyai pengetahuan bahasa Melayu atau Inggeris yang baik;
  vii.        Orang Melayu diberi hak istimewa sebagai kaum Bumiputera dan mempunyai perwakilan terbesar dalam Kerajaan Persekutuan dan Negeri.  








Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu digubal oleh Suruhanjaya Reid yang ditubuhkan pada tahun 1956. Keahliannya terdiri daripada Lord Reid yang ditubuhkan pada tahun 1956. Keahliannya terdiri daripada Lord Reid (Britain), Sir Ivor Jennings (Britain), Sir William Mckell (Australia), B. Malik (India) dan hakim Abdul Hamid (Pakistan). Perjanjian London juga telah menetapkan agar perlembagaan yang ingin digubal perlu mengambil kira perkara berikut iaitu:
              i.        Pembentukan sebuah persekutuan dengan kerajaan pusat yang kuat;
            ii.        Pemeliharaan kedudukan, keistimewaan, kehormatan dan hak Raja-Raja Melayu;
           iii.        Pewujudan jawatan Ketua Negara yang bergelar Yang di-Pertuan Agong;
           iv.        Pemeliharaan hak-hak istimewa orang Melayu serta hak-hak yang sah milik kaum lain;
            v.        Pembentukan satu system kewarganegaraan yang seragam untuk seluruh Persekutuan Tanah Melayu.
Perlembagaan menjadi kukuh dan praktikal serta dihormati kerana Suruhanjaya Reid telah meminta cadangan dan pandangan daripada bukan sahaja parti-parti politik tetapi juga orang ramai, individu-individu dan Raja-Raja Melayu. Malahan suruhanjaya ini telah menerima 131 memorandum bertulis dan bersidang banyak kali dari bulan Jun hingga Oktober 1956. Hal ini menunjukkan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu telah mendapat persetujuan dan pandangan majoriti rakyat Malaysia.
            Perlembagaan Malaysia adalah mengenai agama Islam, Bahasa Melayu dam kedudukan istimewa orang Melayu serta kedudukan Raja-Raja Melayu. Akhirnya draf Perlembagaan Malaysia telah diterima dan diisytiharkan sebagai Perlembagaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957. Perlembagaan Malaysia sekali lagi diperbaharui apabila Singapura, Sabah dan Sarawak bergabung dengan Tanah Melayu lalu membentuk Malaysia pada 16 September 1963.
Kepentingan perlembagaan dalam konteks hubungan etnik
Perlembagaan adalah undang-undang yang mengandungi peraturan yang boleh dikuatkuasakan atau prinsip asas yang mengasaskan sistem pemerintahan seperti yang termaktub dalam undang-undang atau adat perundangan. Perlaksanaan Perlembagaan telah banyak membawa kebaikan kepada negara secara amnya dan kepada rakyat secara khususnya.
Perlembagaan merupakan penentu kepada rangka dan bentuk pemerintahan serta kuasa yang diamanahkan kepada mereka yang menerajui tampuk pemerintahan dan terbukti Pelembagaann mampu menjamin satu pentadbiran yang cekap, jujur dan adil. Oleh itu Perlembagaan adalah penting bagi sesebuah negara untuk menjamin kesinambungan pentadbiran dan kestabilan politik seterusnya menjamin kemakmuran dan kesejahteraan rakyat.
Perlembagaan juga menggariskan kebebasan dan hak asasi warganegara seperti kebebasan diri, kebebasan bercakap, kebebasan memiliki harta dan kebebasan beragama. Dengan peruntukan tersebut, Perlembagaan menjamin keselamatan dan keamanan melalui undang-undang yang digariskan sejara jelas. Selain itu, Perlembagaan menentukan batasan bagi menjaga keselamatan dan memastikan pentadbiran berjalan dengan lancar bagi kemakmuran rakyat
Perlembagaan Malaysia juga memastikan wujudnya keadilan sosial antara kaum. Bagi menjamin keadilan antara kaum, kebebasan sosial dihadkan. Ini bermakna seseorang itu diberi kebebasan bercakap tetapi kebebasan ini dihadkan kerana seseorang itu tidak dibenarkan bercakap mengenai isu sensitif seperti keistimewaan hak orang Melayu dan bumiputera, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta agama Islam sebagai agama rasmi kerajaan yang boleh menimbulkan kebencian terhadap kaum lain serta akan mengakibatkan berlakunya persengketaan dan pergaduhan antara kaum yang bakal mengancam keselamatan negara.

