MID NUFF

a) Memberikan definisi bagi moral, akhlak dan etika dengan memberi contoh untuk membezakan tiga istilah ini.


a)         Memberikan definisi bagi moral, akhlak dan etika dengan memberi contoh untuk membezakan tiga istilah ini.
Moral
Moral  pada dasarnya berasal daripada perkataan Latin “mores’ yang membawa maksud sama seperti etika (Ashmore, 1987). Namun, moral merupaka satu perkara yang lebih merujuk kepada tingkah laku manakala etika merujuk kepada peraturan-peraturan yang  ditentukan untuk memperbaiki sesuatu keadaan. Moral juga bersifat praktikal kerana moral merupakan disiplin yang memberitahu apakah sistem moral yang dihayati oleh sesuatu masyarakat dan etika pula bersifat teoretika kerana etika mengkaji, menganalisis dan mengkritik sistem moral tersebut. Perkara ini menerangkan moral merupakan bahan yang dikaji oleh etika manakala etika adalah ilmu yang mengkajinya.

Mengikut kamus Oxford Advanced Learner’s, Edisi keenam, moral bermaksud kesedaran tingkah laku betul dan salah, apa yang perlu dipatuhi dan ditinggalkan serta bersifat praktikal. Moral juga bermaksud sebagai tingkah laku yang sesuai dengan tatasusila atau peraturan masyarakat setempat di mana masyarakat bertindak sebagai penentu. Pertimbangan moral juga bergantung kepada suasana atau keadaan yang membentuk individu contohnya seperti sistem sosial, kelas sosial dan kepercayaan yang dianuti.  Kesedaran moral mempunyai hubung kait dengan hati nurani atau dalam bahasa asing disebut conscience, conscientia, gewissen, geweten dan dalam Bahasa Arab disebut qalb, fu’ad. Kesedaran moral ini merangkumi tiga perkara iaitu kewajipan untuk melakukan tindakan bermoral, wujud berasaskan rasional dan objektif iaitu sesuatu perbuatan secara umum dapat diterima oleh masyarakat dan ketiga ialah muncul dalam bentuk kebebasan.

Sebagai contoh, dalam kehidupan bermasyarakat, kesedaran moral dapat mewujudkan masyarakat yang harmoni dan progresif. Hal ini kerana, kesedaran moral yang wujud dalam setiap diri masyarakat dapat memupuk persefahaman, bertimbang rasa, tolong-menolong dan lain-lain nilai yang baik. Perkara ini seterusnya akan membantu dalam melahirkan sebuah negara yang aman dan tenang di mana setiap rakyat akan sentiasa berasa selamat dan sejahtera dengan adanya masyarakat yang mempunyai kesedaran moral yang tinggi.
Contoh diatas jelas menyokong kata-kata Thomas Hobbes yang telah menggambarkan kepentingan hidup bermoral seperti berikut,
 “Tanpa peraturan sosial (moral), akan wujud satu keadaan konflik yang tidak berkesudahan dan persengketaan yang mengakibatkan kehidupan manusia menjadi jahat, bersifat buas dan angkuh”.
(Mohd. Janib Johari, 1994).













