MID NUFF

Kontrak sosial dalam konteks hubungan etnik.


Kontrak sosial dalam konteks hubungan etnik.
Teori kontrak sosial menurut pandangan ahli teori demokratik Eropah seperti Thomas Hobbes dan John Locke ialah bahawa manusia mewujudkan negara sebagai satu perjanjian bersama di mana setiap individu itu bersetuju kepadanya. Kontrak ini bererti individu-individu yang bebas bersetuju untuk menyerahkan haknya untuk memerintah diri sendiri itu kepada satu institusi bersama yang berkuasa dan berdaulat.
Dari segi bahasa pula, kontrak boleh didefinisikan sebagai perjanjian formal dengan syarat-syarat tertentu antara dua pihak atau lebih. Ia juga bermaksud dokumen yang mengandungi syarat-syarat perjanjian atau cabang undang-undang yang berkaitan dengan kontrak. Sosial pula boleh ditakrifkan sebagai segala yang berkaitan dengan masyarakat, perihal masyarakat dan kemasyarakatan. Oleh itu, kontrak sosial apabila diasimilasikan boleh ditakrifkan sebagai satu bentuk perjanjian atau permuafakatan yang ditulis dan ditetapkan oleh undang-undang yang melibatkan semua masyarakat di sesebuah negara. Ia juga merupakan satu istilah permuafakatan antara kaum yang dicapai sebelum merdeka melalui satu persetujuan di kalangan rakyat dan pemimpin yang terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan India. Pemeteraian kontrak sosial ini juga turut disertai dan dipersetujui oleh parti-parti yang mereka wakili iaitu UMNO, MCA dan MIC. Istilah ini sebenarnya tidak wujud dalam Perlembagaan Persekutuan 1957 tetapi dari perspektif lain, kontrak sosial sememangnya wujud dalam sejarah negara dan permuafakatan yang dicapai itulah yang mentakrifkan negara Malaysia dan seterusnya menentukan sifat sesebuah Negara.




Sejarah Kewujudan Kontrak Sosial
Sejarah perjanjian ini bermula apabila Perjanjian Pangkor ditandatangani
pada 20 Januari 1874. Perjanjian ini memperkenalkan sebuah sistem yang mengurangkan kuasa raja dan keistimewaan orang Melayu iaitu Sistem Residen.
Peranan seorang residen pada awalnya merupakan penasihat raja sahaja tetapi
akhirnya mencampur tangan dalam urusan raja. Dengan adanya sistem residen,
ekonomi yang dahulunya dimonopoli oleh raja dan pembesar melayu telah
terjejas. Kemasukan orang asing ke dalam Tanah Melayu telah mengeksploitasikan hasil bumi. Dasar pecah dan perintah, diskriminasi kaum serta penempatan kaum mengikut kawasan dengan menempatkan orang Melayu di luar bandar, orang Cina di bandar dan orang-orang India di ladang-ladang getah berjaya memundurkan pencapaian orang Melayu dan membentuk tembok curiga di antara kaum.

Selepas itu, beberapa lagi sistem bagi mengkukuhkan lagi kuasa British di Tanah Melayu telah diperkenalkan dan digunakan. Di antaranya ialah penubuhan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu pada tahun 1896 dengan termeterainya Perjanjian Persekutuan 1896 iaitu menggabungkan negeri Pahang, Negeri Sembilan, Selangor dan Perak. Kononya perjanjian ini bertujuan untukmengembalikan kuasa sultan. Kuasa pentadbiran bagi keempat-empat negeri tersebut berada dalam kuasa Residen-Jeneral.

Selain itu, penubuhan Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu dan Negeri-Negeri Selat juga telah banyakmemberi banyak kesan negatif kepada pribumi dan raja serta pembesar Melayu. Pendudukan Jepun di Tanah Melayu juga telah mengeruhkan keadaan dengan menambahkan lagi perasaan prasangka dan politik perkauman di antara kaum dengan melayan kaum Cina dengan teruk tetapi melayan baik kaum India dan kaum Melayu.

Dasar penjepunan juga telah diperkenalkan dan ini mengetepikan bahasa ibunda masyarakat Melayu. Kuasa sultan dan pembesar juga tidak dikembalikan seperti yang dijanjikan sebelum Jepun mengalahkan pihak British. Selepas Jepun menyerah diri dan mengembalikan Tanah Melayu kepada pihak British, bermulalah rancangan pembentukan Malayan Union.

