Perkahwinan Dalam Agama Sikh
PERKAHWINAN DALAM AGAMA SIKH
Dalam agama Sikh, perkahwinan atau anand karaj dianggap suci. Penganut Sikh
dimestikan berkahwin kerana perkahwinan adalah penyatuan dua roh menjadi satu.
Penyatuan ini disamakan dengan penyatuan antara manusia dengan Tuhan, iaitu
satu matlamat penting dalam kehidupan setiap penganut Sikh. Sistem perkahwinan
orang Sikh adalah monogami.
Perkahwinan dalam masyarakat Sikh penting, malah dimestikan kerana
cara hidup berkeluarga atau grihasth
asram adalah cara hidup yang
paling utama dan semula jadi sifatnya. Perkahwinan antara individu yang
mempunyai hubungan kekeluargaan atau endogami dilarang atau tidak digalakkan.
Oleh itu, pemilihan menantu biasanya dibuat oleh ibu bapa masing-masing.
Masyarakat Sikh mengamalkan bentuk pemilihan pasangan eksogami,
iaitu memilih pasangan hidup daripada kelompok yang luar daripadanya, bukan
daripada mereka yang ada ikatan persaudaraan. Cara ini dapat meluaskan pengaruh
keluarga dan menggalakkan perkembangan budaya. Ringkasnya, keluarga dan kaum kerabat
memberi perhatian yang berat dalam menentukan kemasukan ahli baru ke dalam
keluarga meneka.
Masyarakat Sikh mengamalkan bentuk keturunan dan kepusakaan
patrilineal. Dalam bentuk ini, hubungan persaudaraan atau individu dihubungkan
dengan kelompok keluarga melalui keturunan daripada sebelah nasab bapa.
Misalnya, kelahiran seorang bayi merupakan masa yang amat menggembirakan,
lebih-lebih lagi jika bayi tersebut lelaki, dan ibu yang melahirkan bayi
tersebut dipuji kerana melahirkan anak lelaki yang sememangnya menjadi harapan
keluarga. Kelahiran anak lelaki menguatkan kedudukan ibu dalam keluarga kerana
bayi lelaki semacam jambatan yang menyatukan si ibu dengan bapanya. Ringkasnya,
anak lelaki menjadi harapan keluarga demi penerusan keturunannya dan kerabatnya
serta menjadi ketua keluarga dan melaksanakan upacara kematian ayahnya.
Sungguhpun demikian, hal ini tidak bermakna bahawa anak perempuan dipandang
rendah. Malah dalam agama Sikh, kedudukan kaum wanita sama dengan kedudukan
lelaki.
Seseorang Sikh yang menjadi ahli kaum Khalsa perlu berkahwin dengan Khalsa juga. Jika pengantin perempuan
belum lagi memohon amrit (air suci) untuk menjadi ahli kaum Khalsa manakala pasangannya Khalsa, maka dia perlu memohon amrit untuk menjadi ahli kaum Khalsa.
Ada beberapa upacara yang dilakukan dengan teliti sebelum istiadat
perkahwinan dilangsungkan supaya mendatangkan hasil yang baik dan memuaskan
kedua-dua belah pihak. Antaranya, mangani,
sehra bandhi, milni dan anand karaj.
Pertama, mangani (pertunangan), walaupun tidak
diwajibkan, boleh dilakukan, sama ada di kediaman lelaki atau di gurdwara(pusat ibadat penganut
Sikh). Biasanya upacara formal diadakan di gurdwara. Pada hari yang ditetapkan, bapa si
perempuan bersama-sama saudara-mara pergi ke gurdwara. Bakal pengantin lelaki duduk di
depan menghadap kitab suci, Sri
Guru Granth Sahib Ji, dan
dipakaikan kirpan (pedang kecil) oleh bapa
mentuanya. Selepas itu, dia disuapkan manisan dan diberi wang serta dipakaikan
cincin atau gelang emas. Bakal pengantin perempuan tidak dibenarkan menghadiri
upacara ini. Tarikh perkahwinan ditetapkan selepas upacara pertunangan. Berita
dan jemputan perkahwinan disebarkan kepada saudara-mara dan sahabat handai
kedua-dua belah pihak.
Menjelang hari perkahwinan, upacara yang wajib dijalankan ialah
mandi vatna. Dalam upacara ini, lima atau tujuh
orang wanita yang telah berkahwin memandikan bakal pengantin di rumahnya tiga
atau empat hari sebelum hari perkahwinan. Ringkasnya, upacara ini menandakan
permulaan perayaan perkahwinan.