Perkara ini telah  termaktub dalam pindaan Akta Hasutan pada tahun 1970 yang mengehadkan hak kebebasan seseorang bercakap. Dengan ini Perlembagaan boleh menjamin keselamatan dan rakyat daripada dianiaya serta keamanan negara.
Unsur taat setia kepada negara adalah termaktub dalam Perlembagaan Malaysia. Perkara tersebut menyatakan bahawa seseorang itu akan diperintah dilucutkan kerakyatannya sekiranya kerajaan Malaysia berpuas hati bahawa seseorang itu telah memperolehi kerakyatan negara lain. Seseorang itu juga diarahkan dilucutkan kerakyatannya sekiranya terbukti yang dia tidak setia atau tidak suka kepada negara ini. Perkara ini jelas menunjukkan bahawa kepentingaan Perlembagaan di negara kita adalah untuk menjaga kedaulatan, keamaan dan kesejahteraan negara.
Perlembagaan juga menentukan supaya hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera di Sabah dan Sarawak tidak boleh dipersoalkan kerana ini adalah jaminan awal sebelum Persekutuan Tanah Melayu merdeka dan sebelum Sabah dan Sarawak bersetuju memasuki Malaysia pada tahun 1963. Walau bagaimanapun semua warganegara Malaysia, tanpa mengira kaum adalah sama rata di sisi undang-undang, bebas menganut dan mengamal agama masing-masing, boleh mengajar dan bertutur dalam bahasa ibunda mereka sendiri serta berhak memiliki harta.
Selain itu, terdapat juga peruntukan mengenai hak pelajaran yang menegaskan bahawa tidaklah boleh ada perbezaan terhadap mana-mana warganegara semata-mata atas sebab agama, kaum, keturunan atau tempat lahir untuk kemasukan dan bayaran yuran ke institusi pendidikan yang diselenggarakan oleb kerajaan. Hal ini menunjukkan bahawa kerajaan begitu menitik beratkan soal keaman, kemakmuran dan hak sama rata di kalangan rakyat di negara ini.

Seperti negeri-negeri di Semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak juga menyerahkan kuasanya dalam beberapa bidang kepada kerajaan pusat seperti pendidikan dan kesihatan.  Kesan daripada penyerahan kuasa ini ialah pembangunan yang sangat pesat dalam bidang pendidikan dan perkhidmatan seperti kesihatan, pos, telekom dan polis. Di sini, perkongsian budaya telah wujud dan mengeratkan perasaan kekitaan dan persefahaman. Selain itu, usaha ke arah mewujudkan integrasi nasional telah  menampakkan hasil dan dapat mempercepatkan lagi proses pembentukan negara bangsa yang bersatu dan berdaulat.
Bagi dunia pendidikan pula, pemilihan pelajar ke institusi pengajian tinggi telah merima sistem meritokrasi yang menolak pelaksanaan sistem koata yang dilaksanakan sebelum itu. Sistem meritokrasi melaksanakan pemilihan pelajar berdasarkan prestasi akademik tapa mengira golongan etnik. Walaupun kedudukan istimewa mengenai pendidikan telah termaktub dalam Perlembagaan, namun pelbagai sikap akomodatif antara Melayu dan bukan Melayu telah diwujudkan ke arah memantapkan lagi hubungan etnik di Malaysia
Sesungguhnya, apabila wujudnya perpaduan nasional, maka barulah terjamin kesejahteraan masyarakat majmuk, dan seterusnya akan melahirkan pula sebuah negara dan bangsa Malaysia yang bersatu, demokratik, adil, liberal, dan saintifik tanpa mengira keturunan dan kepercayaan. Pendeknya, jelas sekali sistem Perlembagaan merupakan kunci kepada masyarakat pelbagai kaum di Malaysia ini, demi untuk memelihara serta mengekalkan keharmonian dan perpaduan kaum bagi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara Malaysia itu sendiri.