Dalam pembentukan itu, sebuah perlembagaan telah cuba diperkenalkan. Perlembagaan ini telah mengurangkan kuasa perundangan di peringkat negeri, menghapuskan hak-hak raja dan hak istimewa orang Melayu sebagai penduduk pribumi Tanah Melayu serta peruntukan kuasa eksekutif dan perundangan kepada seorang Gabenor. Rancangan ini telah menerima pelbagai tentangan dari kalangan kaum  Melayu, Cina dan India. Selepas rancangan ini gagal, sebuah Jawatankuasa Kerja ditubuhkan pada 1946 untuk membentuk sebuah persekutuan dengan suatu perlembagaan yang boleh diterima pakai oleh semua golongan masyarakat. Hasil dari kajian dan perbincangan, satu perjanjian telah dimeterai iaitu Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948 dan diketuai oleh seorang Pesuruhjaya Tinggi British. Tetapi atas desakan, akhirnya British telah membenarkan satu pilihanraya diadakan pada 27 Julai 1955. Parti Perikatan telah memenangi pilihanraya tersebut dan telah membuat satu rombongan ke London untuk memperolehi kemerdekaan. Perlembagaan Persekutuan 1957 berkuat kuasa sehingga sekarang dan telah mengalami beberapa perubahan contohnya kemasukan Sabah dan Sarawak serta penukaran nama Persekutuan kepada Malaysia pada tahun 1963.








Tujuan Kontrak Sosial

Terdapat beberapa tujuan kontrak sosial cuba diwujudkan oleh kerajaan Malaysia. Antaranya ialah untuk menyelesaikan perbezaan kepentingan diri atau kelompok masing-masing. Kedua, untuk memastikan kepentingan majoriti dan minoriti di ambil kira tanpa menjejaskan hak dan kepentingan masing-masing. Tujuan ketiga adalah untuk memastikan persetujuan yang dicapai kekal dan diwarisi turun-temurun. Ini adalah kerana persetujuan tersebut dianggap memenuhi kepentingan yang berpanjangan. Keempat, memastikan setiap pihak yang bersetuju akan mematuhi dan menyampaikan kepada generasi seterusnya agar ia tidak bercanggah di masa depan. Kontak sosial juga dapat  melanjutkan kelangsungan pentadbiran yang cekap. Selain itu, ia juga dapat mewujudkan keadaan politik yang stabil di samping untuk menjamin keselamatan, keamanan dan kesejahteraan rakyat. Justeru itu, ia sedikit sebanyak dapat memupuk semangat patriotisme dan cintakan tanahair. Tambahan pula, kontrak sosial dilihat dapat mewujudkan masyarakat yang bebas dan adil dalam usaha untuk mencapai integrasi nasional.

Kandungan dalam Kontrak Sosial

Antara isu yang terkandung dalam kontrak sosial adalah Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, Agama Islam sebagai Agama Persekutuan, Hak Keistimewaan Orang Melayu, Kedaulatan Rajaraja dan Sultan Melayu serta taraf kerakyatan melalalui Prinsip ‘Jus Soli’.

Perlembagaan Persekutuan 1957 Perkara 152 menjadikan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Ini bertujuan untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dengan diwajibkan di semua jenis pusat pendidikan. Ini merupakan salah satu langkah untuk mencapai perpaduan negara. Pada masa yang sama, Dewan Bahasa dan Pustaka telah ditubuhkan untuk memajukan Bahasa Melayu serta menggalakkan penggunaannya.
Minggu Bahasa Melayu dan Bulan Bahasa Melayu dilancarkan dalam tahun 1960, melalui cogan kata “Bahasa Jiwa Bangsa”. Akta Bahasa Kebangsaan 1967 menetapkan bahawa Bahasa Melayu hendaklah digunakan dalam semua urusan rasmi. Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri boleh menggunakan bahasa Inggeris di dalam Dewan dengan kebenaran Yang Di Pertua Dewan. Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah dan Sarawak dibenarkan menggunakan bahasa Inggeris selepas 10 tahun merdeka. Sebagai mercu kejayaan dalam usaha mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara, Universiti Kebangsaan Malaysia telah ditubuhkan pada 1970. Kesemua sekolah di Malaysia menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan merupakan satu subjek wajib bermula dari tahun 1982.

Manakala dalam Perkara 3 (1) pula, Agama Islam merupakan agama persekutuan. Walaubagaimanapun, ini bukanlah bermaksud negara ini mengamalkan sistem teokrasi. Rakyat Malaysia yang lain masih bebas menganut agama yang lain dan merayakan perayaan masing-masing. Mereka juga bebas untuk mengamalkan adat dan tradisi agama masing-masing.

Ketiga, prinsip kerakyatan secara ‘jus soli’ telah diperkenalkan semasa rancangan Malayan Union diperkenalkan di Tanah Melayu iaitu kaum Cina dan India yang dilahirkan di Tanah Melayu merupakan warganegaranya. Tetapi dengan adanya Perlembagaan, kerakyatan Jus Soli telah diperketatkan. Antara syarat itu ialah penduduk bukan Melayu mesti tinggal di PTM (Persekutuan Tanah Melayu) tidak kurang daripada 10 tahun. Kedua-dua ibubapanya adalah warganegara PTM. Mereka hendaklah mengaku taat setia terhadap Tanah Melayu dan menganggap negara ini sebagai tanah tempat tumpah darahnya. Selain itu, bermula tahun 1958, mereka juga perlu fasih bertutur dalam bahasa Melayu ataupun bahasa Inggeris. Selain itu, kedudukan raja sebagai ketua negeri dan ketua agama Islam diiktiraf.

