MID NUFF

PERKAHWINAN DALAM AGAMA SIKH


PERKAHWINAN DALAM AGAMA SIKH

Dalam agama Sikh, perkahwinan atau anand karaj dianggap suci. Penganut Sikh dimestikan berkahwin kerana perkahwinan adalah penyatuan dua roh menjadi satu. Penyatuan ini disamakan dengan penyatuan antara manusia dengan Tuhan, iaitu satu matlamat penting dalam kehidupan setiap penganut Sikh. Sistem perkahwinan orang Sikh adalah monogami.
Perkahwinan dalam masyarakat Sikh penting, malah dimestikan kerana cara hidup berkeluarga atau grihasth asram adalah cara hidup yang paling utama dan semula jadi sifatnya. Perkahwinan antara individu yang mempunyai hubungan kekeluargaan atau endogami dilarang atau tidak digalakkan. Oleh itu, pemilihan menantu biasanya dibuat oleh ibu bapa masing-masing.
Masyarakat Sikh mengamalkan bentuk pemilihan pasangan eksogami, iaitu memilih pasangan hidup daripada kelompok yang luar daripadanya, bukan daripada mereka yang ada ikatan persaudaraan. Cara ini dapat meluaskan pengaruh keluarga dan menggalakkan perkembangan budaya. Ringkasnya, keluarga dan kaum kerabat memberi perhatian yang berat dalam menentukan kemasukan ahli baru ke dalam keluarga meneka.
http://www.cybermelayu.com/newriang/budaya/budaya_75/1.jpg
Masyarakat Sikh mengamalkan bentuk keturunan dan kepusakaan patrilineal. Dalam bentuk ini, hubungan persaudaraan atau individu dihubungkan dengan kelompok keluarga melalui keturunan daripada sebelah nasab bapa. Misalnya, kelahiran seorang bayi merupakan masa yang amat menggembirakan, lebih-lebih lagi jika bayi tersebut lelaki, dan ibu yang melahirkan bayi tersebut dipuji kerana melahirkan anak lelaki yang sememangnya menjadi harapan keluarga. Kelahiran anak lelaki menguatkan kedudukan ibu dalam keluarga kerana bayi lelaki semacam jambatan yang menyatukan si ibu dengan bapanya. Ringkasnya, anak lelaki menjadi harapan keluarga demi penerusan keturunannya dan kerabatnya serta menjadi ketua keluarga dan melaksanakan upacara kematian ayahnya. Sungguhpun demikian, hal ini tidak bermakna bahawa anak perempuan dipandang rendah. Malah dalam agama Sikh, kedudukan kaum wanita sama dengan kedudukan lelaki.
Seseorang Sikh yang menjadi ahli kaum Khalsa perlu berkahwin dengan Khalsa juga. Jika pengantin perempuan belum lagi memohon amrit (air suci) untuk menjadi ahli kaum Khalsa manakala pasangannya Khalsa, maka dia perlu memohon amrit untuk menjadi ahli kaum Khalsa.
http://www.cybermelayu.com/newriang/budaya/budaya_75/sikhwedding3.jpg
Ada beberapa upacara yang dilakukan dengan teliti sebelum istiadat perkahwinan dilangsungkan supaya mendatangkan hasil yang baik dan memuaskan kedua-dua belah pihak. Antaranya, mangani, sehra bandhi, milni dan anand karaj.
Pertama, mangani (pertunangan), walaupun tidak diwajibkan, boleh dilakukan, sama ada di kediaman lelaki atau di gurdwara(pusat ibadat penganut Sikh). Biasanya upacara formal diadakan di gurdwara. Pada hari yang ditetapkan, bapa si perempuan bersama-sama saudara-mara pergi ke gurdwara. Bakal pengantin lelaki duduk di depan menghadap kitab suci, Sri Guru Granth Sahib Ji, dan dipakaikan kirpan (pedang kecil) oleh bapa mentuanya. Selepas itu, dia disuapkan manisan dan diberi wang serta dipakaikan cincin atau gelang emas. Bakal pengantin perempuan tidak dibenarkan menghadiri upacara ini. Tarikh perkahwinan ditetapkan selepas upacara pertunangan. Berita dan jemputan perkahwinan disebarkan kepada saudara-mara dan sahabat handai kedua-dua belah pihak.
Menjelang hari perkahwinan, upacara yang wajib dijalankan ialah mandi vatna. Dalam upacara ini, lima atau tujuh orang wanita yang telah berkahwin memandikan bakal pengantin di rumahnya tiga atau empat hari sebelum hari perkahwinan. Ringkasnya, upacara ini menandakan permulaan perayaan perkahwinan.
Upacara kedua ialah mengikat sehra di dahi pengantin lelaki oleh ibunya. Sehra ialah hiasan kepala yang dibuat daripada bunga dan kertas berkilat. Sebelum mengikat sehra, adik perempuannya mengikat bola benang bulu yang berwarna-warni di pergelangan tangan kanan abangnya untuk menunjukkan hubungan persaudaraan sesama mereka. Abangnya kemudian memberi wang kepada adik perempuannya. Sebelum pengantin lelaki keluar dari rumah dan berangkat ke rumah pengantin perempuan, salah seorang saudaranya menuangkan minyak kelapa di ambang pintu rumah untuk menandakan alamat yang baik.
Upacara milni ialah adat pertemuan antara bapa pengantin lelaki / dengan bapa pengantin perempuan / pada hari perkahwinan di kediaman pengantin perempuan. Ardas(doa) dibacakan apabila rombongan pengantin lelaki tiba. Dalam pertemuan ini bapa pengantin perempuan menghadiahkan sehelai selimut dan wang kepada bapa pengantin lelaki. Kadang kala sebentuk cincin atau gelang emas disertakan. Selepas itu, mereka berjabat tangan dan berpeluk mesra.
Rombongan dihidangkan dengan sarapan pagi yang disediakan khas sebelum berangkat ke gurdwara.
http://www.cybermelayu.com/newriang/budaya/budaya_75/Sikh_wedding.jpg
Anand karaj merupakan upacara yang terakhir dan penting yang dijalankan di gurdwara. Upacara ini biasanya dimulakan dengan bernyanyi mazmur dan membaca kitab suci. Selepas itu, granthi (ketua agama) menerangkan tujuan mereka berkumpul pada hari tersebut kepada sangat (jemaah), termasuk tujuan perkahwinan dan kewajipan suami isteri menurut pandangan agama Sikh. Kedua-dua orang pengantin duduk bersila menghadap kitab suci. Granthi berdiri bersama-sama pengantin lelaki dan perempuan, bapa pengantin lelaki dan bapa pengantin perempuan untuk bacaan ardas secara senyap.
Selepas itu, bapa pengantin perempuan memberi sehelai kain tudung (palla) kepada pengantin lelaki dan dia memegangnya pada satu hujung dan di hujung lain dipegang oleh pengantin perempuan. Selepas itu, sangat menyanyikan ayat daripada kitab suci yang berkaitan dengan anand karaj. Kedua-dua orang pengantin memegang tudung sambil berjalan mengelilingi Sri Guru Granth Sahib Ji sebanyak empat kali. Pergerakan ini disebut lavan. Pengantin lelaki berjalan di depan dan pengantin perempuan mengikut dari belakang.
http://www.cybermelayu.com/newriang/budaya/budaya_75/Sikh_wedding2.jpg

