MID NUFF

Kemahiran Badminton (DETAIL)


7.0       KEDUDUKAN DAN PERGERAKAN ASAS
7.1       POSISI ATAU POSTUR PERSEDIAAN
Ini merupakan posisi atau postur persediaan untuk semua pergerakan dalam permainan badminton. Pemain sepatutnya:
1.    Memastikan berat badan mereka condong ke hadapan sedikit.
2.    Berada di atas bebola atau di hujung kedua-dua kaki secara seimbang.
3.    Bengkok sedikit di bahagian lutut.
4.    Mempunyai kedudukan kaki yang bergerak dengan sedikit dan ringan.
5.    Jarak kaki selebar bahu.
6.    Raket di hadapan badan dan raket kapala atas.
7.    Siku dalam keadaan relaks dan jauh dari badan.
8.    Memerhatikan pihak lawan dan bulu tangkis (membuat antisipasi pukulan).
posisi n postur.jpg






Rajah 7.1 Posisi atau postur persediaan
Posisi dalam Fasa Pertahanan
Semasa pertahanan, raket dipegang melintasi bahagian perut atau abdomen dan mempunyai jarak yang sama bagi pukulan hadapan atau forehand dan kilas atau backhand.
posisi.jpg





Rajah 7.2: Posisi dalam fasa pertahanan

7.2       POSISI DALAM FASA SERANGAN
Dalam serangan, kedudukan raket mesti dipegang di hadapan dan pada aras atas kepala untuk tindakan serangan yang cepat ke atas hantaran pihak lawan yang lemah. Posisi ini juga digunakan untuk menerima servis daripada pihak lawan.
IMG.jpg






Rajah 7.3: Posisi dalam fasa serangan


7.3       GERAK KAKI DALAM BADMINTON
Gerak kaki adalah kebolehan seseorang pemain badminton bergerak dengan cekap dan lincah dalam gelanggang permainan. Pergerakan ini melibatkan banyak berhenti dan mula, perubahan arah secara tiba-tiba, menjangkau bulu tangkis dan berbalik kepada situasi asal bersedia (pusat operasi). Kebanyakan pergerakan asas adalah dari arah sisi ke sisi, ke hadapan dan ke belakang. Pergerakan ke hadapan adalah lebih senang berbanding pergerakan ke belakang atau ke sisi. Oleh itu, ramai pemain merasakan senang dan cepat bergerak ke hadapan jaring berbanding bergerak ke belakang. Jika seorang pemain mempunyai gerak kaki yang baik, imbangan pemain akan sentiasa kekal, keyakinan pemain untuk bergerak ke seluruh gelanggang akan meningkat dan kelajuan pergerakan dapat dipertingkatkan.

            Pergerakan ke sisi membenarkan pemain bergerak dengan cepat ke hadapan dan ke belakang, menukar arah, kedudukan dan mudah untuk menukar rentak atau pace yang cepat dan membantu pemain membuat jangkauan yang baik. Secara amnya, pergerakan ini merupakan satu atau dua lompatan pendek (skip) dan didikuti dengan pukulan atau strike yang panjang. 
IMG_0002.jpg







IMG_0003.jpg










Rajah 7.4 (a) Menjangkau ke kanan dengan satu langkah yang panjang
                              (b) Menjangkau ke kiri dari bawah secara kilas
Pergerakan ke Hadapan
Dalam kedudukan bersedia, cara yang paling cepat untuk bergerak ke hadapan adalah dengan berlari. Jika pemain tersebut tinggi, pemain itu hanya memerlukan satu atau dua langkah untuk sampai ke tengah gelanggang dan dua langkah untuk sampai ke hadapan jaring. Berapa langkah yang diperlukan untuk sampai adalah tidak penting, tetapi perlu diingatkan bahawa apabila bergerak ke hadapan, kedudukan badan perlu betul dan raket mesti dipegang dalam posisi bersedia. Apabila mengambil bulu tangkis ke hadapan, kepala raketlah yang akan menyentuh bulu tangkis. Oleh itu, keseluruhan badan tidak perlu bergerak ke hadapan gelanggang. Pemain perlu menganggarkan jarak yang sesuai untuk berhenti dan membuat satu langkah yang akhir ke hadapan untuk berada dalam kedudukan untuk membuat pukulan yang sepatutnya.
Pergerakan ke Belakang
Pergerakan ke belakang dari jaring boleh dilakukan secara berkesan dengan berlari, skipping atau pergerakan mengejar. Walau apapun cara yang dipilih oleh pemain, mereka memerlukan tiga tindakan asas iaitu:
1.    Sebelum bergerak ke belakang, raket perlu ditarik paras bahu ke belakang dengan memutar bahagian pinggang dan badan sebanyak 45°.
2.    Pastikan kedua-dua kaki berada rapat dengan lantai semasa bergerak.
3.    Lakukan langkah yang besar pada langkah terakhir untuk membantu pemain berhenti serta mengekalkan kestabilan dan imbangan

Berlari ke belakang boleh dicapai dengan menggerakkan kedua-dua belah kaki secara berselang seli ke belakang. Semasa bergerak ke belakang, pastikan bahagian atas badan dan kepala tidak banyak bergerak. Ini adalahuntuk mengekalkan imbangan dan kedudukan badan yang baik. Apabila membuat skipping ke belakang, kaki yang tidak mempunyai raket akan sentiasa berada di hadapan kaki satu lagi. Kaki yang mempunyai raket akan menendang ke belakang setiap kali langkah dilakukan.

Pergerakan mengejar adalah hampir sama dengan pergerakan skipping tetapi ia dilakukan dengan membawa kaki yang tidak mempunyai raket sebaris dan bersebelahan dengan kaki yang ada raket. Ini diikuti dengan kaki yang ada raket bergerak ke belakang dalam pergerakan yang berikutnya.





8.0       KEMAHIRAN ASAS
8.1       MEMEGANG RAKET
Cara raket badminton dipegang adalah sangat penting. Raket perlu dipegang dengan betul untuk mendapatkan pukulan yang tepat dan berkesan.

