Pengujian dan Penilaian
Tujuan-tujuan pengujian & penilaian
PENGENALAN
Pengujian, pengukuran dan penilaian adalah
antara beberapa konsep penting dalam dunia pendidikan. Sering kali istilah ini
bertukar ganti digunakan. Misalnya, sesetengah guru apabila mengedarkan kertas ujian, mereka
mungkin mengatakan mereka mengukur
prestasi pelajar atau menilai prestasi pelajar dalam sesebuah bilik
darjah tanpa mengambil hirau maksud sebenar atau maksud khusus yang mendukung
istilah berkenaan. Akan tetapi secara khususnya, ketiga-tiga istilah berkenaan
mempunyai makna yang lebih spesifik dan
ketiga-tiganya mempunyai perbezaan.
Dalam dunia pendidikan, penilaian yang
sistematik ialah dengan mengambil kira semua faktor yang boleh mempengaruhi
maklumat atau dapatan yang diperolehi supaya dapat membantu guru dalam membuat
sebarang keputusan yang tepat. Dan apa yang ingin diterangkan secara ringkas di
bawah ini ialah tentang tujuan-tujuan pengujian dan penilaian itu sendiri.
DEFINISI
Antara ketiga-tiga istilah (pengujian,
pengukuran dan penilaian) berkenaan, pengujian selalunya dianggap mendukung maksud yang
lebih sempit atau khusus.
Pengujian
Menurut
Cronbach (1970), ujian ialah satu
prosedur yang sistematik untuk
memerhati perlakuan atau tingkah laku
seseorang individu dan menghuraikan dengan bantuan skala bernombor, atau satu
sistem yang berkategori. Misalnya, skala bernombor seperti angka 30/100
untuk ujian penglihatan, 100 untuk ujian
darjah kecerdasan (IQ Test) dan
80/100 bagi ujian pencapaian bagi sesuatu mata pelajaran seperti Sains.
Manakala contoh sistem berkategori pula seperti ‘ekstrovert’ atau ‘introvert’
bagi ujian personaliti, atau rabun warna bagi ujian penglihatan.
Kepentingan
pengujian bagi mengukur perubahan
tingkah laku pelajar seperti yang
dinyatakan di atas, dikukuhkan oleh Milagros (1981) seperti yang dipetik dalam
Raminah Haji Sabran (1991) yang
menegaskan bahawa:
“Ujian adalah suatu cara untuk
mendapatkan contohan perlakuan yang
diperlihatkan oleh murid di dalam
keadaan yang dikawal atau ditentukan. Maklumat yang diperolehi daripadanya akan dijadikan dasar untuk membuat penilaian
atau pengadilan. (Raminah 1991:2)”
Hasil daripada jawapan yang diberikan yang diberikan oleh
pelajar, satu ukuran yang disebut
sebagai markah akan diberikan kepada individu berkenaan. Pengujian menjelaskan
keadaan berapa baguskah prestasi murid yang diuji.
Secara ringkas Pengujian ialah : Satu prosedur yang sistematik bagi
mengukur perubahan tingkah laku. Tujuan
ialah menentukan pencapaian murid dalam sesuatu pembelajaran. Boleh
dalam bentuk pemerhatian, ujian lisan mahupun bertulis.
Penilaian
Penilaian
adalah suatu istilah yang boleh didefinisikan dengan banyak cara, Stufflebeam et al.
(1971:xxv) menyatakan penilaian sebagai
“the process of delineating, obtaining, and providing useful
information for judging decision alternatives”. Definisi ini menjangkau melepasi daripada maksud pengujian
dan pengukuran.
Gay (1985) berpendapat bahawa penilaian
ialah satu proses yang dianggap sistematik semasa mengumpul dan menganalisis
data bagi menentukan sama ada
sesuatu objektif yang telah
ditetapkan itu telah tercapai. Hal ini seterusnya bagi membolehkan guru dapat
membuat pertimbangan atau keputusan yang tepat berhubung pengajaran dan
pembelajaran.
Dalam sesuatu bilik darjah, apabila guru
memberikan ujian, adakah guru berkenaan mengukur pencapaian pelajar atau
guru menilai pencapaian pelajar.
Dalam keadaan ini kita boleh mengatakan bahawa
guru sebenarnya mengukur pencapaian pelajar melalui ujian yang dijalankan. Dalam sesetengah
keadaan penilaian dibuat tanpa sebarang pengukuran yang melibatkan ujian
terlebih dahulu; tetapi hanya melibatkan pertimbangan nilai semata-mata.
