MID NUFF

Peranan dan tangungjawab guru membina negara berlandaskan etika agama dan nilai.


Peranan dan tangungjawab guru membina negara berlandaskan etika   agama dan nilai. 

Peranan dan tanggungjawab guru sememangnya memberi impak yang besar dan mendalam dalam diri setiap individu itu. Dari kecil hinggalah menjawat jawatan yang hebat, semua itu adalah hasil ajaran dan didikan guru di sekolah, pun begitu, dunia hari ini semakin maju dan bergerak pantas seiring dengan era ledakan maklumat ini, guru tidak terkecuali merasai tempiasnya. Peranan dan tanggungjawab yang digalas oleh guru semakin mencabar seiring kehendak kerajaan dan PIPP nya yang kita sedia maklum.
FPK ( Falsafah Pendidikan Kebangsaan ), Rukun Negara, Wawasan 2020, PIPP ( Pelan Induk Pembangunan Pendidikan ) dan Misi Nasionalnya, semuanya menekankan faktor kepercayaan kepada Tuhan atau dengan kata lain pendekatan dari segi agama haruslah menjadi perkara yang ‘ first and foremost’ dalam diri seorang individu yang bergelar guru itu. Ibu bapa mengharapkan sekolah dan guru dapat meningkatkan kepercayaan kepada Tuhan dalam diri pelajar. Perkara ini menjadi lebih dan kritikal dalam kehidupan pada era globalisasi. Maksudnya, kehidupan yang terlalu bersifat materialistik, teknologi,kemewahan dan hiburan boleh menjejaskan keinginan manusia kepada Tuhan. Dalam keadaan kekosongan inilah guru boleh membina kekuatan dalaman iaitu kerohanian menerusi aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Kerohanian yang mantap dan suci akan membina intelek yang sihat, emosi yang stabil dan jasmani yang sejahtera. Keharmonian dan keseimbangan potensi rohani, intelek, emosi dan jasmani akan menyubur dan meningkatkan kepercayaan pelajar kepada Tuhan. Pembinaan kekuatan dalaman ini mudah dilaksanakan jika guru menjalankan tugasnya sebagai ibadah dengan matlamat membangunkan insan.


2.1       Pendidikan akhlak asas pemilihan dan amalan nilai
Hari ini masalah nilai menjadi krisis sejagat dan global. Tanpa bimbingan dan asuhan guru, pelajar mudah memilih dan mengamalkan nilai yang bertentangan dengan agama, budaya, adab sopan, moral dan disiplin sekolah. Arus teknologi maklumat dan komunikasi yang semakin menggila memudahkan lagi pelajar terjebak dengan nilai negatif. Di sinilah kita memerlukan pendidikan akhlak iaitu pendidikan yang dapat membina keyakinan, kefahaman, penghayatan dan pengamalan nilai murni yang terkandung dalam ilmu wahyu iaitu Al –Quran dan As-sunnah. Terlalu banyak nilai murni yang selaras dengan fitrah insan terkandung dalam ilmu wahyu. Guru boleh merujuk pada nilai berkenaan dan seterusnya membina nilai positif yang diinginkan menerusi pengajaran dan pembelajaran. Apabila guru berjaya melaksanakan pendidikan akhlak pada peringkat awal,  maka akan lahirlah pelajar yang cemerlang dalam kedua-dua aspek iaitu akademik dan sahsiah. Biar apa pun nilai yang dipilih dan diamalkan pelajar, ia hendaklah tidak bertentangan dengan agama dan wahyu.
            Perkara inilah yang diharapkan ibu bapa dan masyarakat untuk dilaksanakan oleh guru. Ibu bapa dan masyarakat mengharapkan anak mereka cemerlang dalam pelajaran dan pada masa sama mengamalkan nilai murni. Tugas ini memang sukar dilakukan guru. Bagaimanapun jika guru menjalankan tugasnya sebagai ibadah dan ingin membentuk pelajar sebagai insan, maka tugas itu akan menjadi mudah dan memberangsangkan, InsyaAllah. Inilah yang dimaksudkan dengan tugas hakiki guru yang sepatutnya diangkat menjadi etika keguruan.