8.1.1   GENGGAMAN
Berikut ialah cara-cara untuk memperoleh genggaman raket yang baik bagi pemain tangan kanan:
1.    Cara 1: Raket dipegang pada bahagian leher raket di tangan kiri bersudut tepat dengan lantai. Pemain meletakkan tangan kanan dengan jari-jari terbuka ke atas tali raket. Pemain menggerakkan tangan kanan dari atas raket melalui tangkai atau shaft raket ke bawah pemegang raket atau handle. Jari-jari pemain akan menggenggam di sekeliling pemegang raket apabila bahagian bawah tangan kanan sampai ke penghujung pemegang raket.

2.    Cara 2: Jurulatih atau seorang pemain memegang kepala raket dengan kedudukan selari dengan lantai. Hujung pemegang atau handle raket dihulur kepada seorang pemain yang akan menerima raket itu secara berjabat tangan.


3.    Cara 3: Raket diletak di atas lantai dengan hujung batang raket dalam kedudukan sudut tepat dengan permukaan lantai. Pemain akan mengambil raket tersebut seperti beliau hendak membuat potongan ke atas kayu dengan menggunakan hujung batang raket. 



IMG_0005.jpg







Rajah 8.1: Cara-cara genggaman raket

Genggaman asas yang betul mesti mempunyai ciri-ciri berikut:
1.    Pembentukan V oleh ibu jari dan jari telunjuk di bahagian pemegang atau handle raket.
2.    Jari-jari terbuka sedikit dan bahagian pemegang atau handle raket rehat di atas bahagian sebelah bawah jari-jari.
3.    Perlu diberi ruang di antara bahagian pemegang atau handle raket dan tapak tangan supaya raket digenggam dengan hujung jari-jari pemain.
4.    Keseluruhan bahagian pemegang atau handle raket tidak melepasi tangan.
5.    Pastikan raket adalah sebahagian daripada tangan pemain.




IMG_0006.jpg








Rajah 8.2: Genggaman asas
8.1.2   GENGGAMAN KILAS
Untuk memperoleh genggaman kilas atau backhand yang betul, pemain perlu:
1.    Pegang raket seperti genggaman asas.
2.    Genggaman mestilah relaks dan dipusingkan bahagian pemegang atau handle raket dengan jari-jari dalam anggaran 30° ke kanan.
3.    Letakkan ibu jari di atas bahagian pemegang atau handle raket di bahagian belakang raket yang leper. Kedudukan ibu jari ini memberi daya kepada pukulan dan mengawal raket.
IMG_0007.jpg



IMG_0008.jpg




Rajah 8.3: Genggaman kilas

8.1.3   MEMBUAT PUKULAN ASAS
Pergerakan membuat pukulan dalam badminton adalah serupa dengan pergerakan membuat balingan secara bebas. Permainan pergelangan tangan memainkan peranan yang penting dalam membuat pukulan asas dalam sukan badminton. Pergelangan tangan yang boleh bertukar arah dari kanan dan kiri atau bengkok ke belakang atau ke hadapan menentukan arah bulu tangkis akan bergerak di udara. Dengan memusingkan tapak tangan, pergelangan dan forearm permukaan raket akan sentiasa bersudut tepat dengan bulu tangkis.

            Pukulan atas kepala adalah sama seperti membaling bola kriket dari sempadan. Pukulan sisi lengan adalah sama seperti membaling seketul batu supaya ia bergerak meluncur di atas permukaan air di sungai. Pukulan bawah tangan pula adalah seperti membuat lambung bola tenis kepada pemain yang baru belajar memukul bola.

Kawasan Membuat Pukulan
Kawasan pukulan atau stroke areas adalah berdasarkan posisi bulu tangkis dan arasnya ketika ia dipukul. Pukulan dalam badminton bolah dibahagikan kepada tiga kawasan pukulan iaitu:
1.    Pukulan atas kepala atau overhead stroke.
2.    Pukulan sisi lengan atau sidearm stroke.
3.    Pukulan bawah tangan atau underarm stroke.
Ketiga-tiga pukulan atau stroke ini boleh dilakukan secara:
1.    Pukulan hadapan (forehand):Ini adalah kedudukan apabila bulu tangkis berada lebih ke ruang di sebelah tangan raket.
2.    Pukulan kilas (backhand): Ini adalah kedudukan apabila bulu tangkis adalah lebih ke ruang di sebelah tangan bebas.
Oleh itu, kedudukan pemain dan arah pergerakan bulu tangkis akan mempengaruhi jenis pukulan dalam permainan badminton.
Pergelangan Tangan
1.    Sebelum melakukan sesuatu pukulan atau stroke, pergelangan tangan perlu dibengkok ke belakang atau mencekah.
2.    55 cm hingga 65 cm sebelum membuat sentuhan dengan bulu tangkis, pergelangan tangan perlu berada dalam keadaan relaks dan tidak mencekah. Ini adalah untuk menambahkan lagi kelajuan pergerakan pergelangan tangan dan seterusnya kelajuan pergerakan lengan memukul. Jika mengatur masa dengan betul, tindakan ini akan menghasilkan kuasa pukulan yang kuat.
3.    Untuk pukulan yang ada kuasa, memperdayakan dan curam, maka penggunaan pergelangan tangan perlu dibengkok dengan tiba-tiba dan betul serta tepat mengatur masa.