Kontrak sosial dalam konteks hubungan etnik.
Teori kontrak sosial menurut pandangan ahli teori demokratik Eropah seperti Thomas Hobbes dan John Locke ialah bahawa manusia mewujudkan negara sebagai satu perjanjian bersama di mana setiap individu itu bersetuju kepadanya. Kontrak ini bererti individu-individu yang bebas bersetuju untuk menyerahkan haknya untuk memerintah diri sendiri itu kepada satu institusi bersama yang berkuasa dan berdaulat.
Dari segi bahasa pula, kontrak boleh didefinisikan sebagai perjanjian formal dengan syarat-syarat tertentu antara dua pihak atau lebih. Ia juga bermaksud dokumen yang mengandungi syarat-syarat perjanjian atau cabang undang-undang yang berkaitan dengan kontrak. Sosial pula boleh ditakrifkan sebagai segala yang berkaitan dengan masyarakat, perihal masyarakat dan kemasyarakatan. Oleh itu, kontrak sosial apabila diasimilasikan boleh ditakrifkan sebagai satu bentuk perjanjian atau permuafakatan yang ditulis dan ditetapkan oleh undang-undang yang melibatkan semua masyarakat di sesebuah negara. Ia juga merupakan satu istilah permuafakatan antara kaum yang dicapai sebelum merdeka melalui satu persetujuan di kalangan rakyat dan pemimpin yang terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan India. Pemeteraian kontrak sosial ini juga turut disertai dan dipersetujui oleh parti-parti yang mereka wakili iaitu UMNO, MCA dan MIC. Istilah ini sebenarnya tidak wujud dalam Perlembagaan Persekutuan 1957 tetapi dari perspektif lain, kontrak sosial sememangnya wujud dalam sejarah negara dan permuafakatan yang dicapai itulah yang mentakrifkan negara Malaysia dan seterusnya menentukan sifat sesebuah Negara.




Sejarah Kewujudan Kontrak Sosial
Sejarah perjanjian ini bermula apabila Perjanjian Pangkor ditandatangani
pada 20 Januari 1874. Perjanjian ini memperkenalkan sebuah sistem yang mengurangkan kuasa raja dan keistimewaan orang Melayu iaitu Sistem Residen.
Peranan seorang residen pada awalnya merupakan penasihat raja sahaja tetapi
akhirnya mencampur tangan dalam urusan raja. Dengan adanya sistem residen,
ekonomi yang dahulunya dimonopoli oleh raja dan pembesar melayu telah
terjejas. Kemasukan orang asing ke dalam Tanah Melayu telah mengeksploitasikan hasil bumi. Dasar pecah dan perintah, diskriminasi kaum serta penempatan kaum mengikut kawasan dengan menempatkan orang Melayu di luar bandar, orang Cina di bandar dan orang-orang India di ladang-ladang getah berjaya memundurkan pencapaian orang Melayu dan membentuk tembok curiga di antara kaum.

Selepas itu, beberapa lagi sistem bagi mengkukuhkan lagi kuasa British di Tanah Melayu telah diperkenalkan dan digunakan. Di antaranya ialah penubuhan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu pada tahun 1896 dengan termeterainya Perjanjian Persekutuan 1896 iaitu menggabungkan negeri Pahang, Negeri Sembilan, Selangor dan Perak. Kononya perjanjian ini bertujuan untukmengembalikan kuasa sultan. Kuasa pentadbiran bagi keempat-empat negeri tersebut berada dalam kuasa Residen-Jeneral.

Selain itu, penubuhan Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu dan Negeri-Negeri Selat juga telah banyakmemberi banyak kesan negatif kepada pribumi dan raja serta pembesar Melayu. Pendudukan Jepun di Tanah Melayu juga telah mengeruhkan keadaan dengan menambahkan lagi perasaan prasangka dan politik perkauman di antara kaum dengan melayan kaum Cina dengan teruk tetapi melayan baik kaum India dan kaum Melayu.