Selepas tamatnya lavan, granthi dan pasangan tersebut serta bapa mereka berdoa sebagai tanda bersyukur atas kesempurnaan upacara perkahwinan dan merestui pasangan tersebut. Granthi menasihatkan kedua-dua orang pengantin tentang tanggungjawab mereka. Selepas bacaan ardas semua sangat yang hadir diberi karah parshad (halwa yang suci). Gurdwara menyuruh pasangan pengantin menandatangani buku daftar perkahwinan gurdwara. Sijil perkahwinan (dalam tulisan Gumukhi) diberi kepada pasangan.
Selepas makan tengah hari, pengantin perempuan dibawa pulang ke rumah pengantin lelaki. Pemergian pengantin perempuan adalah peristiwa yang menyedihkan bagi keluarganya kerana dia bukan "milik" mereka lagi. Sebelum kereta pengantin bertolak, bapa pengantin lelaki membaling duit syiling ke atas kereta tersebut. Perbuatannya itu bertujuan menunjukkan kegembiraannya dan dia sanggup mengorbankan benda kesayangan manusia, iaitu duit, demi kebahagiaan anaknya dan menantunya.
Secara keseluruhannya, anand karaj adalah suci dalam falsafah agama Sikh. Penganut Sikh perlu mematuhi segala ajaran yang termaktub dalam kitab suci agar perkahwinan mereka direstui oleh tuhan dan berkekalan ke akhir hayat. Pasangan suami isteri yang sudah berkahwin perlu saling memahami dan saling menghormati. Mereka perlu hidup bersatu dan cuba mengelakkan konflik yang boleh menggugat ikatan kekeluargaan mereka.

Comments

  1. Gejala sumbang mahram ini amat meluas di negara iceland akibat keadaan unik di pulau itu: https://thevexingworld.blogspot.com/2017/08/hubungan-seks-sedarah-di-iceland.html

    ReplyDelete
  2. Its not true about " penyatuan sama dengan tuhan " but btw thanks such a good blog and very helpful

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

CONTOH FORUM BERTAJUK (Pengaruh perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi dalam pendidikan)

BENTUK HALANGAN DALAM MEMBENTUK PERPADUAN DAN CARA MENGATASINYA

Pengertian Akhlak