Teori Kebaikan Dalam Etika
TEORI KEBAIKAN DALAM ETIKA
Rorzali
Salleh MSc. (HRD) UNIMAS
PENGENALAN
Etika merupakan teori yang berkaitan
dengan tindakan,hujah dan tujuan yang mengarah kepada makna sesuatu
tindakan.Etika adalah bukan yang bersangkutan dengan fakta atau fizikal manusia
tetapi merupakan suatu falsafah moral yang mengambilkira tindakan atau
tingkahlaku manusia.Etika juga merupakan satu disiplin ilmu yang mengkaji
tentang moral,prinsip moral,kaedah moral dan tindakan serta kelakuan manusia
yang betul.
Etika berasal daripada perkataan
‘ethics’ yang diambil daripada perkataan ‘ethos’ yang membawa maksud sikap dan
adat yang menentukan tingkahlaku sesuatu golongan.Etika boleh dibahagikan
kepada 2 iaitu Normatik yang merujuk kepada panduan dan peraturan yang
berkaitan dengan tingkahlaku yang baik dan jahat; manakala Metaethic pula
dibahagikan kepada dua iaitu Analitik yang berkaitan dengan menganalisis semua
peraturan yang berkaitan tingkahlaku baik dan jahat, dan Kritikal yang
berkaitan dengan mengkritik terhadap apa-apa yang telah dianalisis.Dengan lain
perkataan,etika dapat didefinisikan sebagai sains moral dan prinsip-prinsip
moral.
Etika menurut French dan Granrose
(1995) adalah : "A set of normative guidelines directed towards resolving
conflicts of interest,so as to enhance societal well-being". Untuk
membentuk etika yang baik,tingkahlaku seseorang itu adalah penting dan
seseorang itu perlu ada panduan dan peraturan yang berkaitan dengan tingkahlaku
bagi mengawal dirinya dalam setiap tindakan yang dilakukan.Dengan berasaskan
kepada etika yang ada maka konflik terhadap keinginan boleh diselesaikan dan
seterusnya meningkatkan fungsi sosial seseorang itu.
Buchnolz (1989) pula mendefinisikan
etika sebagai: "…… is a systematical attempt,through the use of reason,to
make sense of our individual and social moral experience in such a way as to
determined the rules that ought to governed human conduct and the values worth
pursuing in life".
Bagi memberi makna kepada perjalanan
moral sosial dan individu,perlu ada satu sistem yang boleh menggunakan
alasan-alasan dan bertindak sebagai satu panduan yang boleh memberi kebaikan
kepada tingkahlaku manusia dan seterusnya menjadi kehidupan itu lebih bermakna.
White (1993) pula mengatakan etika
adalah cabang falsafah yang berkaitan dengan kebaikan moral(virtue moral) dan
menilai tindakan manusia.Falsafah etika adalah berbeza daripada
undang-undang,keagamaan,budaya dan pendekatan secara peribadi kepada etika
adalah menerusi kajian tingkahlaku tentang moraliti melalui rasional yang
dilihat kepada kehidupan manusia.
Etika bermula di zaman purba Greek
apabila ahli-ahli falsafah hanya memberikan tumpuan kepada kebaikan
moral.Socrates(469-399B.C.) menggunakan pendekatan yang mencabar dan
menggalakkan rakan-rakannya untuk berfikir tentang kebaikan(virtue) dan
kesihatan roh (health of the soul).Idea utama Socrates tentang etika adalah
berhubung dengan menyakinkan orang agar menjadi berakhlak
mulia(virtuous).Socrates mengatakan bahawa kebahagian adalah mustahil
diperolehi tanpa memiliki moral kebaikan dan tindakan yang tidak beretika akan
menggangu orang lain malah beliau menganggap orang yang tidak beretika sebagai
orang yang lemah dan mempunyai psikologi yang tidak sihat.
Hubungan etika dan personaliti
manusia dilanjutkan oleh anak muridnya iaitu Plato(428-348B.C.) yang mengatakan
bahawa moral kebaikan adalah suatu imbangan dan harmoni di kalangan perbezaan
yang wujud dalam roh(soul) dan alasan(reason) akan mengamblalih keperluan
fizikal dengan dibantu oleh emosi.Sepertimana Socrates,Plato melihat moral
kebaikan sebagai suatu keperluan terhadap kesihatan roh tetapi kebaikan yang
sejati adalah sukar dicapai dan bergantung sepenuhnya kepada peringkat
pembelajaran falsafah yang tinggi dan kebenaran metafizik yang memerlukan
kajian yang lama.Oleh itu,mengikut Plato kebaikan moral adalah berada di
bahagian dalaman intelektual.Bagi Aristotle(384-322B.C.)pula,beliau melihat
kebaikan moral agak berbeza daripada Plato dan Socrates di mana beliau
menyatakan bahawa kebaikan moral mempunyai hubungan yang sedikit dengan
intelektual tetapi lebih kepada sifat(character) atau personaliti.Aristotle
mendefinisikan kebaikan moral (virtue moral) sebagai: "not…… according to
the nature of the actions,but according to the dispositions of the doer".