Dasar penjepunan juga telah diperkenalkan dan ini mengetepikan bahasa ibunda masyarakat Melayu. Kuasa sultan dan pembesar juga tidak dikembalikan seperti yang dijanjikan sebelum Jepun mengalahkan pihak British. Selepas Jepun menyerah diri dan mengembalikan Tanah Melayu kepada pihak British, bermulalah rancangan pembentukan Malayan Union.

Dalam pembentukan itu, sebuah perlembagaan telah cuba diperkenalkan. Perlembagaan ini telah mengurangkan kuasa perundangan di peringkat negeri, menghapuskan hak-hak raja dan hak istimewa orang Melayu sebagai penduduk pribumi Tanah Melayu serta peruntukan kuasa eksekutif dan perundangan kepada seorang Gabenor. Rancangan ini telah menerima pelbagai tentangan dari kalangan kaum  Melayu, Cina dan India. Selepas rancangan ini gagal, sebuah Jawatankuasa Kerja ditubuhkan pada 1946 untuk membentuk sebuah persekutuan dengan suatu perlembagaan yang boleh diterima pakai oleh semua golongan masyarakat. Hasil dari kajian dan perbincangan, satu perjanjian telah dimeterai iaitu Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948 dan diketuai oleh seorang Pesuruhjaya Tinggi British. Tetapi atas desakan, akhirnya British telah membenarkan satu pilihanraya diadakan pada 27 Julai 1955. Parti Perikatan telah memenangi pilihanraya tersebut dan telah membuat satu rombongan ke London untuk memperolehi kemerdekaan. Perlembagaan Persekutuan 1957 berkuat kuasa sehingga sekarang dan telah mengalami beberapa perubahan contohnya kemasukan Sabah dan Sarawak serta penukaran nama Persekutuan kepada Malaysia pada tahun 1963.








Tujuan Kontrak Sosial

Terdapat beberapa tujuan kontrak sosial cuba diwujudkan oleh kerajaan Malaysia. Antaranya ialah untuk menyelesaikan perbezaan kepentingan diri atau kelompok masing-masing. Kedua, untuk memastikan kepentingan majoriti dan minoriti di ambil kira tanpa menjejaskan hak dan kepentingan masing-masing. Tujuan ketiga adalah untuk memastikan persetujuan yang dicapai kekal dan diwarisi turun-temurun. Ini adalah kerana persetujuan tersebut dianggap memenuhi kepentingan yang berpanjangan. Keempat, memastikan setiap pihak yang bersetuju akan mematuhi dan menyampaikan kepada generasi seterusnya agar ia tidak bercanggah di masa depan. Kontak sosial juga dapat  melanjutkan kelangsungan pentadbiran yang cekap. Selain itu, ia juga dapat mewujudkan keadaan politik yang stabil di samping untuk menjamin keselamatan, keamanan dan kesejahteraan rakyat. Justeru itu, ia sedikit sebanyak dapat memupuk semangat patriotisme dan cintakan tanahair. Tambahan pula, kontrak sosial dilihat dapat mewujudkan masyarakat yang bebas dan adil dalam usaha untuk mencapai integrasi nasional.

Kandungan dalam Kontrak Sosial

Antara isu yang terkandung dalam kontrak sosial adalah Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, Agama Islam sebagai Agama Persekutuan, Hak Keistimewaan Orang Melayu, Kedaulatan Rajaraja dan Sultan Melayu serta taraf kerakyatan melalalui Prinsip ‘Jus Soli’.