Secara ringkasnya Penilaian ialah : Satu proses membuat pertimbangan dalam mentafsir
hasil pengukuran. Bertujuan memberikan maklumat tentang pencapaian murid,
objektif pelajaran, kaedah mengajar dan kurikulum.
Kesimpulannya, dasar penting bagi pencapaian pengajaran
dan pembelajaran yang berkesan adalah melalui langkah-langkah pengujian, pengukuran
dan penilaian yang tepat dan berkesan dijalankan oleh guru di bilik darjah.
Justeru, kecekapan guru dalam membangunkan instrumen pengujian dan penilaian amat penting malah sama pentingnya dengan penguasaan guru terhadap kurikulum
yang diajar bagi menjamin keberkesanan pengajaran dan pembelajaran.
TUJUAN-TUJUAN
PENGUJIAN DAN PENILAIAN
Secara khusus,
dalam konteks pembelajaran di kelas, penilaian dilakukan untuk mengetahui
kemajuan dan hasil belajar peserta didik, mendiagnosa kesulitan belajar, memberikan
umpan balik/perbaikan proses belajar mengajar, dan penentuan kenaikan kelas.
Melalui penilaian dapat diperoleh informasi yang tepat tentang penyelenggaraan
pembelajaran dan keberhasilan belajar peserta didik, guru, serta proses
pembelajaran itu sendiri. Berdasarkan informasi itu, dapat dibuat keputusan
tentang pembelajaran, kesulitan peserta didik dan upaya bimbingan yang
diperlukan serta keberadaan kurikukulum itu sendiri. Selain itu tujuan-tujuan
lainnya ialah :
- Sebagai
penggerak / motivasi
Ujian juga memainkan
peranan sebagai penggerak bagi murid-murid. Dengan adanya ujian, murid-murid
cenderung untuk memberi perhatian kapada pelajaran yang disampaikan oleh guru.
Sebahagian besar murid akan hanya mula mengulang kaji bahan-bahan pelajaran
lampau apabila diberitahu akan diadakan ujian. Begitu juga keadaan murid-murid
di kelas yang akan menempuh peperiksaan mendesak
mereka belajar bersungguh-sungguh untuk lulus peperiksaan. Pengujian yang
berdasarkan objektif-objektif pendidikan dapat memaksa guru dan murid berusaha
mencapai terhadap objektif-objektif itu.
Juga memberi kesedaran kepada kanak-kanak bahawa
manusia perlu hidup dalam keadaan berharmoni dengan alam sekitarnya dan membina
serta memupuk kemahiran murid-murid untuk menyelesaikan masalah yang berbangkit
dari semasa ke semasa.
setereusnya untuk merangsangkan murid supaya terus
memperbaiki pembelajarannya melalui tunjuk ajar dan bimbingan guru secara
berterusan di bawah aktiviti PKBS (penilaian
kemajuan berasaskan sekolah).
- Sebagai alat
mencari punca kelemahan
Pengujian diagnostik dapat mengesan punca kelemahan
murid dalam pembelajaran. Maklumat pengujian ini membolehkan guru menyediakan
program pemulihan.
Untuk mengetahui kekuatan dan kelemahan pembelajaran
murid supaya tindakan susulan yang sesuai dapat dijalankan untuk membantu
mereka mengatasi kelemahan yang telah dikenal pasti. Dan seterusnya untuk
memperbaiki pembelajaran murid dengan mengubahsuai aktiviti pengajaran dan
pembelajaran berasaskan maklumat yang deperolehi dari PKBS.
Ianya juga dapat mengenalpasti kelemahan dan
kekuatan kurikulum, dan seterusnya mengubahsuainya mengikut maklumat dan
objektif yang ditentukan.
- Bagi
mendapatkan maklumbalas (feedback)
Meninjau setakat mana objektif pelajaran
telah dicapai oleh murid. Menentukan kemajuan dan pencapaian murid dalam
pembelajaran. Memahami daya penyerapan murid dalam pembelajaran. Memberi
penjelasan kepada guru sama ada pengajarannya berkesan atau tidak. Memberi
gambaran kepada guru supaya mengambil tindakan untuk memperbaiki pengajaran
selanjutnya.