2.2       Keharmonian fitrah teras amalan tingkah laku
Antara matlamat pendidikan ialah untuk mendidik pelajar supaya memilih dan mengamalkan tingkah laku yang baik. Malangnya hari ini kita berhadapan dengan tingkah laku pelajar yang cukup negatif seperti tingkah laku ganas dan jenayah di sekolah dan dalam masyarakat. Kenapa perkara ini berlaku? Antaranya mungkin kerana kita gagal membina konsep fitrah atau tabii pelajar menjadi liar dan ganas sehingga mereka memilih tingkah laku negatif dan tidak normal. Jika dibiarkan, tingkah laku ini akan berkekalan dari alam pelajar dan persekolahan hinggalah ke alam dewasa dan kehidupan.
Tugas guru adalah untuk memastikan suasana pengajaran dan pembelajaran sentiasa memelihara dan menyuburkan fitrah atau tabii pelajar supaya harmoni dan sihat. Fitrah atau tabii murni inilah akan membina tingkah laku normal. Inilah etika guru yang diharapkan. Sekali lagi, tugas ini hanya akan berjaya dilaksanakan sekiranya guru merealisasikan amanah ibadah dan pembangunan insan dalam menjalankan tugas pengajaran dan pembelajaran.

2.3         Pemantapan akidah teras perubahan dan kemajuan
Fitrah atau tabii manusia sentiasa inginkan perubahan ke arah yang lebih baik. Justeru, matlamat pendidikan ialah untuk meningkatkan penguasaan ilmu pengetahuan, kemahiran dan amalan sikap yang baik dan positif. Dalam usaha untuk mencapai matlamat ini, kita terlalu bersifat akademik, mekanistik dan materialistik sehingga kadang kala melahirkan pelajar yang begitu jauh daripada pencipta. Lama kelamaan akan tiba keadaan kepercayaan kepada Tuhan semakin luntur. Dengan perkataan lain akidah hendaklah selari dengan peningkatan pendidikan.
            Sebenarnya kita memerlukan pendidikan bersepadu iaitu di samping peningkatan dalam kecemerlangan pendidikan,pemantapan akidah perlu berlaku pada masa yang sama. Hasrat ini hanya dapat dilaksanakan menerusi peranan hakiki guru. Maksudnya etika keguruan ( tugas hakiki guru ) menuntut guru memantapkan akidah pelajar selari dengan peningkatan pencapaian kecemerlangan akademik.



2.4       Pembangunan insan asas kualiti hidup
Setiap manusia inginkan hidup yang berkualiti. Biasanya ia dikaitkan dengan kejayaan mencapai prestasi hidup yang tinggi dan diiktiraf masyarakat. Kualiti hidup bermaksud kejayaan memperoleh status yang tinggi, kemewahan dan kebendaan. Namun konsep kualiti ini tidaklah memenuhi matlamat pendidikan sebenarnya kerana kebendaan dan kemewahan semata-mata tidak menjamin kehidupan yang sejahtera dan sesuai dengan fitrah insaniah. Oleh itu perlulah dicari pengertian kualiti hidup yang lebih lengkap.
Menurut paradigma pendidikan bersepadu, kualiti hidup bermaksud kehidupan yang harmoni dengan fitrah insan iaitu gaya hidup yang sentiasa harmoni dengan tabii atau fitrah insan yang dianugerah Allah SWT.
Persoalannya bagaimanakah untuk membina kualiti hidup menerusi pendidikan? Dalam hal ini kita memerlukan guru yang dapat  menjalankan tugasnya sebagai ibadah, dengan sendirinya ia akan berminat untuk membangunkan insan. Insan itulah juga yang akan digunakan untuk membangunkan negara bangsa. Apabila ciri insan terbina dalam diri pelajar, tentulah mereka dapat menjalani hidup secara harmonis dengan fitrah atau tabii yang dianugerahkan Allah SWT. Inilah yang dinamakan kualiti hidup. Dengan perkataan lain guru yang mengamalkan etika keguruan ( tugas hakiki guru ) akan dapat melahirkan pelajar dengan ciri keinsanan yang kehidupannya  harmonis dengan fitrah atau tabii yang dianugerahkan Allah SWT.

Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

CONTOH FORUM BERTAJUK (Pengaruh perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi dalam pendidikan)

PUNCA-PUNCA BERLAKUNYA SUMBANG MAHRAM

PERATURAN-PERATURAN DI DALAM ACARA LOMPAT TINGGI