8.1.4   AYUNAN RAKET
Semasa membuat sesuatu pukulan atau stroke dalam badminton, terdapat empat fasa yang penting, iaitu fasa ayunan raket ke belakang, fasa ayunan ke hadapan, fasa semasa konteks dan fasa ikut lajak. Fasa-fasa ini merupakan keseluruhan pergerakan yang dilakukan oleh semua pukulan dalam badminton.
IMG_0009.jpg






Rajah 8.4; Ayunan raket untuk pukulan atas kepala

Ayunan ke Belakang
Apabila bulu tangkis berada pada ketinggian yang paling tinggi, raket akan diayun ke belakang secara teguh. Dengan membengkokkan siku, kepala raket akan dibawa ke bawah tulang belikat bahu kanan. Pada masa yang sama, pergelangan tangan berada dalam keadaan mencekah. Tindakan tersebut meletakkan pemain dalam keadaan posisi sisi dengan berat badan pemain di belakang kaki dan lututnya bengkok sedikit.
IMG_0010.jpg





Rajah 8.5: Ayunan ke belakang
Ayunan ke Hadapan
Apabila bulu tangkis mula turun, kepala raket dibaling ke atas untuk menemui bulu tangkis. Pergerakan di bawah akan menunjukkan bagaimana tubuh badan pemain bergerak semasa melakukan ayunan ke hadapan:
1.    Pangkal tapak tangan akan mendahului dalam pergerakan.
2.    Bahagian lengan akan diluruskan secara tiba-tiba.
3.    Lebih kurang 0.5 m sebelum membuat sentuhan, pergelangan tangan tidak akan mencekah.
4.    Badan pemain akan ditolak ke atas supaya berat pemain akan digunakan dalam pukulan.
5.    Badan dan lengan adalah rapat dan dalam satu garis lurus. Ini bertujuan untuk memberi kuasa dan kawalan dalam pukulan.

Lengan kiri bergerak dalam arah yang bertentangan dalam tindakan ayunan ke hadapan atau ke belakang. Ini bertindak sebagai mengimbang balas pergerakan. Lengan kiri juga digunakan oleh beberapa pemain sebagai panduan memperlihatkan bulu tangkis semasa melakukan pukulan ‘hadapan atas kepala’
IMG_0011.jpg






Rajah 8.6: Ayunan ke hadapan
Kedudukan Semasa Konteks atau Sentuhan
Kedudukan semasa konteks atau sentuhan adalah di sebelah kanan dan di hadapan kepala pemain. Pada ketika itu, lengan yang membuat pukulan perlu lurus untuk memastikan konteks berlaku pada ketinggian yang paling tinggi. Kepala raket dipukul menuju dan melalui bulu tangkis dan muka raket adalah bersudut tepat dengan pangkal bulu tangkis.
IMG_0012.jpg






Rajah 8.7: Kedudukan semasa konteks atau sentuhan
Pukulan Ikut Lajak
Dalam pukulan ikut lajak:
1.    Kepala raket akan terus melalui garisan lurus penerbangan bulu tangkis selama yang boleh.
2.    Kepala raket ditujukan ke arah kawasan yang ditetapkan.
3.    Raket di bawah melintangi badan sehingga ketinggian pada aras pinggang.
4.    Bagi kawalan yang baik, bulu tangkis dan kepala raket berkonteks seberapa lama yang boleh mengikut aliran bulu tangkis.
Tindakan memindahkan berat badan ke hadapan kaki supaya tubuh badan adalah bersudut tepat dengan jaring.
IMG_0013.jpg




Rajah 8.8: Fasa ayunan persediaan, fasa sentuhan dan fasa pemulihan

Pemulihan
Raket diayun ke bawah melintangi badan dan berat badan dipindah ke hadapan kaki. Pemain yang mempunyai imbangan baik akan bergerak dengan licin dan lancar ke tengah gelanggang atau pusat operasi bersedia untuk mengmbil pukulan pihak lawan sebelum pihak lawan dapat melakukan pukulan bulu tangkis.
IMG_0014.jpg




Rajah 8.9: Fasa pemulihan




8.2       MEMBUAT SERVIS
Pukulan servis merupakan pukulan yang sangat penting dan para pemain badminton mestilah menguasai kemahiran ini supaya konsisten dan tepat. Servis merupakan kemahiran asas yang terpenting kerana setiap mata yang dipungut oleh pemain bermula dari servisnya. Secara amnya, di dalam permainan badminton terdapat empat jenis servis iaitu servis tinggi, servis rendah, servis flik dan servis kilas.

Servis Tinggi
Kemahiran servis tinggi biasanya digunakan dalam permainan perseorangan. Tujuannya adalah supaya pihak lawan terpaksa bergerak ke bahagian belakang gelanggang untuk membalas servis dan sukar untuk melakukan serangan. Ini akan menyebabkan gelanggang sebelah hadapan pihak lawan terdedah. Bulu tangkis dipukul dari tempat permulaan biasa atau belakang sedikit ke belakang dan dihantar ke ketinggian 22 hingga 30 kaki ke belakang gelanggang pihak lawan.

            Pemain memegang raket secara pepat (forehand). Bulu tangkis dipukul setinggi 22 hingga 30 kaki supaya ia jatuh tegak di garisan servis panjang dalam permainan regu dan di garisan belakang dalam permainan perseorangan. 
Cara Membuat Servis
1.    Dalam kedudukan bersedia dan raket diayun ke belakang, berat badan dipindah ke kaki belakang. Bahagian kiri bahu pemain (tangan bebas) menghadap ke arah servis.
2.    Raket diayun ke bawah dan ke hadapan dan bulu tangkis dilepaskan serentak semasa raket diayun ke hadapan. Berat badan dipindahkan ke kaki hadapan sambil mengilaskan badan untuk menghadap jaring. Pastikan bulu tangkis disentuh di bawah aras pinggang.
3.    Dalam fasa ikut lajak, raket terus diayun ke atas mengikut arah pergerakan bulu tangkis yang dituju. Raket akan terus bergerak tinggi dan melepasi aras pinggang dan bahu tangan bebas.
IMG_0037.jpg




Rajah 8.10: Servis tinggi

Servis Rendah
Kemahiran ini amnya digunakan oleh pemain dalam permainan regu. Bulu tangkis dipukul supaya ianya melepasi aras ketinggian jaring dan jatuh di garisan hadapan gelanggang pihak lawan.