Pengujian dan penilaian yang dijalankan oleh
guru dalam bilik darjah akan dapat
memberikan maklum balas kepada
guru berhubung tahap penguasaan pelajar
terhadap sesuatu kemahiran yang telah disentuh dalam bilik darjah serta
meninjau masalah yang timbul dalam sesi pengajaran pembelajaran yang
berlangsung. Dengan itu guru dapat mengenal pasti tahap kemajuan seseorang
murid dalam bilik darjah tersebut sama ada
pada tahap yang sangat memuaskan, sederhana, lemah atau tidak ada
sebarang kemajuan langsung. Daripada
penilaian yang dijalankan juga guru dapat mengenal pasti murid yang cergas, yang memerlukan aktiviti
pengayaan dan murid yang lemah yang memerlukan aktiviti pengayaan. Guru juga
akan membuat keputusan sama ada untuk mengubah strategi pengajaran agar lebih
bersesuaian dengan keperluan murid atau mengulang menggunakan strategi sama dan
sebagainya.
Bagi murid-murid
pula, hasil ujian mungkin merupakan suatu perangsang bagi mereka sekiranya
keputusan yang diterima adalah baik. Prestasi mereka yang baik seterusnya akan
mendorong mereka belajar dengan lebih tekun lagi. Sebaliknya, keputusan yang
kurang baik mungkin akan mencabar murid berkenaan untuk berusaha dengan lebih
kuat. Setengah-setengah ibu bapa, setelah mendapat maklum balas tentang hasil
ujian anak-anak mereka akan berikhtiar untuk mendapatkan bimbingan tambahan
bagi anak-anak mereka.
- Menilai prestasi / pencapaian / kemajuan murid-murid.
Proses penilaian dan pengujian yang
dijalankan pada peringkat akhir sesi
pengajaran dan pembelajaran dapat memberikan maklumat tentang setakat mana
penguasaan murid-murid tentang sesuatu kemahiran yang telah diajar. Selain
penilaian yang dijalankan pada akhir sesi pengajaran dan pembelajaran, proses
penilaian yang dijalankan pada akhir sesuatu tempoh pengajian yang ditetapkan,
misalnya pada akhir tahun sesi
persekolahan atau kepada pelajar Tahun 6 (PSR), Tingkatan 3 (PMB) dan Tingkatan
5 (‘O’ Level) adalah bertujuan untuk
menentukan gred yang memperlihatkan tahap pencapaian secara keseluruhan yang telah murid-murid atau
pelajar-pelajar kuasai. Penilaian pada
peringkat ini lebih bercorak formal dengan memfokuskan kepada pemberian
anugerah atau pengiktirafan (hadiah Brunei shell) kepada pelajar hasil
daripada pencapaian yang ditunjukkan oleh mereka dalam peperiksaan.
Hasil penilaian yang dijalankan akan
memperlihatkan pencapaian pelajar mengikut gred yang telah ditetapkan sama ada
cemerlang, sederhana atau gagal. Guru
akan dapat membezakan murid-murid yang
cemerlang, sederhana dan lemah berdasarkan keseluruhan prestasi
pencapaian yang ditunjukkan dalam peperiksaan yang diduduki.
- Untuk
mengenalpasti pengetahuan pembelajaran lampau pelajar-pelajar
Penilaian dan pengujian penting bermula
sebelum memulakan pengajaran dan pembelajaran. Sebelum guru memulakan pengajarannya dalam bilik darjah, perlu
baginya mengadakan penilaian dan menguji murid-muridnya bagi meninjau
sejauh manakah murid-muridnya telah
menguasai sesuatu kemahiran atau ingin
mendapatkan aspek-aspek yang akan dipelajari. Misalnya, seseorang guru Bahasa
Melayu yang akan mengajar kepada penutur bukan asli bahasa Melayu, guru
perlu mengetahui aspek kemahiran manakah
yang telah dikuasai oleh pelajar dari aspek tatabahasa, perbendaharaan kata dan
sebagainya. Maklumat ini penting bagi guru
membuat keputusan dalam menentukan
peringkat yang bersesuaian untuk
memulakan pengajaran.
Penilaian dan pengujian yang dijalankan
sepanjang tempoh pengajaran dan pembelajaran yang berlangsung pula akan
memperlihatkan kemajuan pelajar dalam jangka
masa tertentu. Pengesanan tahap kemajuan yang berterusan ini akan memungkinkan
guru mengetahui masalah yang dihadapi oleh pelajar. Adakah murid mempunyai
masalah dalam mempelajari dan menguasai sesuatu kemahiran yang telah diajar sebelumnya
di dalam bilik darjah? Sekiranya
menghadapi masalah, guru akan menyelidiki aspek atau kemahiran yang menimbulkan masalah kepada murid-murid
dan mengenal pasti punca masalah tersebut berlaku.