Upacara kedua ialah mengikat sehra di dahi pengantin lelaki oleh
ibunya. Sehra ialah hiasan kepala yang dibuat
daripada bunga dan kertas berkilat. Sebelum mengikat sehra, adik perempuannya mengikat bola
benang bulu yang berwarna-warni di pergelangan tangan kanan abangnya untuk
menunjukkan hubungan persaudaraan sesama mereka. Abangnya kemudian memberi wang
kepada adik perempuannya. Sebelum pengantin lelaki keluar dari rumah dan
berangkat ke rumah pengantin perempuan, salah seorang saudaranya menuangkan
minyak kelapa di ambang pintu rumah untuk menandakan alamat yang baik.
Upacara milni ialah adat pertemuan antara bapa
pengantin lelaki / dengan bapa pengantin perempuan / pada hari perkahwinan di
kediaman pengantin perempuan. Ardas(doa) dibacakan apabila rombongan pengantin
lelaki tiba. Dalam pertemuan ini bapa pengantin perempuan menghadiahkan sehelai
selimut dan wang kepada bapa pengantin lelaki. Kadang kala sebentuk cincin atau
gelang emas disertakan. Selepas itu, mereka berjabat tangan dan berpeluk mesra.
Rombongan dihidangkan dengan sarapan pagi yang disediakan khas
sebelum berangkat ke gurdwara.
Anand karaj merupakan upacara yang
terakhir dan penting yang dijalankan di gurdwara. Upacara ini biasanya dimulakan
dengan bernyanyi mazmur dan membaca kitab suci. Selepas itu, granthi (ketua agama) menerangkan tujuan
mereka berkumpul pada hari tersebut kepada sangat (jemaah), termasuk tujuan
perkahwinan dan kewajipan suami isteri menurut pandangan agama Sikh. Kedua-dua
orang pengantin duduk bersila menghadap kitab suci. Granthi berdiri bersama-sama pengantin
lelaki dan perempuan, bapa pengantin lelaki dan bapa pengantin perempuan untuk
bacaan ardas secara senyap.
Selepas itu, bapa pengantin perempuan memberi sehelai kain tudung (palla) kepada pengantin lelaki dan dia memegangnya
pada satu hujung dan di hujung lain dipegang oleh pengantin perempuan. Selepas
itu, sangat menyanyikan ayat daripada kitab suci
yang berkaitan dengan anand
karaj. Kedua-dua orang
pengantin memegang tudung sambil berjalan mengelilingi Sri Guru Granth Sahib Ji sebanyak empat kali. Pergerakan
ini disebut lavan. Pengantin lelaki berjalan di depan
dan pengantin perempuan mengikut dari belakang.
Selepas tamatnya lavan,
granthi dan pasangan tersebut serta bapa
mereka berdoa sebagai tanda bersyukur atas kesempurnaan upacara perkahwinan dan
merestui pasangan tersebut. Granthi menasihatkan kedua-dua orang
pengantin tentang tanggungjawab mereka. Selepas bacaan ardas semua sangat yang hadir diberi karah parshad (halwa yang suci). Gurdwara menyuruh pasangan pengantin
menandatangani buku daftar perkahwinan gurdwara. Sijil perkahwinan (dalam tulisan Gumukhi) diberi kepada pasangan.
Selepas makan tengah hari, pengantin perempuan dibawa pulang ke
rumah pengantin lelaki. Pemergian pengantin perempuan adalah peristiwa yang
menyedihkan bagi keluarganya kerana dia bukan "milik" mereka lagi.
Sebelum kereta pengantin bertolak, bapa pengantin lelaki membaling duit syiling
ke atas kereta tersebut. Perbuatannya itu bertujuan menunjukkan kegembiraannya dan
dia sanggup mengorbankan benda kesayangan manusia, iaitu duit, demi kebahagiaan
anaknya dan menantunya.
Secara keseluruhannya, anand
karaj adalah suci dalam
falsafah agama Sikh. Penganut Sikh perlu mematuhi segala ajaran yang termaktub
dalam kitab suci agar perkahwinan mereka direstui oleh tuhan dan berkekalan ke
akhir hayat. Pasangan suami isteri yang sudah berkahwin perlu saling memahami
dan saling menghormati. Mereka perlu hidup bersatu dan cuba mengelakkan konflik
yang boleh menggugat ikatan kekeluargaan mereka.
Comments
Post a Comment