Aristotle juga mempertikaikan tentang kebaikan moral dikembangkan sepertimana
kemahiran fizikal iaitu menerusi latihan dan tabiat.Bagi Aristotle,beretika
adalah merupakan dimensi dalaman dalam tindakan seseorang dan kebaikan(virtue)
bergantung kepada sifat bukan perbuatan(deeds) dan sifat seseorang itu dibentuk
oleh setiap tindakan yang dipamerkan.Plato dan Socrates pula mengatakan
beretika itu mempunyai hubungan yang rapat antara kebaikan moral dan
personaliti yang sihat.Walau bagaimanapun ketiga-tiga ahli falsafah ini
berpendapat bahawa kebajikan seseorang itu bergantung sepenuhnya dan berada di
dalam tangan seseorang itu.
Sekiranya etika dahulu menekankan
kebaikan moral dan rasionalnya,etika moden banyak menfokuskan kepada menentukan
sifat-sifat beretika menerusi tindakan dan telah membentuk 2 persaingan iaitu
tindakan yang mempunyai sifat etika dalaman dan memerlukan status moral
daripada akibat(consequences) yang dibuat dan tindakan itu samada betul atau
salah.Dahulunya ia dikenali sebagai Teologikal dan sekarang dikenali dengan Deontological
iaitu pendekatan kepada etika.
Etika bukan sahaja terdiri daripada
satu set peraturan atau huraian yang menentukan bagaimana seseorang seharusnya
bertindak tetapi ia terdiri daripada tindakan dan motif orang yang beretika
dalam melakukan sesuatu yang betul(right) dalam semua situasi yang
dihadapi.Tindakan beretika datang dari seorang yang berakhlak mulia(virtuous)
yang mengambil berat tentang melakukan sesuatu yang baik dan bukannya menjadi
hamba kepada satu set peraturan yang difikirkan mempunyai kaitan dengan
kebaikan dalam keadaan yang tertentu.
Teori Etika Teologikal dan
Deontologikal adalah berkaitan dengan prinsip dan peraturan yang memperkatakan
tentang apa yang sepatutnya dilakukan dan bukannya apakah jenis manusia yang
hendak dibentuk.Teori Etika Teologikal yang juga dikenali dengan
‘consequentialism’ adalah sejenis teori yang mendakwa bahawa samada sesuatu
tindakan secara moral itu betul atau salah adalah bergantung sepenuhnya kepada
akibat(consequences) atau hasil daripada sesuatu tindakan.Sementara Teori Etika
Deontologikal pula adalah sejenis etika kepercayaan yang mendakwa atau
menyatakan bahawa kewajipan atau tugas adalah asas kepada betul(right) atau
salah(wrong).Tugas etika adalah menyediakan garispanduan kepada tindakan (action)
yang tekal dengan anggapan umum tentang maksud etika atau moral.
Dalam membuat pertimbangan tentang
etika dan moral,seseorang itu tidak sahaja membuat penilaian terhadap tindakan
seseorang samada betul atau salah,ia juga perlu membuat penilaian dari segi perwatakan
yang baik atau buruk.Kritikan dibuat adalah secara positif atau negatif dan
bukan setakat berdasarkan kepada apa yang dilakukan tetapi siapa mereka dan
apakah perwatakan dalaman yang dipamerkan.Sebagai contoh, dalam satu insiden
kemalangan kapalterbang yang jatuh terhempas ke dalam laut dan terdapat
beberapa mangsa yang terselamat dalam tragedi tersebut.Salah seorang daripada
mangsa tersebut telah menjumpai tali dan menjalankan proses menyelamat dengan
tujuan untuk mengumpul mangsa-mangsa yang berselerakan.Tanpa menghiraukan
keselamatan dirinya,mangsa tersebut telah menyelamatkan mangsa-mangsa yang lain
ke tempat yang selamat dan akhirnya dia sendiri telah tenggelam ke dasar
laut.Tindakan mangsa yang mati tadi seharusnya dipuji kerana disifatkan sebagai
seorang yang berhati baik kerana tidak mementingkan diri sendiri dan
berkesanggupan untuk menggorbankan nyawa bagi menyelamatkan orang lain.