Akhlak
Akhlak boleh ditakrifkan melalui dua pendekatan iaitu linguistic(kebahasaan) dan pendekatan terminologic(peristilahan). Akhlak dari sudut bahasa berasal daripada perkataan arab, ‘khuluq’ yang bermaksud budi pekerti. Menurut Iman Al Ghazali, akhlak merupakan gambaran tentang keadaan dalam diri manusia yang telah sebati dan daripadanya terbit tingkah laku secara mudah dan senang tanpa memerlukan pertimbangan atau pemikiran. Akhlak sangat penting dan pengaruhnya sangat besar dalam membentuk tingkah laku manusia. Apa saja yang lahir dari manusia atau segala tindak-tanduk manusia adalah sesuai dengan pembawaan dan sifat yang ada dalam jiwanya.
Dari sudut istilah pula, akhlak merujuk kepada tingkah laku, tutur kata, penampilan atau imej diri berlandaskan kepada ajaran Islam. Erti kata lain, akhlak adalah satu bentuk tingkah laku yang berkaitan dengan nilai-nilai murni yang mesti dilakukan oleh setiap individu. Merujuk Ibn Miskawih(w. 421 H/1030 M) yang terkenal sebagai pakar bidang akhlak terkemuka  menerangkan takrif akhlak dari sudut istilah sebagai sifat yang tertanam dalam jiwa yang mendorong seseorang untuk melakukan perbuatan tanpa memerlukan pemikiran dan pertimbangan. Manakala menurut Imam Al-Ghazali (1015-1111 M) yang lebih dikenali sebagai Hujjatul Islam(pembela Islam) telah mentakrifkan akhlak ialah suatu sifat yang tertanam dalam jiwa yang daripadanya timbul perbuatan-perbuatan dengan mudah tanpa memerlukan pertimbangan terlebih dahulu. Menurut Profesor Dr Ahmad Amin, akhlak ialah kehendak yang dibiasakan dan ia akan menjadi kebiasaan yang mudah dilakukan.
Tingkah laku atau perbuatan manusia mempunyai hubungan yang erat dengan sifat dan pembawaan dalam hatinya. Sebagai contoh, analogi berkaitan akhlak ini boleh diumpamakan seperti pokok dengan akarnya yang membawa maksud tingkah laku atau perbuatan seseorang akan baik apabila baik akhlaknya. Sama seperti pokok apabila baik akarnya maka baiklah pokoknya. Jika rosak akar, maka akan rosaklah pokok dan cabangnya. Contoh ini dikukuhkan lagi dengan firman Allah Subhanahuwata’ala:
“Dan tanah yang baik, tanaman-tanamannya tumbuh subur dengan seizin Allah, dan tanah yang tidak subur, tanaman-tanamannya hanya tumbuh merana. Demikianlah Kami mengulangi tanda-tanda kebesaran (Kami) bagi orang-orang yang bersyukur.”
(Al- A’raf: 58)














Etika
Definisi etika dari segi bahasa, berasal daripada bahasa Inggeris “Ethic” dan bahasa Greek “Ethos” yang membawa maksud nilai-nilai atau perkara yang berkaitan dengan sikap yang menentukan tingkah laku sesuatu golongan.
Etika dari segi istilah telah dikemukakan oleh para filosofi dengan maksud yang berbeza mengikut sudut pandangan masing-masing.  Menurut Frankena(1973), etika merupakan falsafah moral atau pemikiran falsafah tentang kemoralan, masalah moral dan pertimbangan moral. Menurut Ahmad Amin (1983) pula, beliau mengertikan etika adalah ilmu yang menjelaskan baik dan buruk, menerangkan apa yang seharusnya dilakukan oleh manusia dan menyatakan tujuan di dalam perbuatan mereka. Begitu juga menurut Abdul Fatah Hassan (2001), etika ialah tindakan menyelidik, memikirkan dan mempertimbangkan mengenai yang baik dan yang buruk. Selain itu, menurut Encyclopedia Britanica, etika dinyatakan sebagai falsafah moral yang berkaitan dengan pembelajaran sitematik mengenai sifat dasar dari konsep-konsep nilai baik, buruk, harus, benar, salah, dan sebagainya.
Berdasarkan definisi-definisi etika berikut, dapat dinyatakan bahawa etika merupakan ilmu pengetahuan yang berhubung dengan keupayan  menentukan perbuatan yang dilakukan manusia untuk dikatan baik atau buruk. Erti kata lain, etika adalah aturan atau pola tingkah laku yang dihasilkan oleh akal manusia bagi membezakan antara yang baik dan buruk dalam masyarakat serta membatasi perlakuan baik dan jahat . Etika merupakan tingkah laku dan kelakuan moral yang dijangka diikuti oleh manusia sejagat manakala ilmu etika merupakan satu disiplin ilmu yang mengkaji tentang moral, prinsip moral, kaedah moral dan tindakan serta kelakuan manusia yang betul. Fungsi etika menggariskan beberapa prinsip atau ukuran asas untuk menentukan apakah tingkah laku yang betul, apakah yang salah, apakah tingkah laku yang bertanggungjawab dan apakah yang tidak.

