MID NUFF

Kepentingan perlembagaan dalam konteks hubungan etnik


Kepentingan perlembagaan dalam konteks hubungan etnik
Perlembagaan adalah undang-undang yang mengandungi peraturan yang boleh dikuatkuasakan atau prinsip asas yang mengasaskan sistem pemerintahan seperti yang termaktub dalam undang-undang atau adat perundangan. Perlaksanaan Perlembagaan telah banyak membawa kebaikan kepada negara secara amnya dan kepada rakyat secara khususnya.
Perlembagaan merupakan penentu kepada rangka dan bentuk pemerintahan serta kuasa yang diamanahkan kepada mereka yang menerajui tampuk pemerintahan dan terbukti Pelembagaann mampu menjamin satu pentadbiran yang cekap, jujur dan adil. Oleh itu Perlembagaan adalah penting bagi sesebuah negara untuk menjamin kesinambungan pentadbiran dan kestabilan politik seterusnya menjamin kemakmuran dan kesejahteraan rakyat.
Perlembagaan juga menggariskan kebebasan dan hak asasi warganegara seperti kebebasan diri, kebebasan bercakap, kebebasan memiliki harta dan kebebasan beragama. Dengan peruntukan tersebut, Perlembagaan menjamin keselamatan dan keamanan melalui undang-undang yang digariskan sejara jelas. Selain itu, Perlembagaan menentukan batasan bagi menjaga keselamatan dan memastikan pentadbiran berjalan dengan lancar bagi kemakmuran rakyat
Perlembagaan Malaysia juga memastikan wujudnya keadilan sosial antara kaum. Bagi menjamin keadilan antara kaum, kebebasan sosial dihadkan. Ini bermakna seseorang itu diberi kebebasan bercakap tetapi kebebasan ini dihadkan kerana seseorang itu tidak dibenarkan bercakap mengenai isu sensitif seperti keistimewaan hak orang Melayu dan bumiputera, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta agama Islam sebagai agama rasmi kerajaan yang boleh menimbulkan kebencian terhadap kaum lain serta akan mengakibatkan berlakunya persengketaan dan pergaduhan antara kaum yang bakal mengancam keselamatan negara.

Perkara ini telah  termaktub dalam pindaan Akta Hasutan pada tahun 1970 yang mengehadkan hak kebebasan seseorang bercakap. Dengan ini Perlembagaan boleh menjamin keselamatan dan rakyat daripada dianiaya serta keamanan negara.
Unsur taat setia kepada negara adalah termaktub dalam Perlembagaan Malaysia. Perkara tersebut menyatakan bahawa seseorang itu akan diperintah dilucutkan kerakyatannya sekiranya kerajaan Malaysia berpuas hati bahawa seseorang itu telah memperolehi kerakyatan negara lain. Seseorang itu juga diarahkan dilucutkan kerakyatannya sekiranya terbukti yang dia tidak setia atau tidak suka kepada negara ini. Perkara ini jelas menunjukkan bahawa kepentingaan Perlembagaan di negara kita adalah untuk menjaga kedaulatan, keamaan dan kesejahteraan negara.
Perlembagaan juga menentukan supaya hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera di Sabah dan Sarawak tidak boleh dipersoalkan kerana ini adalah jaminan awal sebelum Persekutuan Tanah Melayu merdeka dan sebelum Sabah dan Sarawak bersetuju memasuki Malaysia pada tahun 1963. Walau bagaimanapun semua warganegara Malaysia, tanpa mengira kaum adalah sama rata di sisi undang-undang, bebas menganut dan mengamal agama masing-masing, boleh mengajar dan bertutur dalam bahasa ibunda mereka sendiri serta berhak memiliki harta.
Selain itu, terdapat juga peruntukan mengenai hak pelajaran yang menegaskan bahawa tidaklah boleh ada perbezaan terhadap mana-mana warganegara semata-mata atas sebab agama, kaum, keturunan atau tempat lahir untuk kemasukan dan bayaran yuran ke institusi pendidikan yang diselenggarakan oleb kerajaan. Hal ini menunjukkan bahawa kerajaan begitu menitik beratkan soal keaman, kemakmuran dan hak sama rata di kalangan rakyat di negara ini.

Seperti negeri-negeri di Semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak juga menyerahkan kuasanya dalam beberapa bidang kepada kerajaan pusat seperti pendidikan dan kesihatan.  Kesan daripada penyerahan kuasa ini ialah pembangunan yang sangat pesat dalam bidang pendidikan dan perkhidmatan seperti kesihatan, pos, telekom dan polis. Di sini, perkongsian budaya telah wujud dan mengeratkan perasaan kekitaan dan persefahaman. Selain itu, usaha ke arah mewujudkan integrasi nasional telah  menampakkan hasil dan dapat mempercepatkan lagi proses pembentukan negara bangsa yang bersatu dan berdaulat.
Bagi dunia pendidikan pula, pemilihan pelajar ke institusi pengajian tinggi telah merima sistem meritokrasi yang menolak pelaksanaan sistem koata yang dilaksanakan sebelum itu. Sistem meritokrasi melaksanakan pemilihan pelajar berdasarkan prestasi akademik tapa mengira golongan etnik. Walaupun kedudukan istimewa mengenai pendidikan telah termaktub dalam Perlembagaan, namun pelbagai sikap akomodatif antara Melayu dan bukan Melayu telah diwujudkan ke arah memantapkan lagi hubungan etnik di Malaysia
Sesungguhnya, apabila wujudnya perpaduan nasional, maka barulah terjamin kesejahteraan masyarakat majmuk, dan seterusnya akan melahirkan pula sebuah negara dan bangsa Malaysia yang bersatu, demokratik, adil, liberal, dan saintifik tanpa mengira keturunan dan kepercayaan. Pendeknya, jelas sekali sistem Perlembagaan merupakan kunci kepada masyarakat pelbagai kaum di Malaysia ini, demi untuk memelihara serta mengekalkan keharmonian dan perpaduan kaum bagi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara Malaysia itu sendiri.

Comments

Popular posts from this blog

CONTOH FORUM BERTAJUK (Pengaruh perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi dalam pendidikan)

BENTUK HALANGAN DALAM MEMBENTUK PERPADUAN DAN CARA MENGATASINYA

Pengertian Akhlak