            Pemain memegang raket secara pepat atau forehand semasa melakukan servis rendah. Untuk kawalan yang baik dalam kemahiran servis rendah, pemain boleh memendekkan sebanyak enam inci bahagian pemegang atau handle raket untuk kawalan yang baik.
Cara-cara melakukan servis rendah:
1.    Dalam kedudukan bersedia dan raket diayun ke belakang badan sedikit dan berat badan dipindah ke kaki belakang. Pergelangan tangan raket dikuncikan.
2.    Semasa bulu tangkis dilepaskan, berat badan dipindahkan ke hadapan dan seluruh lengan mengayun bersama-sama ke hadapan.
3.    Bulu tangkis disentuh di hadapan sedikit pada ibu jari kaki hadapan.
4.    Pastikan bulu tangkis disentuh di bawah aras pinggang.
5.    Ikut lajak adalah singkat dan tidak seperti dalam servis tinggi.
IMG_0038.jpg




Rajah 8.11: Servis rendah

Servis Flik
Servis flik adalah sama seperti servis rendah tetapi pada saat-saat terakhir pemain akan melakukan tindakan menguis atau pukulan flik. Pukulan flik ke atas bulu tangkis secukup tinggi melepasi pihak lawan atau penerima. Servis ini selalunya digunakan dalam permainan regu dan merupakan variasi kepada servis rendah. Ia digunakan sebagai satu tindakan untuk memerangkap pihak lawan secara mengejut. Untuk memerangkap pihak lawan, laluannya adalah sama seperti servis rendah sehingga kira-kira satu kaki sebelum raket menyentuh raket, pergelangan tangan dilonggar untuk melakukan flik atau kuis.
IMG_0016.jpg 




Rajah 8.12: Penerbangan bulu tangkis dalam servis flik (A) dan servis rendah (B)
Servis Kilas
Kemahiran servis ini dilakukan dengan memegang raket secara kilas. Servis ini merupakan satu variasi kepada servis rendah pepat atau forehand. Ia biasanya digunakan dalam permainan regu.
Cara membuat servis kilas:
1.    Raket berada di hadapan badan dan siku (tangan yang memegang raket menghala ke garisan tepi). Kepala raket dituju ke bawah di hadapan kaki kiri.
2.    Tangan yang bebas memegang bulu tangkis di bawah sedikit dari aras pinggang.
3.    Apabila bulu tangkis dilepaskan, gerakkan raket ke hadapan dan tolak bulu tangkis ke hadapan melepasi jaring depan.
4.    Pastikan bulu tangkis disentuh di bawah aras pinggang.
5.    Ikut lajak raket adalah singkat.

IMG_0009.jpg








Rajah 8.13: Servis kilas

PERATURAN SERVIS
Servis adalah sangat penting dalam permainan badminton kerana setiap mata yang dipungut oleh pemain bermula daripada servisnya. Oleh yang demikian, adalah penting bagi setiap pemain memastikan bahawa cara melakukan servis adalah betul kerana ia menjadi satu faktor untuk memenangi sesuatu perlawanan. Peraturan servis perlu diambil perhatian oleh semua pemain. Perkara-perkara berikut boleh membatalkan servis:
1.    Bingkai raket berada tinggi dari aras pinggang semasa servis dilakukan.
2.    Tidak keseluruhan kepala raket berada di bawah tangan pembuat servis.

IMG_0017.jpg











Rajah 8.14: Peraturan servis
8.3       MEMBUAT PUKULAN
Membuat pukulan atau stroke play merupakan kemahiran asas ketiga yang penting di dalam permainan badminton selepas kemahiran membuat servis dan kemahiran menerima servis. Sebagai kemahiran asas, setiap pemain perlu mengetahui cara untuk membuat pukulan dan seterusnya dapat menggunakan sesuatu pukulan untuk sesuatu situasi tertentu.

1.    PUKULAN DERAS
Pukulan deras atau drive merupakan pukulan sisi badan. Bulu tangkis dipukul ketika ia berada dalam kedudukan di antara atas bahu dengan pinggang pemain. Pukulan ini digunakan sebagaai satu pukulan pertahanan dan kadangkala digunakan sebagai serangan dalam permainan perseorangan atau regu. Pukulan ini dilakukan lebih kurang di tengah gelanggang di garisan tepi dan pukulan adalah laju dan pipis. Kegunaannya adalah sebagai pengganti smesy kerana bulu tangkis tidak boleh dipukul dengan baik semasa menyerang atau kerana bulu tangkis telah jatuh daripada ketinggian jaring. Pukulan ini boleh dilakukan dengan dua cara, iaitu pukulan deras pepet atau pukulan hadapan (forehand drive) atau pukulan deras kilas atau backhand drive.

Pukulan Deras Hadapan
Kemahiran ini dilakukan di sebelah kanan sisi badan pemain (pemain tangan kanan). Perlakuannya hampir sama dengan pergerakan membuat lemparan dari sisi badan dalam permainan sofbol.
           Langkah-langkah untuk membuat pukulan deras hadapan ialah:
1.    Raket dibawa ke belakang dekat badan sebagai langkah bersedia.
2.    Sambil membuat ayunan, kaki kanan (sebelah tangan raket) melangkah ke hadapan dan badan direndahkan sedikit.
3.    Semasa memukul bulu tangkis, lengan diluruskan dan sentuhan bulu tangkis adalah kuat dan mendatar. Ketika itu, berat badan dipindahkan ke kaki hadapan.
4.    Sentuhan raket dengan bulu tangkis berlaku di hadapan sedikit dari kaki hadapan pada aras ketinggian jaring.
5.    Ikut lajak mengikut aliran bulu tangkis seberapa lama sebelum mengayun raket di hadapan badan dan seterusnya kembali ke keadaan asal untuk tindakan selanjutnya.
IMG_0018.jpg





Rajah 8.16: Pukulan deras pepet atau hadapan (forehand)

Pukulan Deras Kilas
Pukulan deras kilas dilakukan apabila bulu tangkis menuju dari sebelah kiri pemain di antara bahu dengan pinggang. Langkah-langkah untuk membuat pukulan deras kilas ialah:
1.    Raket dibawa ke belakang, bahu kanan diarahkan ke jaring. Siku menunjuk kea rah bulu tangkis yang datang ke arah pemain.
2.    Pada masa yang sama, kaki kanan bergerak ke hadapan menyilang dengan kaki kiri. Ketika itu, berat badan adalah di kaki kiri pemain.
3.    Semasa memukul bulu tangkis, ayun raket ke hadapan dengan tangan raket lurus. Badan mengilas dan berhadapan arah jaring sambil memindahkan berat badan ke kaki kanan.
4.    Ikut lajak dan seterusnya kembali ke keadaan asal untuk tindakan selanjutnya.