Perlembagaan Persekutuan 1957 Perkara 152 menjadikan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Ini bertujuan untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dengan diwajibkan di semua jenis pusat pendidikan. Ini merupakan salah satu langkah untuk mencapai perpaduan negara. Pada masa yang sama, Dewan Bahasa dan Pustaka telah ditubuhkan untuk memajukan Bahasa Melayu serta menggalakkan penggunaannya.
Minggu Bahasa Melayu dan Bulan Bahasa Melayu dilancarkan dalam tahun 1960, melalui cogan kata “Bahasa Jiwa Bangsa”. Akta Bahasa Kebangsaan 1967 menetapkan bahawa Bahasa Melayu hendaklah digunakan dalam semua urusan rasmi. Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri boleh menggunakan bahasa Inggeris di dalam Dewan dengan kebenaran Yang Di Pertua Dewan. Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah dan Sarawak dibenarkan menggunakan bahasa Inggeris selepas 10 tahun merdeka. Sebagai mercu kejayaan dalam usaha mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara, Universiti Kebangsaan Malaysia telah ditubuhkan pada 1970. Kesemua sekolah di Malaysia menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan merupakan satu subjek wajib bermula dari tahun 1982.

Manakala dalam Perkara 3 (1) pula, Agama Islam merupakan agama persekutuan. Walaubagaimanapun, ini bukanlah bermaksud negara ini mengamalkan sistem teokrasi. Rakyat Malaysia yang lain masih bebas menganut agama yang lain dan merayakan perayaan masing-masing. Mereka juga bebas untuk mengamalkan adat dan tradisi agama masing-masing.

Ketiga, prinsip kerakyatan secara ‘jus soli’ telah diperkenalkan semasa rancangan Malayan Union diperkenalkan di Tanah Melayu iaitu kaum Cina dan India yang dilahirkan di Tanah Melayu merupakan warganegaranya. Tetapi dengan adanya Perlembagaan, kerakyatan Jus Soli telah diperketatkan. Antara syarat itu ialah penduduk bukan Melayu mesti tinggal di PTM (Persekutuan Tanah Melayu) tidak kurang daripada 10 tahun. Kedua-dua ibubapanya adalah warganegara PTM. Mereka hendaklah mengaku taat setia terhadap Tanah Melayu dan menganggap negara ini sebagai tanah tempat tumpah darahnya. Selain itu, bermula tahun 1958, mereka juga perlu fasih bertutur dalam bahasa Melayu ataupun bahasa Inggeris. Selain itu, kedudukan raja sebagai ketua negeri dan ketua agama Islam diiktiraf.

Selain itu, prinsip ‘Kesetiaan kepada Raja’ telah dimasukkan ke dalam Rukunegara yang merupakan idealogi nasional telah mengkukuhkan lagi kedudukan raja-raja di Malaysia. Di samping itu, satu pindaan telah ditubuhkan iaitu Akta Hasutan 1948. Ia bertujuan untuk melarang soalan mengenai hak, taraf kedudukan, hak istimewa, kedaulatan raja yang dilindungi oleh perlembagaan ke atas bahasa kebangsaan, kewarganegaraan, hak istimewa orang Melayu dan kuasa pemerintahan raja-raja.

Seterusnya, kedudukan hak istimewa orang Melayu bukanlah merupakan sesuatu yang baru. Perkara ini ialah merupakan perkara utama yang diperjuangkan oleh golonganorang Melayu sejak sebelum merdeka lagi. Perkara ini telah dimaktubkan didalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948. Ia bertujuan untuk menjaga hak orang Melayu sebagai penduduk asal Tanah Melayu dan mempertingkatkan kemajuan orang Melayu yang telah ketinggalan dalam semua bidang kehidupan supaya setaraf dengan kaum bukan Melayu yang lebih maju. Ini dapat mendekatkan jurang perbezaan di antara kaum terutamanya kaum Cina dengan kaum Melayu yang terpisah sejak kedatangan British di Tanah Melayu.
                           
Sebuah akta yang membolehkan penahanan seseorang tanpa bicara telah diperkenalkan selepas peristiwa 13 Mei 1969 yang dikenali sebagai Akta Keselamatan Dalam Negeri. Penahanan seseorang tanpa bicara boleh dilaksanakan jika ia merupakan langkah yang terbaik demi untuk kesejahteraan dan keselamatan Malaysia. Kesalahan seperti menggugat keselamatan dan ketenteraman Negara dengan mempersoalkan kontrak sosial boleh ditahan di bawah akta ini. Namun begitu, penahanan tersebut tidak boleh dilakukan secara sesuka hati.



