MID NUFF

Konsep Negara bangsa


1.4 Konsep Negara bangsa

 Pembinaan Negara Bangsa amat penting bagi sebuah negara yang berbilang kaum dan agama seperti Malaysia. Keupayaan membina Negara Bangsa bergantung kepada perkongsian nilai serta semangat patriotisme. Ia menjadi semakin penting lebih-lebih lagi dalam era globalisasi yang membenarkan pengaliran secara bebas dan pantas bukan sahaja maklumat, modal serta manusia, tetapi juga sistem nilai, budaya dan kepercayaan dari pelbagai negara.
Hasrat untuk membentuk sebuah Negara Bangsa dalam konteks Malaysia boleh dihuraikan seperti berikut:

“...membentuk sebuah negara yang bersatu padu serta menyanjung masa hadapan yang dikongsi bersama. Bangsa itu mestilah sejahtera, berintegrasi wilayah-wilayah dan kelompok-kelompoknya, menikmati kehidupan bersama yang sepenuhnya berasaskan persamaan hak dan keadilan, membentuk sebuah Bangsa Malaysia dengan rasa taat setia dan pengabdian yang tidak berbelah bagi terhadap bangsa tersebut.”
(Tun Dr. Mahathir Mohamad Melangkah Ke Hadapan, 1991)

Menurut kamus dewan edisi ketiga pembinaan bermaksud pembangunan, negara bermaksud sesuatu masyarakat yang menduduki kawasan tertentu dan diperintah oleh sesebuah kerajaan dan bangsa pula bermaksud kumpulan manusia dalam satu ikatan ketatanegaraan.  Oleh itu, pembinaan negara bangsa bermaksud pembangunan sesuatu masyarakat dalam sesebuah negara.  Negara berbilang kaum dan agama pula bermaksud sesebuah kerajaan yang mempunyai penduduk yang terdiri daripada berbagai-bagai suku bangsa dan kepercayaan.  Manakala perkongsian nilai memberi maksud hidup bersama-sama dalam suatu sifat ketinggian pemikiran kemasyarakatan.  Semangat patriotisme pula merujuk kepada perasaan cinta yang kuat terhadap tanah air.  Keseluruhannya, frasa tersebut bermaksud pembangunan sesebuah masyarakat yang terdiri daripada berbagai-bagai suku bangsa, hidup bersama-sama dalam suatu ketinggian sifat serta perasaan cinta yang kuat terhadap tanah air bagi memajukan negara Malaysia yang tercinta.

Teras strategik PIPP yang pertama ialah membina Negara Bangsa. Dalam usaha itu, kementerian berhasrat untuk membangunkan warganegara daripada awal persekolahan dengan ciri glokal, patriotik dan cintakan negara serta menyanjung dan menjunjung warisan budaya dan kesenian bangsa.
Glokal di sini  adalah gabungan antara dua perkataan iaitu global dan lokal. Global bermaksud antarabangsa, internasional dan menjangkau seluruh dunia. Lokal adalah nasional, tempatan, dalam negara kita ini.
Masyarakat Glokal yang kita impikan dan hasratkan ialah Masyarakat yang berakar nasional dan berakal internasional.

Jelas sekali teras strategik PIPP yang pertama adalah usaha menyemai dan memperkukuhkan semangat patriotisme dan sayangkan tanah air.
Pembinaan negara bangsa adalah satu elemen amat penting dalam kejayaan negara. Fokus kementerian dalam membina negara bangsa mencakupi usaha seperti memperkasakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa perpaduan dan bahasa ilmu, memantapkan perpaduan dan integrasi nasional, memupuk kecintaan terhadap seni, warisan dan budaya bangsa.
Akhir sekali ialah memupuk kefahaman yang jelas terhadap pendekatan Islam Hadhari dalam membentuk pemikiran dan kehidupan. Ternyata semua tanggungjawab bagi mencapai kejayaan objektif PIPP yang pertama ini tergalas di bahu seorang guru. Tentunya guru-guru perlu mempunyai semangat yang luar biasa di samping mempunyai ciri-ciri dalaman keperibadian yang unggul sebelum mendidik keperibadian anak murid bagi pembinaan negara bangsa.

Malaysia kini sedang memasuki fasa 15 tahun kedua ke arah mencapai wawasan 2020.  Menjelang tahun 2020, Malaysia berhasrat menjadi sebuah negara maju mengikut acuan sendiri, iaitu ingin mencapai kemajuan seimbang dari segi ekonomi, politik, sosial, kerohanian, dan kebudayaan.  Malaysia juga berhasrat menjadi sebuah negara yang masyarakatnya bersatu padu dan mempunyai keyakinan diri yang tinggi, berpegang teguh kepada nilai agama, moral dan etika serta menikmati kehidupan yang demokratik, liberal dan bertolak ansur, perkongsian ekonomi yang adil dan saksama, progresif dan makmur, serta menguasai ekonomi yang mampu bersaing, dinamik, tangkas serta berdaya tahan. Yang Amat Berhormat Tun Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia yang keempat (1991), berhasrat menjelang tahun 2020, Malaysia boleh menjadi sebuah negara yang bersatu padu dengan masyarakat Malaysia mempunyai rasa keyakinan diri, ditunjangi oleh nilai-nilai moral dan etika yang utuh, menikmati kehidupan dalam sebuah masyarakat yang demokratis, liberal lagi bertolak ansur, berbudi, adil dan saksama ekonominya, progresif dan makmur, dan sepenuhnya menguasai ekonomi yang mampu bersaing, dinamis, tangkas serta mempunyai daya ketahanan.
             
Justeru, dalam usaha untuk mencapai wawasan membina negara bangsa semua pihak harus bersatu padu dan bekerjasama.  Pendidikan memainkan peranan yang penting dalam melahirkan pelajar dengan ciri-ciri individu dan masyarakat Bangsa Malaysia.  

Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

CONTOH FORUM BERTAJUK (Pengaruh perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi dalam pendidikan)

BENTUK HALANGAN DALAM MEMBENTUK PERPADUAN DAN CARA MENGATASINYA

Pengertian Akhlak