IMG_0019.jpg













Rajah 8.17: Pukulan deras kilas

2.    PUKULAN BAWAH LENGAN
Pukulan Bawah Lengan Hadapan
Secara asasnya, pukulan ini adalah pukulan pertahanan dan digunakan untuk:
1.    Memberi masa pemain pulih semula.
2.    Dipukul jauh ke belakang gelanggang supaya pemain mempunyai masa untuk balik ke pusatnya.
3.    Dipukul jauh ke dalam kawasan pihak lawan bagi mengelakkan pihak lawan menyerang dari pukulan.

Genggaman raket untuk pukulan ini adalah sama seperti genggaman asas. Kedudukan kaki pemain semasa pukulan ini adalah seperti berikut:
1.    Dalam kedudukan lunge dengan kaki kanan langkah ke hadapan kaki kiri sebanyak 0.6 m.
2.    Kaki kanan mengarah ke bulu tangkis yang akan diambil.
3.    Lutut dibengkokkan.
4.    Kaki kiri dikeluarkan dengan hujung kaki menyentuh lantai.
Ayunan Raket ke Belakang
Raket ditarik ke belakang di sebelah sisi kanan dan di belakang badan. Lengan dibengkokkan, pergelangan tangan dikunci dan raket melepasi aras bahu.
Ayunan Raket Ke Hadapan
1.    Kepala raket dibawa dari bawah dan ke hadaapan.
2.    Lengan diluruskan, pergelangan tangan dilonggarkan.
Sentuhan Pukulan
Sentuhan pukulan dilakukan bersebelahan dan di hadapan kaki kanan pemain.
Ikut Lajak
Tangan mengikut pergerakan lurus penerbangan bulu tangkis sehingga kepala raket mencapai aras ketinggian kepala pemain.
Pemulihan
Dengan pukulan yang kuat dari kaki kanan yang bengkok, pemain cepat pulih dan dapat balik ke posisinya.



IMG_0020.jpg





Rajah 8.18: Pukulan bawah lengan hadapan

Pukulan Bawah Lengan Kilas
Genggaman kilas asas digunakan dalam pukulan ini. Pergerakan pukulan ini adalah seperti berikut:
1.    Kedudukan lunge ke hadapan kaki kanan di hadapan kaki kiri dalam jarak 0.6 m.
2.    Kaki kanan mengarah ke bulu tangkis yang akan dipukul.
3.    Lutut dibengkokkan.
4.    Kaki kiri diregang keluar dengan ibu jari kaki menyentuh lantai.
Ayunan Raket ke Belakang
1.    Kepala raket ditarik ke belakang dan di bawa ke sebelah kiri sisi badan pemain dan kepala raket berada melebihi aras bahu.
2.    Lengan dibengkokkan dan pergelangan tangan dikunci.
3.    Tangan kanan berada dekat dengan bahu kiri.
Ayunan Raket ke Hadapan
Siku mengarah ke bulu tangkis, lengan diluruskan dan pergelangan tangan dilonggarkan sebelum bulu tangkis disentuh.

Sentuhan atau Konteks
Sentuhan dilakukan pada sisi dan hadapan kaki kanan.
Ikut Lajak
Raket mengikut garisan penerbangan bulu tangkis, iaitu ke hadapan dan atas melepasi aras bahu.
Pemulihan
Dengan tolakan kuat kaki kanan yang bengkok, pemain dapat pulih dengan cepatnya dan balik ke pusat operasi dengan lancar.
IMG_0022.jpg





Rajah 8.19: Pukulan bawah lengan kilas

3.    PUKULAN JUNAM/ DROP
Kemahiran ini merupakan satu pukulan perlahan dari belakang gelanggang. Bulu tangkis dipukul dengan perlahan tetapi merupakan satu pukulan menyerang. Pukulan junam dilakukan dari garisan kedua belakang dan mendarat seberapa dekat dengan jaring di sebelah gelanggang pihak lawan. Dalam permainan badminton, pukulan ini digunakan sebagai gentian kepada pukulan lob bagi memaksa pihak lawan membuat lambung dari bawah agar dapat melakukan smesy dan memaksa pihak lawan berada di luar posisi.
IMG_0021.jpg







Rajah 8.20: Pukulan junam
Rajah 8.20 menunjukkan cara-cara membuat pukulan junam seperti langkah-langkah berikut:
1.    Ayunan ke belakang
a)    Raket dibawa ke bawah dan ke belakang dengan lengan dibengkokkan.
b)    Pastikan raket dibawa di antara tulang belikat.
c)    Siku di tangan bebas berada di atas.
d)    Lengan dibengkokkan dan pergelangan tangan diketatkan.

2.    Ayunan ke hadapan 
a)    Tangan ditolak ke hadapan dan atas dengan lengan lurus.
b)    Pergelangan tangan dilionggarkan dan berat badan diayun ke hadapan.
c)    Lengan diayun ke hadapan tetapi diperlahan dan dihentikan semasa menyentuh bulu tangkis dengan aksi memotong.
d)    Gunakan pergelangan tangan pada saat akhir.
e)    Jangan pukul bulu tangkis.
f)     Semasa ikut lajak, raket terus mengikut arah pergerakan bulu tangkis ke hadapan.
Jenis Pukulan Junam
Pukulan junam boleh dilakukan secara junam lurus atau junam silang. Kemahiran ini boleh juga dibahagikan kepada berikut:
1.    Junam lurus pukulan kilas.
2.    Junam lurus pukulan hadapan.
3.    Junam silang pukulan hadapan.
4.    Junam silang pukulan kilas.

