Penghayatan dan amalan nilai-nilai keguruan ke arah pembinaan negara dari aspek kualiti peribadi dan kualiti profesional.
Penghayatan dan amalan nilai-nilai keguruan ke arah
pembinaan
negara dari aspek kualiti peribadi dan kualiti
profesional.
Kita tentu pernah mendengar kenyataan bahawa kecemerlangan seseorang guru
tidak terbatas pada kebolehannya melaksanakan proses pengajaran dan
pembelajaran ( p & p ) dengan baik tetapi juga pada kualiti peribadinya
yang tinggi kerana guru diharapkan mempamerkan peribadi contoh kepada
pelajarnya. Oleh itu, ketinggian kualiti peribadi guru juga boleh menjadi
pemangkin kecemerlangan sesebuah sekolah melalui usaha mereka menyediakan
pelajar sebagai modal insan masa depan. Pembinaan modal insan adalah teras
kepada kejayaan bangsa dan negara.
Ia merangkumi proses lengkap membentuk tenaga kerja manusia yang berilmu,
berakhlak, berkemahiran, berdaya saing dan berdaya tahan. Selari dengan
aspirasi negara dan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi,
yang meletakkan usaha membina budaya baru iaitu berani berlumba, membina
prestasi serta memiliki merit hingga dapat
bersaing dan bertanding pada peringkat antarabangsa, pembinaan modal
insan turut menjadi teras dalam Rancangan Malaysia Kesembilan ( RMK-9 ).
Seorang ahli akademik ,
Monique Jerome Forget, pernah menulis dalam artikelnya Investing in Human Capital ( Policy Options ) mengenai peri
pentingnya modal insan sebagai elemen teras pembangunan negara kerana kegagalan
menjana modal insan boleh merencatkan banyak lagi potensi pertumbuhan yang mampu
dicapai sesebuah negara. Dengan perkataan lain, hidup mati sesebuah negara
sememangnya bergantung kepada modal insannya. Sejauh mana kejayaan kita membina
generasi yang berminda kritis, berjiwa penyelidikan dan pembangunan, berani
mencuba sesuatu yang baru, kreatif dan inovatif serta memiliki kualiti peribadi
yang unggul menjadi faktor penentu sama ada negara mampu bersaing dengan negara
lain atau tidak. Tanpa modal insan yang mantap lagi padu, bukan saja bangsa
menjadi mundur, malah sesebuah tamadun mungkin mengalami kemerosotan daya saing
yang total.
Strategi pembangunan insan
atau sumber manusia seperti disarankan dalam RMK-9 seharusnya dilaksanakan
secara menyeluruh dan holistik . Sebab itulah kerajaan melabur secara
besar-besaran dalam bidang pendidikan
supaya mampu menghasilkan nilai tambah kepada negara dalam jangka panjang.
Bagi mencapai agenda
negara itu, pendidikan menjadi wahana utama. Pelajar di semua peringkat perlu
dididik dengan sempurna. Dalam hal ini,
warga pendidik adalah golongan di barisan paling hadapan dalam usaha membina
generasi masa depan Malaysia yang cemerlang, gemilang dan terbilang.
Oleh itu, usaha melahirkan
warga pendidik yang berkualiti, komited dan berdedikasi perlu diteruskan
manakala hal ehwal kebajikan mereka perlu dipelihara sejajar dengan keyakinan
dan kepercayaan kerajaan bahawa pendidikan adalah wadah pembinaan modal insan
yang berkesan. Modal lain seperti wang, teknologi dan bangunan tidak mungkin
sempurna jika tidak ditunjangi dengan modal insan. Oleh itu, konsep
pendemokrasian yang memberi peluang adil dan sama rata kepada semua rakyat
mendapatkan pendidikan berkualiti wajar diteliti dan diberi perhatian.
Dalam kata lain, seorang guru itu
haruslah memiliki nilai dan etika keguruan yang selaras dan menjurus kepada
nilai-nilai keagamaan yang teguh dalam proses pembinaan negara bangsa .
Memandangkan bidang pendidikan merupakan salah satu aspek penting dalam
menjayakan harapan dan aspirasi negara untuk menjadi negara maju dan bertaraf
dunia, guru-guru juga perlu menyiapkan diri mereka dengan ciri-ciri pendidik
yang terbaik yang dapat membantu proses pembinaan negara bangsa yang cemerlang. Seorang guru juga haruslah
mempunyai ciri-ciri personal, ciri interpersonal, ciri profesional, ciri
intelektual yang baik, berkemahiran dalam pengurusan, kreatif dan inovatif,
menguasai ilmu pedagogi, dapat mengaplikasikan teori kepada amalan dan
mengamalkan pembelajaran ilmu sepanjang hayat (Abd. Rahim, 2005). Kesemua
ciri ini amat penting bagi melayakkan seseorang menjadi guru yang berkesan,
berwibawa dan berketrampilan bagi menjayakan proses pembinaan negara bangsa.
Thanks for being a constant source of learning and inspiration. Also check the how severe does a custody agreement violation have to be before a court will help me?
ReplyDelete