MID NUFF

Penghayatan dan amalan nilai-nilai keguruan ke arah pembinaan negara dari aspek kualiti peribadi dan kualiti profesional.


Penghayatan dan amalan nilai-nilai keguruan ke arah pembinaan 
negara dari aspek kualiti peribadi dan kualiti profesional.

Kita tentu pernah mendengar kenyataan bahawa kecemerlangan seseorang guru tidak terbatas pada kebolehannya melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran ( p & p ) dengan baik tetapi juga pada kualiti peribadinya yang tinggi kerana guru diharapkan mempamerkan peribadi contoh kepada pelajarnya. Oleh itu, ketinggian kualiti peribadi guru juga boleh menjadi pemangkin kecemerlangan sesebuah sekolah melalui usaha mereka menyediakan pelajar sebagai modal insan masa depan. Pembinaan modal insan adalah teras kepada kejayaan bangsa dan negara. Ia merangkumi proses lengkap membentuk tenaga kerja manusia yang berilmu, berakhlak, berkemahiran, berdaya saing dan berdaya tahan. Selari dengan aspirasi negara dan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang meletakkan usaha membina budaya baru iaitu berani berlumba, membina prestasi serta memiliki merit hingga dapat  bersaing dan bertanding pada peringkat antarabangsa, pembinaan modal insan turut menjadi teras dalam Rancangan Malaysia Kesembilan ( RMK-9 ).
            Seorang ahli akademik , Monique Jerome Forget, pernah menulis dalam artikelnya Investing in Human Capital ( Policy Options ) mengenai peri pentingnya modal insan sebagai elemen teras pembangunan negara kerana kegagalan menjana modal insan boleh merencatkan banyak lagi potensi pertumbuhan yang mampu dicapai sesebuah negara. Dengan perkataan lain, hidup mati sesebuah negara sememangnya bergantung kepada modal insannya. Sejauh mana kejayaan kita membina generasi yang berminda kritis, berjiwa penyelidikan dan pembangunan, berani mencuba sesuatu yang baru, kreatif dan inovatif serta memiliki kualiti peribadi yang unggul menjadi faktor penentu sama ada negara mampu bersaing dengan negara lain atau tidak. Tanpa modal insan yang mantap lagi padu, bukan saja bangsa menjadi mundur, malah sesebuah tamadun mungkin mengalami kemerosotan daya saing yang total.
            Strategi pembangunan insan atau sumber manusia seperti disarankan dalam RMK-9 seharusnya dilaksanakan secara menyeluruh dan holistik . Sebab itulah kerajaan melabur secara besar-besaran  dalam bidang pendidikan supaya mampu menghasilkan nilai tambah kepada negara dalam jangka panjang.
            Bagi mencapai agenda negara itu, pendidikan menjadi wahana utama. Pelajar di semua peringkat perlu dididik dengan sempurna.  Dalam hal ini, warga pendidik adalah golongan di barisan paling hadapan dalam usaha membina generasi masa depan Malaysia yang cemerlang, gemilang dan terbilang.
            Oleh itu, usaha melahirkan warga pendidik yang berkualiti, komited dan berdedikasi perlu diteruskan manakala hal ehwal kebajikan mereka perlu dipelihara sejajar dengan keyakinan dan kepercayaan kerajaan bahawa pendidikan adalah wadah pembinaan modal insan yang berkesan. Modal lain seperti wang, teknologi dan bangunan tidak mungkin sempurna jika tidak ditunjangi dengan modal insan. Oleh itu, konsep pendemokrasian yang memberi peluang adil dan sama rata kepada semua rakyat mendapatkan pendidikan berkualiti wajar diteliti dan diberi perhatian.
           
            Dalam kata lain, seorang guru itu haruslah memiliki nilai dan etika keguruan yang selaras dan menjurus kepada nilai-nilai keagamaan yang teguh dalam proses pembinaan negara bangsa . Memandangkan bidang pendidikan merupakan salah satu aspek penting dalam menjayakan harapan dan aspirasi negara untuk menjadi negara maju dan bertaraf dunia, guru-guru juga perlu menyiapkan diri mereka dengan ciri-ciri pendidik yang terbaik yang dapat membantu proses pembinaan negara bangsa  yang cemerlang. Seorang guru juga  haruslah mempunyai ciri-ciri personal, ciri interpersonal, ciri profesional, ciri intelektual yang baik, berkemahiran dalam pengurusan, kreatif dan inovatif, menguasai ilmu pedagogi, dapat mengaplikasikan teori kepada amalan dan mengamalkan pembelajaran ilmu sepanjang hayat (Abd. Rahim, 2005). Kesemua ciri ini amat penting bagi melayakkan seseorang menjadi guru yang berkesan, berwibawa dan berketrampilan bagi menjayakan proses pembinaan negara bangsa.

Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

CONTOH FORUM BERTAJUK (Pengaruh perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi dalam pendidikan)

BENTUK HALANGAN DALAM MEMBENTUK PERPADUAN DAN CARA MENGATASINYA

Pengertian Akhlak