4.    PUKULAN SMESY
Ini adalah pukulan berkuasa yang bertujuan untuk mematikan permainan dengan cepat. Pukulan ini merupakan pukulan serangan dan menjunam dengan cepat ke dalam gelanggang pihak lawan. Pada amnya, pemain melakukan smesy untuk mematikan rali dan mengalahkan lawan yang sudah keluar dari posisi atau tidak ada keseimbangannya. Ia juga digunakan bukan sahaja untuk mematikan rali, tetapi mewujudkan ruang supaya pukulan berikutnya dapat mematikan pihak lawan. Pukulan smesy ini boleh dilakukan di mana-mana sahaja dalam gelanggang apabila diperlukan. Untuk melakukan smesy yang tajam, pantas dan sukar diambil oleh pihak lawan, kerapkali pemain terpaksa melompat untuk membuat smesy.                                                            
           Cara melakukan smesy yang baik adalah seperti berikut:
1.    Untuk smesy pepat atau forehand pegangan pada raket perlulah pepat juga.
2.    Pemain perlu bersedia seperti untuk melakukan pukulan atas kepala (overhead stroke). Raket perlu diayun ke belakang seperti persediaan awal untuk pukulan junam.
3.    Ayun raket ke hadapan dengan pantas dan pukul bulu tangkis dengan kencang. Pergerakan pemain semasa melakukan smesy mestilah eksplosif.
4.    Sentuh bulu tangkis di atas dan hadapan kepala dan badan pemain sebelah tangan raket. Semasa melakukan smesy, pegangan mestilah relaks dan tidak terlalu ketat.
Pada amnya, pukulan smesy dapat dilakukan dalam tiga arah ke dalam gelanggang, iaitu:
1.    Pukulan smesy lurus selari dengan garis tepi.
2.    Pukulan smesy silang.
3.    Pukulan smesy ke badan pihak lawan (body smash).
IMG_0023.jpg







Rajah 8.21: Pukulan smesy
           
5.    PUKULAN LOB
Pukulan lob dilakukan di belakang gelanggang dengan memukul bulu tangkis yang tinggi dari belakang gelanggang secara pukulan pepat atau kilas. Pada amnya, pemain menggunakan pukulan ini supaya mempunyai masa untuk bersedia semula di tengah-tengah gelanggang. Pukulan lob juga digunakan sebagai membalas servis tinggi dan memaksa pihak lawan bergerak ke belakang gelanggang. Terdapat dua jenis pukulan lob, iaitu pukulan lob defensif atau pertahanan dan pukulan lob ofensif atau attacking lob.

Pukulan Lob Defensif
Rajah 8.22 menunjukkan penerbangan bulu tangkis dalam pukulan defensif. Pukulan ini adalah sama seperti aksi membaling sesuatu benda yang tinggi ke hadapan. Bulu tangkis dipukul tinggi ke arah belakang gelanggang. Dalam permainan perseorangan, pukulan ini memaksa pihak lawan bergerak jauh ke belakang gelanggang dan menyebabkan pihak lawan sukar untuk membuat serangan.
IMG_0024.jpg





                   
                      Rajah 8.22: Penerbangan bulu tangkis semasa pukulan
1.    Lob defensif
2.    Lob ofensif
3.    Smesy
4.    Junam laju
5.    Junam perlahan

Pukulan Lob Ofensif
Pukulan ini digunakan sebagai serangan di mana pemain akan memastikan bulu tangkis dimainkan dari garisan belakang gelanggang dipukul kuat dan tinggi sedikit ke belakang gelanggang pihak lawan. Pukulan ini digunakan dalam semua permainan sebagai gentian kepada pukulan lob, drop ataupun smesy apabila pihak lawan berada jauh di hadapan gelanggang dan pukulan ini baik sebagai pukulan untuk memerangkap pihak lawan.
          Secara asasnya, pukulan lob yang baik dilakukan seperti berikut:
1.    Pemain perlu bersedia seperti hendak melakukan pukulan atas kepala (overhead stroke). Raket diayun ke belakang seperti persediaan awal untuk pukulan junam dan smesy.
2.    Kilaskan badan supaya 90° dan berat badan dipindah ke kaki belakang.
3.    Raket diayun ke belakang bahu dan siku tangan yang memegang raket mengarah ke garisan belakang.
4.    Bahagian bahu dan lengan yang bebas menunjuk ke arah lob.
5.    Kilaskan badan sambil mengayun raket ke hadapan. Pastikan raket tidak digenggam dengan kuat (loose grip). Poin konteks atau sentuhan bulu tangkis adalah pada jangkauan yang tertinggi sebelah tangan yang memegang raket.
6.    Permukaan raket perlu diarahkan ke sasaran yang ditujukan.
7.    Setelah memukul bulu tangkis, tangan raket terus bergerak ke sebelah kiri menyilang badan pemain. Ikut lajak dan berat badan berpindah ke kaki hadapan.

6.    PUKULAN DI JARING
Pukulan di jaring atau net play merupakan satu pukulan yang sangat penting dalam permainan perseorangan. Apabila seoarang pemain dapat menguasai permainan di jaring, maka peluang untuk pemain itu mengawal pihak lawan adalah ketara. Terdapat dua jenis pukulan di jaring, iaitu:
1.    Apabila bulu tangkis diaminkan di atas aras jaring.
2.    Apabila bulu tangkis dimainkan di aras jaring atau ke bawah.


Bulu Tangkis di Atas Aras Jaring
Pukulan dilakukan berhampiran dengan jaring pada aras sedikit di atas jaring. Jika dimain dengan baik, pihak lawan dipaksa melakukan kesalahan dan ini memberi peluang kepada pemain mengetuk bulu tangkis ke bawah sekiranya pukulan balas balik pukulan di jaring terlalu tinggi.
        Cara melakukan kemahiran tersebut adalah seperti berikut:
1.    Lonjak ke hadapan dan buat pukulan pada poin konteks paling tinggi di atas jaring. Pastikan gabus bulu tangkis atau cork melepasi kawasan pihak sendiri sebelum membuat konteks. Jika belum melepasi, pukulan itu dibatalkan.
2.    Gunakan pergelangan tangan semasa melakukan pukulan.
3.    Genggaman raket jangan terlalu ketat (loose grip).