Etika kebaikan(virtue) memperkatakan
tentang penyemaian tret berakhlak mulia(virtuous) dalam sifat seseorang sebagai
antara fungsi asas perlakuan moral.Pilihan yang betul yang dibuat adalah
berdasarkan kepada perasaan tanggungjawab tetapi tidak semestinya menentukan
seseorang itu sebagai seorang yang berakhlak mulia(virtuous).Seseorang yang
memiliki ‘ethical egoism’ bertindak kerana hanya melaksanakan tanggungjawab
kadangkala dianggap sebagai tidak ikhlas dan lebih kepada memenuhi keperluan
moralnya.Oleh yang demikian,kita tidak boleh menganggap mangsa yang mati tadi
sebagai seorang yang berakhlak mulia dan memiliki sifat yang baik dan
bermoral.Mangsa yang mati tadi boleh dipuji kerana tindakannya tetapi tidak
kepada tindakan yang dibuatnya dari segi individu itu sendiri.
Dalam kes mangsa yang mati kerana
untuk menyelamatkan orang lain,maklumat lain tentang mangsa tersebut tidak
diketahui melainkan tindakan yang telah diambilnya untuk menyelamatkan orang
lain.Sebaliknya pula dia dianggap sebagai seorang yang berakhlak mulia kerana
tidak mementingkan diri sendiri dan berani dengan tindakan yang
diambilnya.Samada dia melakukannya kerana tanggungjawab atau tidak,adalah tidak
diketahui dan mungkin tindakannya itu tidak membawa sebarang makna.Kita
menganggapnya sebagai seorang hero kerana tindakannya dan menganggap dia
memiliki ciri-ciri tret yang tekal dengan tindakannya.Kita percaya bahawa
terdapat hubungan dengan tindakan yang diambilnya,yang mana kita boleh
mempertikaikan tindakan moralnya dan dirinya sendiri daripada mengatakan etika
itu adalah apa yang telah dilakukannya.Malah kita boleh katakan bahawa etika
itu terdiri daripada tindakan moral yang diambil atau dilakukan oleh seseorang
yang bermoral.
Mangsa yang mati kerana
menyelamatkan orang lain boleh katakan sebagai seorang yang mempunyai egoism
jenis ‘psychological egoism’ iaitu tingkahlaku seseorang itu dimotivasikan oleh
kehendak sendiri.Adalah sukar untuk diterima bahawa mangsa itu telah meletakkan
keutamaan orang lain daripada keselamatan dirinya sendiri dan mengorbankan
nyawa sendiri untuk membolehkan orang lain hidup.Menerusi tindakannya itu tidak
seorangpun boleh mengatakan bahawa dia melakukan tindakan tersebut kerana
keinginannya sendiri.Tetapi sekiranya dikaji secara mendalam,ia akan dapat
melihat bahawa tindakan mangsa tersebut mempunyai unsur-unsur keinginan
sendiri(self-interest).Mangsa yang membantu dalam menyelamat tadi mungkin telah
wujud di dalam dirinya perasaan integriti yang menyebabkan ia berkorban dalam
situasi tersebut.Untuk ia melakukan sesuatu yang lain adalah mustahil kerana
ini akan merosakkan imej dan integriti dirinya sendiri.Sekiranya dia membiarkan
dirinya diselamatkan dan menyebabkan orang lain mati,dia mungkin tidak dapat
meneruskan hidup kerana merasa malu kepada keluarga,rakan dan seterusnya timbul
perasaan menyesal sepanjang hidupnya.Jadi dia tidak mempunyai pilihan selain
daripada bertindak berdasarkan imej yang telah dibentuk untuk sekian lama.Dia
samada boleh membiarkan orang lain menyelamatkannya dan ini akan merosakkan
psikologinya atau dia menyelamatkan orang lain dan merosakkan dirinya secara
fizikal.
Mangsa tersebut juga mungkin membuat
satu andaian secara tidak sedar tentang kebaikan selepas mati di mana dia
menerima pujian daripada rakan-rakannya dan dianggap sebagai seorang yang tidak
mementingkan diri sendiri.Mangsa tadi mungkin juga mempunyai sifat ethical
egoism iaitu melakukan sesuatu untuk kepentingan peribadi dan dalam keadaan ini
dia menganggap tindakannya itu sebagai satu ganjaran kepada sifat superegonya
itu di mana sekiranya dia tidak melakukan tindakan tersebut dia mungkin
menyesal kerana tidak bertindak dan seterusnya menjadi hero dalam situasi
tersebut.