Beberapa syarat perlu dipenuhi sebelum penahanan itu disahkan. Di antara syarat-syarat tersebut ialah:
i. Seseorang yang ditahan hendaklah diberitahu sebab-sebab dia ditahan dan berhak mengemukakan hujah-hujah menentang penahanannya itu dengan mengemukakan kenyataan melainkan kenyataan itu dianggap membahayakan kepentingan negara.
ii. Seseorang warganegara tidak boleh ditahan lebih dari 3 bulan melainkan penahanannya telah disyorkan oleh Yang Di-Pertuan Agong oleh satu badan penasihat. Badan penasihat itu akan mendengar hujah-hujah yang dikemukakan oleh warganegara yang ditahan itu sebelum mensyorkannya.
iii. Badan tersebut haruslah terdiri daripada seorang pengerusi dan 2 orang ahli biasa. Pengerusi itu haruslah layak iaitu merupakan hakim dan perlantikan ahli badan itu dibuat oleh Yang Di-Pertuan Agong. Perbicaraan bagi pesalah ini berlainan kerana perbicaraan adalah jenis tertutup.
Di samping itu, rintitan sejarah kontrak sosial ini mesti didedahkan, diperturunkan, dipelajari dan dihayati oleh setiap lapisan masyarakat, terutama generasi muda daripada kalangan anak-anak Melayu, Cina dan India. Mereka mesti memahami dan menghargai apa yang tersirat dan yang tersurat dalam kontrak sosial itu. Hal ini amat penting kerana kontrak sosial dapat diertikan sebagai resipi kehidupan masyarakat Malaysia yang bersatu padu, aman makmur dan harmoni. Sebagai kesimpulan, kontrak sosial adalah satu formula mewujudkan satu cara hidup yang dinamik, aman dan terus membangun melalui perpaduan dalam kepelbagaian berasaskan prinsip berkongsi, bekerjsama, toleransi dan bersatu padu.



BIBLIOGRAFI
Ahmad Ibrahim, Ahilemah Joned (1992). Sistem Undang-undang di Malaysia. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka
Hashim Yeop A. Sani (1990). Bagaimana Undang-undang Kita Diperbuat. Selangor . Dewan Bahasa dan Pustaka
K.C Wheare. (1993). Perlembagaan Moden. Selangor Darul Ehsan. Percetakan Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
Mardiana, Hasnah. (2000). Pengajian Malaysia. Kuala Lumpur. Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd, Kuala Lumpur.
Shamsul Amri Baharuddin. (2007). Modul Hubungan Etnik. Kuala Lumpur. Maskha Sdn. Bhd, Kuala Lumpur.
S.M. Mohd Noor Alam bin S.M. Hussain (1988). Federalisme di Malaysia. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka
Tun Mohamed Suffian. (1990). Pengenalan Sistem Undang-Undang Malaysia (Cetakan Pertama). Selangor. Percetakan Dewan Bahasa dan Pustaka Kementerian Pendidikan Kuala Lumpur.






Cari Forum (2004). Sejarah Perkembangan Perlembagaan Malaysia
 
http://mforum.cari.com.my/archiver/ Dilayari pada 17 Mac 2011

MYKMU NET (25 Mac 2008). Gerbang Tempur Politik Maya.                                                   http:// www.mykmu.net  Dilayari pada 19 Mac 2011
Kementerian Penerangan Malaysia Bahagian Penguruasan Maklumat Strategik (2007). Kekeriluan Mengenai Kontrak Sosial            http://bpms.kempen.gov.my/images/favicon.ico  dilayari pada 25 Mac 2011



Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

CONTOH FORUM BERTAJUK (Pengaruh perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi dalam pendidikan)

BENTUK HALANGAN DALAM MEMBENTUK PERPADUAN DAN CARA MENGATASINYA

Pengertian Akhlak