IMG_0025.jpg









Rajah 8.23: Bulu tangkis di atas aras jaring
Bulu Tangkis Bawah dari Aras Jaring
Pukulan ini dilakukan apabila bulu tangkis berhampiran dengan jaring beberapa meter dari lantai dan jaring. Ia digunakan sebagai tindakan defensif dengan bulu tangkis dipukul melepasi aras atas jaring.
        Cara melakukan pukulan jaring ini adalah seperti berikut:
1.    Siku dibengkokkan dan dihulurkan sedikit dengan pergelangan tangan dilonggarkan.
2.    Bulu tangkis ditolak bukan dipukul.
3.    Konteks di hadapan badan pemain.
4.    Tolakan dimatikan selepas konteks.

Pukulan Kilas Atas Kepala
Pukulan ini adalah pukulan lob defensif dan ofensif, junam dan smesy. Seorang pemain perlu ingat bahawa pukulan-pukulan kilas atas kepala hanya digunakan dalam keadaan terdesak. Seboleh-bolehnya, gunakan pukulan hadapan atau forehand atas kepala kerana pukulan ini adalah lebih kuat dan tepat.

        Oleh sebab pukulan ini adalah secara amnya lemah daripada pukulan hadapan, pukulan kilas seharusnya dipemainkan beberapa meter dekat dengan bahagian hadapan gelanggang badminton.
Genggaman
Genggaman yang digunakan adalah genggaman kilas.
Posisi dan Kedudukan Pemain
1.    Kedua-dua kaki mengarah 45° ke arah belakang gelanggang.
2.    Kaki kanan berada di depan kaki kiri.
3.    Belakang bahu kanan membelakangkan jaring.
Ayunan Raket ke Belakang
1.    Pemain memusing untuk melihat di belakang gelanggang.
2.    Kepala raket dipegang depan badan dan tinggi arasnya.
3.    Belakang badan dan lutut dibengkokkan sedikit.
4.    Bahu kanan membelakangkan jaring.
5.    Siku dibengkok dan mengarah ke atas menunjuk arah bulu tangkis yang akan dipukul.
6.    Pergelangan tangn dikuncikan.
Ayunan Raket ke Hadapan    
1.    Badan dan bahu bergerak mengikut pukulan.
2.    Kedua-dua kaki dilurus serentak untuk memindahkan keseluruhan badan ke atas untuk menemui bulu tangkis.
3.    Siku bergerak ke bulu tangkis dengan lengan diluruskan dalam satu pergerakan ke atas.
4.    Pergelangan tangan dilepaskan dan longgar.
Sentuhan
Sentuhan raket dan bulu tangkis berlaku di atas hadapan kepala atau forehand dengan penggunaan pukulan pergelangan yang kuat.
Ikut lajak
Pukulan perlu terus mengikut ayunan kepala raket yang mengikut laluan arah penerbangan bulu tangkis. Pastikan ikut lajak dipanjangkan ayunannya.
Pemulihan
Kelajuan ayunan lengan dan ikut lajak akan menyebabkan pemain bergerak balik ke tengah gelanggang dengan kedudukan persediaan. 

9.0       APLIKASI PRINSIP ASAS SAINS DALAM SETIAP KEMAHIRAN ASAS
9.1       SISTEM TUAS
Sistem tuas merupakan satu mesin ringkas yang bertujuan untuk membantu manusia melakukan sesuatu kerja dengan mudah dan selesa serta dapat mengatasi beban. Sistem tuas juga dapat membantu dalam keberkesanan sesuatu pergerakan. Sistem tuas ialah satu struktur yang teguh yang diengselkan (fulkrum) di satu titik dan daya dikenakan kepada kedua-dua hujung struktur tersebut (daya motif dan daya rintangan).
IMG_0030.jpg



Rajah 9.1: Sistem tuas

            Badan manusia mempunyai bentuk tersendiri yang berasaskan kepada struktur tulang. Tulang-tulang ini bersambung antara satu sama lain melalui sistem persendian dan bertindak sebagai tuas yang memindahkan tenaga otot terhadap objek yang menghasilkan sesuatu pergerakan. Terdapat tiga jenis sistem tuas dalam badan manusia. Antaranya ialah tuas kelas pertama, tuas kelas ke dua dan tuas kelas ke tiga. Komponen utama sistem tuas ialah aksis (fulkrum), daya dan beban (rintangan).

            Sistem tuas kelas pertama dapat diaplikasikan dalam kemahiran memegang raket badminton. Di dalam sistem tuas kelas pertama, aksis atau fulkrum terletak di antara daya motif dan daya rintangan. Kedua-dua daya ini bertindak secara bertentangan.

IMG_0026.jpg



Rajah 9.2: Cara memegang raket

9.2       TENAGA PUTARAN
Tenaga putaran (rational force) di dalam sukan perlu mematuhi prinsip-prinsip momen (principal of moments). Momen pada sesuatu titik putaran ialah b (beban) × j (jarak). Kesan tenaga putaran boleh ditingkatkan dengan menambahkan beban ataupun dengan memanjangkan jarak. Tenaga putaran dapat diaplikasikan dalam kemahiran asas memegang raket badminton.

            Memanjangkan raket badminton dengan menggenggam pada pangkalnya akan memudahkan penghasilan pukulan yang kencang. Rajah di bawah menunjukkan pemain melompat tinggi untuk melakukan pukulan yang kencang. Sementara itu, permainan di jaring pula memerlukan pergerakan raket yang pantas dan terkawal. Oleh itu pemain perlu memendekkan raket badminton dengan mengubahsuaikan genggamannya seperti yang ditunjukkan oleh pemain ke dua yang menunggu peluang untuk membalas di kawasan jaring. Sekiranya pemain memilih raket yang lebih berat, kesan tenaga putaran akan membantu pemain menghasilkan pukulan-pukulan yang lebih kuat. Jika berat raket (b) ditambah, maka momennya akan meningkat. Kesan sampingan menggunakan raket yang berat ialah ia akan menjadi lebih sukar untuk digerakkan.