Maklumat berkenaan amat perlu kepada
guru bagi menyediakan latihan yang
khusus atau pemerhatian yang lebih kepada murid-murid berkenaan supaya masalah
yang dihadapi dapat diatasi, seterusnya guru akan merancang isi
pelajaran serta menggunakan pendekatan atau kaedah yang sejajar dengan
pengetahuan sedia ada murid. Dengan cara ini aktiviti serta isi pelajaran yang
disediakan dapat menampung keperluan murid berkenaan.. Tanpa penilaian dan pengujian yang dijalankan, murid-murid yang menghadapi masalah sukar
dibantu dan akibatnya mereka akan terus ketinggalan dari arus perdana persekolahan.
- Bagi pensijilan
atau pengkelasan
Murid-murid di
peringkat PSR, PMB dan peringkat ‘O’ akan menerima sijil-sijil yang berkenaan
setelah lulus peperiksaan-peperiksaan tersebut. Dalam situasi sekolah, adalah
jelas satu lagi peranan pengujian ialah untuk pensijilan. Gred-gred pada
sijil-sijil tersebut bergantung kepada pencapaian murid-murid dalam peperiksaan
tersebut.
Selain daripada
sekolah, ujian-ujian yang dijalankan dimaktab, politeknik dan universiti juga
memainkan peranan pensijilan. Para pelajar
serta siswa-siswi akan dianugerahkan diploma atau ijazah kerana telah lulus
ujian-ujian tertentu. Diploma dan ijazah juga merupakan satu bentuk
sijil yang diberi sijil kepada mereka yang berjaya dalam
peperiksaan mengikut prestasinya.
- Bagi membuat
ramalan
Untuk meramalkan
kejayaan murid pada masa akan dating atau sebagai alat prediksi. Penilaian
bertujuan untuk mendapatkan informasi yang dapat memprediksi bagaimana kerja
peserta didik pada jenjang pendidikan berikutnya atau dalam pekerjaan yang
sesuai.
Ujian seperti
ini biasanya dijalankan oleh pihak berkuasa semasa memilih calon-calon bagi sesuatu
kursus atau latihan atau ujian yang bertujuan membuat ramalan seperti Ujian
Kelayakan Latihan Perguruan, ujian yang dijalankan oleh pihak politeknik
setempat, ujian kelayakan yang dijalankan oleh Jabatan Penerbangan Awam untuk
memilih para jurutera (penerbangan) pelatih, ujian yang dijalankan oleh
Angkatan Tentera semasa memilih para pelatih juruteknik dan sebagainya.
Di dalam bilik
darjah, guru mungkin menjalankan ujian prognostik untuk membuat ramalan tentang
kecenderungan dan kebolehan murid.Contoh dari penilaian ini adalah ujian bakat
skolastik atau ujian potensi akademik. Hasil daripada ujian prognostik akan digunakan oleh guru dalam perancangan
kaedah, bahan-bahan pengajaran dan alat-alat bantu mengajar.
- Bagi membuat
klasifikasi
Sebagai grading,
penilaian ditujukan untuk menentukan atau membezakan kedudukan hasil kerja
peserta didik dibandingkan dengan peserta didik lain. Kerana itu, fungsi
penilaian untuk grading ini cenderung membandingkan anak dengan anak yang lain
sehingga lebih mengacu kepada penilaian acuan norma (norm-referenced
assessment), prestasi yang paling baik dikumpulkan dalam Kumpulan A, prestasi
yang sederhana baik dalam Kumpulan B dan Kumpulan C dan yang lemah dalam
Kumpulan D atau untuk memilih dan
menempatkan pelajar mengikut aliran tertentu misalnya, keputusan pelajar yang
cemerlang dalam mata pelajaran sains memungkinkan ditempatkan dalam aliran
sains atau mengikut kecenderungan seseorang murid berkenaan..
Pengumpulan seperti ini akan membantu guru menjalankan aktiviti-aktiviti
pengayaan dan pemulihan.
Oleh itu guru boleh
menggunakan kriteria kebolehan untuk membahagikan murid-murid mengikut prestasi
masing-masing.