Sesuatu etika yang berasaskan kepada
kebaikan adalah bergantung kepada penilaian daripada beberapa tret sifat yang
terpilih dan seharusnya tidak terkeliru dengan prinsip atau kenyataan tentang
apa yang sepatutnya dilakukan.Etika kebaikan adalah berkaitan dengan
sifat-sifat semulajadi,tabiat atau tret yang dimiliki oleh seseorang atau
keinginan yang dimilikinya.Moral kebaikan boleh dikatakan sebagai sifat
semulajadi yang kekal,tabiat atau tret yang berkaitan dengan moral yang
terpuji.Dengan kata lain,kebaikan(virtue) adalah berhubung dengan kualiti
dalaman yang dimiliki oleh seseorang dan dilihat menerusi aktiviti
sehariannya.Etika kebaikan adalah berasaskan kepada keadaan semulajadi daripada
apa yang telah dilakukan.
Falsafah tentang kebaikan adalah
berbeza dan bergantung kepada kewujudan dalam kehidupan moral seseorang
itu.Agama Kristian menyatakan bahawa kebaikan kesetiaan(virtue of
faith),pengharapan(hope) dan kasih sayang(love) sebagai tret utama dalam
sifat-sifat yang bermoral.Ini boleh ditambahkan lagi dengan kearifan
(wisdom),keberanian(courage),kesederhanaan(temperance) dan keadilan(justice)
yang mana merupakan kebaikan yang diperkenalkan oleh para ahli falsafah purba
Greek.Kearifan, keberanian, kesederhanaan dan keadilan merupakan kebaikan utama
dan tidak boleh dipisahkan antara satu sama lain serta moral kebaikan yang lain
dipercayai sebagai cabang daripada kebaikan-kebaikan di atas.Kebaikan yang
berkaitan dengan keadilan(fairness),kesetiaan(faithfulness) dan mengenang
budi(gratefulness) juga dipercayai atau merupakan kualiti yang seharusnya
dimiliki dan ditunjukkan oleh seseorang yang bermoral.Dalam islam,kesanggupan
meniru sifat-sifat ketuhanan seperti takwa,keimanan,sabar,ikhlas,jujur,zuhud
dan segala sifat kesempurnaan Allah S.W.T. yang lain merupakan syarat
kesempurnaan etika.Pembentukan etika yang berkesan adalah menerusi hati
daripada sebarang perkara lain melainkan Allah S.W.T. dan pencetusan etika yang
terpuji adalah yang bersumberkan Al-Quran dan As-Sunnah serta bertunjangkan
akidah,syariah dan akhlak.
Aristotle mengatakan bahawa moral
kebaikan secara umumnya adalah ciri-ciri terpuji yang dimiliki oleh sifat
seseorang dan telah wujud dalam diri seseorang.Seorang yang berakhlak
mulia(virtuous) adalah seorang yang mempunyai matlamat dan berada dipertengahan
dan tidak keterlaluan serta mengelakkan tindakan yang berlebihan atau
berkurangan.Imbangan sifat keterlaluan ini ditentukan menerusi tindakan
kearifan(wisdom) oleh seseorang yang mempunyai pengalaman dan mempunyai
kemahiran pertimbangan(judgement) dalam menghadapi sesuatu situasi yang
baru.Seseorang yang memiliki wisdom tahu akan matlamat yang hendak dituju dan
apa yang hendak dicapai dengan memelihara emosi dengan baik dan di samping
memperlihatkan imbangan yang sesuai di antara
taakulan(reasoning),perasaan(feeling) dan kemahuan(desire).
Dengan yang demikian terdapat
sedikit perbezaan antara kebaikan dalam etika dengan dalam prinsip etika di
mana kebaikan dalam etika menfokuskan kepada tret-tret sifat yang seharusnya
dimiliki oleh seseorang dan berpegang kepadanya serta diperlukan dalam mengarah
seseorang itu ke arah tindakan yang beretika dan apa yang seseorang akan
menjadi kelak.Seseorang yang berpegang kepada etika kebaikan seharusnya
mempercayai teori etika bahawa kebaikan yang dilakukan oleh seseorang yang
berakhlak mulia bukan satu yang dapat melambangkan kewajipan manusia.