IMG_0029.jpg



Rajah 9.3: Genggaman raket pada kedudukan berlainan mempengaruhi pukulan    

9.3       KESEIMBANGAN DAN KESTABILAN
Apabila jumlah semua daya yang bertindak ke atas tubuh seimbang maka ianya dikatakan berada dalam keadaan yang seimbang. Ini bermaksud, tubuh manusia berada dalam keadaan keseimbangan apabila semua daya bertindak ke atasnya adalah sifar.

            Pusat graviti (centre of gravity) boleh disifatkan sebagai titik bagi tarikan graviti berpusat dan bertindak ke atas sesuatu objek. Berat tubuh adalah tertumpu pada pusat ini. Pusat graviti seseorang itu berubah dengan perubahan kedudukannya serta apa yang dibawa oleh anggota-anggotanya. Kedudukan pusat graviti adalah penting kerana ia menentukan keseimbangan tubuh anda. Tubuh anda akan seimbang sekiranya pusat graviti tubuh anda terletak di atas tapak anda. Contohnya semasa anda berdiri. Apabila pusat graviti anda dipindah dari kedudukan yang stabil ini, daya tarikan graviti akan menjadi lebih kuat pada salah satu daripada bahagian tibuh anda. Anda akan terjatuh sekiranya pusat graviti anda dipindah terlalu jauh dari tapak anda.
IMG_0028.jpg


Rajah 9.4: Kedudukan tapak kaki
            Sekiranya jarak di antara tapak kaki anda adalah sempit, kestabilan tubuh anda akan menurun. Contohnya semasa berdiri dengan kaki yang rapat ataupun di atas satu kaki. Pusat graviti yang rendah akan menambahkan kestabilan. Oleh itu orang yang tinggi adalah kurang stabil berbanding dengan orang yang lebih gemuk dan pendek. Kestabilan merupakan keupayaan sesuatu objek kekal dalam kedudukan keseimbangan asalnya apabila ia diubah. Kestabilan dipengaruhi oleh:
1.    Pusat graviti yang rendah dan rapat kepada dasar sokongan.
2.    Dasar sokongan yang lebih besar dan luas.
3.    Pusat graviti lebih rapat kepada pusat dasar sokongan.

Dalam kemahiran asas membuat servis memerlukan kedudukan yang stabil dan seimbang serta pusat graviti yang rendah. Semasa pemain berada dalam kedudukan untuk melakukan servis, badan dan lutut dibengkokkan dan sebelah kaki kaki ke depan sedikit untuk memudahkan pergerakan ke depan dan ke belakang. Kaki dan lutut yang bengkok bukan sahaja dapat merendahkan pusat graviti dan menstabilkan tubuh pemain, malah ia juga merupakan kedudukan persediaan yang membolehkan pemain bertindak balas dengan lebih pantas.  Semasa pemain bersedia untuk membuat servis, pemain akan membuka tapak dalam kedudukan bersedia.
IMG_0027.jpg



     


Rajah 9.5: Kaki dan lutut dibengkokkan semasa membuat servis
      Kestabilan dapat dibahagikan kepada dua jenis iaitu kestabilan statik (static stability) dan kestabilan dinamik (dynamic stability). Kestabilan statik adalah pengekalan kestabilan tubuh semasa tidak bergerak. Manakala kestabilan dinamik pula ialah kestabilan tubuh semasa dalam pergerakan. Kedua-dua kestabilan ini adalah amat penting dalam kemahiran asas membuat servis. Kestabilan statik biasanya digunkana semasa pemain bersedia untuk bergerak dan kestabilan dinamik pula digunakan semasa pemain mengatur serangan. Kedua-dua jenis kestabilan ini sering kali digunakan secara serentak.

9.4       PEMINDAHAN BERAT BADAN
Prinsip pemindahan berat badan dapat diaplikasikan dalam kemahiran membuat servis tinggi. Ketika berada dalam kedudukan bersedia, raket perlu diayun ke belakang dan berat badan dipindah ke kaki belakang. Bahagian kiri bahu pemain iaitu tangan bebas menghadap ke arah servis. Kemudian raket diayun ke bawah dan ke hadapan dan bulu tangkis dilepaskan serentak semasa raket diayun ke hadapan. Berat badan juga dipindahkan ke kaki hadapan sambil mengilaskan badan untuk menghadap jaring. Dalam fasa ikut lajak pula, raket terus diayun ke atas mengikut arah pergerakan bulu tangkis yang dituju. Raket akan terus bergerak tinggi dan melepasi aras pinggang dan bahu tangan bebas.

IMG_0037.jpg




Rajah 9.6: Servis tinggi
9.5       IKUT LAJAK
Ikut lajak merupakan unjuran pergerakan yang telah dimulakan dalam sessuatu permainan. Prinsip asas sains ini adalah sangat penting terutamanya bagi kemahiran melontar, menyepak dan juga memukul. Kelajuan terakhir objek adalah berkadar terus dengan jumlah masa daya diaplikasikan. Asas ikut lajak dapat memastikan pelepasan objek berlaku bersama dengan pergerakan momentum maksimum tangan. Sekiranya asas ikut lajak tidak dilakukan maka daya yang dikenakan ke atas objek adalah berkurang.
           
            Asas ikut lajak dapat diaplikasikan dalam kemahiran asas membuat pukulan. Semasa pemain melakukan pukulan ikut lajak, bulu tangkis dan kepala raket berkonteks seberapa lama yang boleh mengikut aliran bulu tangkis untuk menghasilkan kawalan yang lebih baik. Asas ikut lajak sangat penting untuk menghasilkan kekuatan dan daya yang maksimum bagi membuat sesuatu pukulan.

            Contohnya, semasa melakukan pukulan kilas atas kepala, pukulan perlu dilakukan terus mengikut laluan arah penerbangan bulu tangkis. Pemain perlu memanjangkan ayunan raket supaya bulu tangkis dapat dipukul ke belakang gelanggang pihak lawan dengan kuat dan tinggi.




Rajah 9.7: Ikut lajak pukulan kilas atas kepala 

Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

CONTOH FORUM BERTAJUK (Pengaruh perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi dalam pendidikan)

BENTUK HALANGAN DALAM MEMBENTUK PERPADUAN DAN CARA MENGATASINYA

Pengertian Akhlak