- Pemilihan
Keputusan
penilaian sering digunakan sebagai asas dan panduan untuk memilih murid-murid
ke jurusan-jurusan pendidikan yang sesuai dan sebagai asas untuk murid memilih
pekerjaan kelak mengikut jurusan pendidikan yang telah dipilihnya atau mengikut
kepandaiannya.
Juga sebagai
alat seleksi, penilaian ditujukan untuk memisahkan antara peserta didik yang
masuk dalam kategori tertentu dan yang tidak. Peserta didik yang boleh masuk
sekolah tertentu atau yang tidak boleh. Dalam hal ini, fungsi penilaian untuk
menentukan seseorang dapat masuk atau tidak di sekolah tertentu.
Di samping itu, guru juga dapat menentukan adakah semua murid dapat dipilih serta dikelompokkan dalam satu kumpulan yang besar berasaskan
tahap penguasaan yang berbeza atau di kelompokan dalam kumpulan yang sama.
Dalam suasana penguasaan yang berbeza, wajar bagi guru menempatkan murid mengikut tahap penguasaan masing-masing dan menumpukan
pengajaran mengikut keperluan murid yang berbeza-beza. Keadaan ini menunjukkan
tujuan penilaian dan pengujian yang dijalankan adalah untuk memilih dan menempatkan pelajar
mengikut tahap penguasaan sesuatu kemahiran.
- Penyelidikan
Dalam satu-satu penyelidikan, maklumat diperlukan daripada
berbagai-bagai sumber. Dalam penyelidikan yang berkaitan dengan pendidikan,
maklumat dapat diperoleh dari ujian, pemerhatian, penggunaan soal selidik,
biografi dan sebagainya. Keputusan pelbagai jenis ujian seperti ujian tara , ujian kepantasan, ujian daya dan ujian perlakuan
sentiasa digunakan oleh para penyelidik
dalam menjalankan kajian-kajian mereka.
KESIMPULAN
Dari tujuan
penilaian yang telah disenaraikan tadi, tujuan untuk melihat tingkat penguasaan
kompetensi, bimbingan, dan diagnostik merupakan peranan utama dalam penilaian.
Sesuai dengan
tujuan tersebut, penilaian menuntut guru agar secara langsung atau tak langsung
mampu melaksanakan penilaian dalam keseluruhan proses pembelajaran. Untuk
menilai sejauhmana siswa telah menguasai beragam kompetensi, tentu saja
berbagai jenis penilaian perlu diberikan sesuai dengan kompetensi yang akan dinilai,
seperti unjuk kerja (performance), penugasan (projek), hasil karya (produk),
kumpulan hasil kerja siswa (portofolio), dan penilaian bertulis (paper and
pencil test). Jadi, tujuan penilaian adalah memberikan masukan informasi secara
komprehensif tentang hasil belajar peserta didik, baik dilihat ketika saat
kegiatan pembelajaran berlangsung mahupun dilihat dari hasil akhirnya, dengan
menggunakan berbagai cara penilaian sesuai dengan kompetensi yang diharapkan
dapat dicapai peserta didik.
Bibliografi
Ø
Abdul
Rahim Abdul Rashid, Abdul Aziz Abdul Talib, Abdul Ghafar Md.Din & Mohamad
Haron. (1992). Panduan Latihan
Mengajar. Kuala Lumpur
: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Ø
Ee Ah
Meng. Pedagogi III. 1998. Shah Alam : Penerbit Fajar Bakti.
Ø
Fred Percival, Henry Ellington. 1994.
Penterjemah Noran Fauziah Yaacub. Buku Penduan : Teknologi Pendidikan.
Selangor Darul Ehsan : Percetakan Dewan Bahasa dan Pustaka.
Ø
Lee
Shok Mee. (1990). Pedagogi 4 (A) : Pengujian Dan Penilaian Dalam Pendidikan.
Kuala Lumpur
: Kumpulan Budiman Sdn.Bhd.
Ø
Mok
Soon Sang. (1997). Pedagogi Dan Penilaian, Pemulihan, Pengayaan Dan
Pendidikan Inklusif. Kuala Lumpur
: Kumpulan Budiman Sdn.Bhd.
Ø
Mok
Soon Sang Dan Lee Shok Mee. (1988). Latihan Mengajar : Untuk Maktab Perguruan.
Kuala Lumpur :
Kumpulan Budiman Sdn.Bhd.
Ø
Raminah
Hj Sabran. (1991). Penilaian dan pengujian Bahasa Malaysia : Penerapannya pada
peringkat sekolah rendah. Kuala
Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Comments
Post a Comment