Contohnya, mencuri dan merosakkan harta kerajaan merupakan perbuatan vandalisme dan salah mengikut peraturan yang telah ditetapkan. Kedua kelakuan tersebut sememangnya salah dan melanggar etika kemasyarakatan sehingga menghalang hak dan mengganggu keselesaan orang lain untuk menggunakanya. Fungsi etika mengkelaskan perlakuan tersebut adalah salah dan tingkah laku yang tidak bertanggungjawab bagi menentukan batas kelakuan yang baik dan jahat yang meliputi pelbagai ragam masyarakat.















Perbezaan Akhlak, Moral dan Etika
Akhlak secara umumnya ialah sistem atau tingkah laku manusia yang bersumberkan kepada asas wahyu atau syarak. Sementara itu, etika ialah sistem tingkah laku manusia bersumberkan selain daripada wahyu iaitu bersumberkan falsafah. Tingkah laku yang telah ditentukan oleh etika sama ada baik atau jahat pula dinamakan moral.
Akhlak merupakan satu sistem yang menilai tindakan zahir dan batin manusia, manakala moral ialah satu sistem yang menilai tindakan zahir manusia sahaja. Akhlak juga mencakupi pemikiran, perasaan dan niat di hati manusia dalam hubungan manusia dengan Pencipta, manusia dengan manusia dan manusia dengan makhluk lain. Moral pula hanya mencakupi pemikiran, perasaan dan niat di hati manusia dalam hubungan manusia dengan manusia sahaja. Nilai-nilai yang terdapat dalam akhlak bersifat mutlak, sempurna dan tetap manakala nilai-nilai moral bersifat relatif, subjektif dan sementara.
Contoh bagi membezakan akhlak dan moral mengikut perspektif Islam ialah dari segi pemakaian, pemakaian bagi seseorang muslim mengikut Islam mestilah menutup aurat dan jika individu muslim tersebut tidak menutup aurat, mereka dikatakan tidak berakhlak kerana telah melanggar ajaran yang ditetapkan tetapi mengikut pandangan moral jika seseorang itu mendedahkan aurat tetapi masih mempunyai perlakuan yang baik, mereka masih dianggap bermoral.
Moral merupakan sebahagian daripada etika. Masalah etika adalah berkaitan dengan sesuatu yang membuahkan hasil yang salah atau sesuatu yang tidak adil. Ruang lingkup perbincangan etika adalah lebih luas berbanding dengan moral. Fokus etika lebih luas mencakupi estetika, etika profesional, tingkah laku dan logik. Etika mempunyai peranan yang besar dalam kehidupan manusia bagi menyediakan prinsip tanggungjawab dan menilai tindakan yang berkaitan dengan kemanusiaan. Moral pula merujuk kepada cara berfikir, bertindak dan bagaimana mereka harus bertindak, manakala etika adalah falsafah moral berkaitan dengan masalah betul atau salah. Contohnya adalah seperti penggodaman atau ‘hack’. Permasalahan ini bukan masalah berkaitan etika tetapi adalah kesalahan moral untuk mendapatkan capaian yang tidak mendapat kebenaran.




Comments

  1. salam..ada fb x?pe nme fb en.Mat King? tQ

    ReplyDelete
  2. terima kasih senior.. amat membantu saya. ppismp

    ReplyDelete
  3. salam.nak tanye..kalau yg pasal penghinaan agama,kat besut tu..termasuk dalam ape ye?sy kene buat case study utk isu ini...

    ReplyDelete
  4. Boleh saya tau sumber rujukan tu?

    ReplyDelete
  5. terima kasih sngttt.....sngt mmbntu....huuhhu...

    ReplyDelete
  6. Ade sape sape ade rujukan or reference ??

    ReplyDelete
  7. Langsung tak membantu. Membazir masa aku je

    ReplyDelete
  8. Terima kasih, sangat membantu. Izinkan saya copy nota ni ye.

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

CONTOH FORUM BERTAJUK (Pengaruh perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi dalam pendidikan)

PUNCA-PUNCA BERLAKUNYA SUMBANG MAHRAM

PERATURAN-PERATURAN DI DALAM ACARA LOMPAT TINGGI