Selain itu, prinsip ‘Kesetiaan kepada Raja’ telah dimasukkan ke dalam Rukunegara yang merupakan idealogi nasional telah mengkukuhkan lagi kedudukan raja-raja di Malaysia. Di samping itu, satu pindaan telah ditubuhkan iaitu Akta Hasutan 1948. Ia bertujuan untuk melarang soalan mengenai hak, taraf kedudukan, hak istimewa, kedaulatan raja yang dilindungi oleh perlembagaan ke atas bahasa kebangsaan, kewarganegaraan, hak istimewa orang Melayu dan kuasa pemerintahan raja-raja.

Seterusnya, kedudukan hak istimewa orang Melayu bukanlah merupakan sesuatu yang baru. Perkara ini ialah merupakan perkara utama yang diperjuangkan oleh golonganorang Melayu sejak sebelum merdeka lagi. Perkara ini telah dimaktubkan didalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948. Ia bertujuan untuk menjaga hak orang Melayu sebagai penduduk asal Tanah Melayu dan mempertingkatkan kemajuan orang Melayu yang telah ketinggalan dalam semua bidang kehidupan supaya setaraf dengan kaum bukan Melayu yang lebih maju. Ini dapat mendekatkan jurang perbezaan di antara kaum terutamanya kaum Cina dengan kaum Melayu yang terpisah sejak kedatangan British di Tanah Melayu.
                           
Sebuah akta yang membolehkan penahanan seseorang tanpa bicara telah diperkenalkan selepas peristiwa 13 Mei 1969 yang dikenali sebagai Akta Keselamatan Dalam Negeri. Penahanan seseorang tanpa bicara boleh dilaksanakan jika ia merupakan langkah yang terbaik demi untuk kesejahteraan dan keselamatan Malaysia. Kesalahan seperti menggugat keselamatan dan ketenteraman Negara dengan mempersoalkan kontrak sosial boleh ditahan di bawah akta ini. Namun begitu, penahanan tersebut tidak boleh dilakukan secara sesuka hati.



Beberapa syarat perlu dipenuhi sebelum penahanan itu disahkan. Di antara syarat-syarat tersebut ialah:
i. Seseorang yang ditahan hendaklah diberitahu sebab-sebab dia ditahan dan berhak mengemukakan hujah-hujah menentang penahanannya itu dengan mengemukakan kenyataan melainkan kenyataan itu dianggap membahayakan kepentingan negara.
ii. Seseorang warganegara tidak boleh ditahan lebih dari 3 bulan melainkan penahanannya telah disyorkan oleh Yang Di-Pertuan Agong oleh satu badan penasihat. Badan penasihat itu akan mendengar hujah-hujah yang dikemukakan oleh warganegara yang ditahan itu sebelum mensyorkannya.
iii. Badan tersebut haruslah terdiri daripada seorang pengerusi dan 2 orang ahli biasa. Pengerusi itu haruslah layak iaitu merupakan hakim dan perlantikan ahli badan itu dibuat oleh Yang Di-Pertuan Agong. Perbicaraan bagi pesalah ini berlainan kerana perbicaraan adalah jenis tertutup.
Di samping itu, rintitan sejarah kontrak sosial ini mesti didedahkan, diperturunkan, dipelajari dan dihayati oleh setiap lapisan masyarakat, terutama generasi muda daripada kalangan anak-anak Melayu, Cina dan India. Mereka mesti memahami dan menghargai apa yang tersirat dan yang tersurat dalam kontrak sosial itu. Hal ini amat penting kerana kontrak sosial dapat diertikan sebagai resipi kehidupan masyarakat Malaysia yang bersatu padu, aman makmur dan harmoni. Sebagai kesimpulan, kontrak sosial adalah satu formula mewujudkan satu cara hidup yang dinamik, aman dan terus membangun melalui perpaduan dalam kepelbagaian berasaskan prinsip berkongsi, bekerjsama, toleransi dan bersatu padu. 

Comments

  1. assalamualaikum...
    nota dan pos yg sgt bagus...
    kalau boleh letakkan sekali sumber rujukan...
    baru mantap... hehehe

    ReplyDelete
  2. assalamulaikum..boleh berikan saya tajuk-tajuk buku berkait dengan kontrak sosial ini yang boleh dibaca

    ReplyDelete
  3. isi kandungan sangat menarik.boleh saya dapatkan sumber rujukan artikel di atas.TQ

    ReplyDelete
  4. nota ini telah banyak membantu saya dalam menjawab soalan tugasan. TQ =D

    ReplyDelete
  5. very good, sangat membantu untuk final exam esok.. :)

    ReplyDelete
  6. terima kasih. saya jadikan ini sbg sumber rujukan saya utk siapkan assignment.

    ReplyDelete
  7. i need the author name tho..xkan nk bubuh mat king lak..hee... reply me ok??

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

CONTOH FORUM BERTAJUK (Pengaruh perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi dalam pendidikan)

BENTUK HALANGAN DALAM MEMBENTUK PERPADUAN DAN CARA MENGATASINYA

Pengertian Akhlak