Memandangkan Teori Kebaikan(Virtue)
tidak menfokuskan kepada tindakan,timbul satu persoalan: Bagaimanakah teori ini
boleh menentukan betul atau salah sesuatu tindakan itu?. Sebagai
contoh,terdapat dua orang yang dianggap sebagai berakhlak mulia dalam semua
tindakan seharian mereka dan kedua-duanya mempunyai pendapat yang berbeza
tentang sesuatu masalah.Keadaan ini banyak wujud dalam kehidupan seharian di
mana seseorang yang dianggap sebagai berakhlak mulia seringkali memegang
pendapat yang berbeza tentang sesuatu tindakan berhubung dengan sesuatu
perkara.Isu rokok merupakan contoh yang baik di mana terdapat ulama yang mengatakan
merokok adalah haram sedangkan terdapat ulama yang merokok.Dengan kata
lain,seseorang yang berakhlak mulia yang membuat keputusan memilih sesuatu
tindakan sedangkan dia sendiri tidak melakukan tindakan yang bermoral.Jadi
tindakan yang manakah yang betul dan bagaimanakah ditentukan perbezaan
kedua-dua tindakan berasaskan Teori Kebaikan.
Seseorang yang berakhlak mulia
kadangkala tidak tahu apa yang seharusnya dilakukan dalam situasi tertentu
kerana dia mungkin tidak tahu akan adanya alternatif lain ataupun tidak
mempunyai maklumat yang mencukupi tentang sesuatu perkara.Membuat penilaian
tentang kualiti moral terhadap sesuatu tindakan dengan menilai kualiti moral
seseorang adalah kurang tepat.Malah seseorang yang berakhlak mulia boleh
bertindak di luar sifatnya dan melakukan tindakan moral yang salah dan ini
tidak bermakna seseorang yang berakhlak mulia boleh melakukan kesalahan dan
kesalahan tersebut dibenarkan.Tetapi sekiranya seseorang itu benar-benar
berpegang kepada etika kebaikan maka adalah sukar untuk mengetahui samada
tindakan tersebut salah atau tidak.
Etika kebaikan dan prinsip etika
saling berkait.Teori etika yang lengkap memerlukan prinsip yang boleh digunakan
untuk menilai tindakan yang bermoral dan mengkhususkan kebaikan tersebut akan
boleh memaparkan ciri-ciri seseorang itu.Berdasarkan kepada kedua-dua
pendekatan,kita boleh mengetahui seseorang itu berakhlak mulia menerusi
tindakannya.Sekiranya untuk melihat kebaikan,kita boleh melihat menerusi
tindakan yang diambil terhadap sesuatu dan dalam persekitarannya.
PENUTUP
Tanggungjawab(duty) dan prinsip
moral dan kebaikan bermoral atau ciri-ciri tret bukanlah suatu yang
bertentangan antaranya untuk dibuat pilihan tetapi merupakan perkaitan dalam
aspek bermoral.Biarpun apa bentuk falsafah yang dipegang etika dan kebaikan
moral merupakan dua entiti yang mempunyai perkaitan yang rapat dan saling
bertimbal-balik.Memiliki ciri-ciri tret kebaikan yang berlandaskan kepada
panduan dan peraturan etika membolehkan seseorang itu untuk membentuk dirinya
mencapai peringkat berakhlak mulia dan seterusnya dapat bertindak ke arah
kebaikan menerusi alasan-alasan dan berdasarkan persekitaran yang wujud.
BIBLIOGRAFI
1. Buchnolz,R.A.(1989),Fundamental
Concepts and Problems in Business Ethics,Prentice Hall,Englewood Cliffs,N.Jersey.
2. French,W.A. & John Granrose(1995),Practical Business Ethics,Prentice
Hall,Englewood Cliffs,N.Jersey 3. Hosmer,L.R.T.(1994),Moral Leadership in
Business,Irwin Inc.,Boston 4. Hosmer,L.R.T.(1991),The Ethics in
Management,Irwin Inc.,Boston 5. Mustaffa Daud(1996),Etika Pengurusan,Utusan
Pub.&Dist.Sdn.Bhd.,K.L. 6. Myra Windwiller,Nadine Lambert & Elliot
Turiel(1980),Moral Development and Socialization,Allyn and Bacon Inc.,U.S.A. 7.
White,T.I.(1993),Busines Ethics: A Phylosophyical Reader, MacMiller
Pub.Co.,N.York
Disediakan oleh: Rorzali Salleh MSc.
(HRD) UNIMAS
Comments
Post a Comment